♤ BAB 43 ♤

40 3 0
                                    

GELAP. Tangan meraba-raba ke segenap ruang, berharap untuk menyentuh sebarang dinding atau apa-apa penghadang akhir. Dalam hati, ada baiknya jika ada cahaya menjengah untuk membantunya yang tersesat. Sesatkah?

Entahlah, dia sendiri tidak pasti. Sudah lama ke hulu, ke hilir mencari arah tuju yang jelas. Malangnya, dia tidak nampak apa-apa. Segala-galanya macam sengaja menyorok daripadanya. Adakah dia buta?

Nafas tercungap-cungap. Hati semakin resah. Rasanya, sudah lama berkelana tanpa tujuan. Anehnya, dahaga mahupun lapar dia tidak rasa. Yang dia perlukan sekarang adalah cahaya. Cukup secebis sahaja memadai. Kerana dia, Ha-joon tidak pernah berhadapan dengan situasi itu seumur 28 tahun hidupnya. Tidak pernah bergelap.

Wajah diraup berkali-kali. Rasa yang sejuk kian mencengkam tulang. Dia rasa pakaiannya sekarang nipis. Tangan naik meramas kulit kepala. Cuba mengingat sesuatu. Dia kebuntuan, di manakah sebenarnya dirinya berada?

Dia ingat akan wajah Jane sebelum dia tutup mata sepenuhnya. Dia ingat yang wanita itu sudah dia selamatkan. Mata kemudian meliar sekitar walaupun memang tiada apa yang boleh dilihat.

“Alam selepas mati ke ni?” Ha-joon menyoal dirinya sendiri.

“Kenapa gelap sangat?”

Kegelisahan kembali merajai hati. Tubuh semakin lama semakin menggigil dengan kedinginan angin dalam gelap. Ha-joon hela nafas perlahan meskipun dada berombak hebat.
Macam mana nak keluar dari tempat ini?

“Aku kat mana sebenarnya ni?”

“Aku dah mati jadi aku kena duduk dalam gelap ni selama-lamanya ke?”

Setitis air mata sudah membasahi pipi. Sungguh, dia ketakutan persis kanak-kanak yang ingin segera dipeluk oleh ibu bapa.

“Tolong beri aku jalan keluar. Tolong selamatkan Ha-joon, Atuk,” jerihnya terduduk lemah. Dia sudah penat untuk terus bergerak. Kalau terus berjalan rasa macam tempat ini tidak berpenghujung. Ha-joon berputus asa bersama esakan deras miliknya. Ketakutan sudah menyelubungi segenap hati dan fikiran.

Tiba-tiba terdengar satu suara menjengah telinga. Ha-joon kaku. Kepala diangkat perlahan untuk mendengar lebih jelas akan suara murni itu. Perlahan-lahan dirinya bangun dan mula mengikuti alunan suara yang seperti sedang bersyair merdu.

Air mata diseka laju lalu dia pun berlari bersama harapan yang dia akan bertemu dengan pemilik suara tersebut. Kerana hatinya mulai berasa tenang seolah-olah suara itu sedang memujuknya untuk mencari tahu kedudukannya. Anehnya, dia sedikitpun tidak mengerti maksud bait-bait ayat yang dilontarkan oleh suara lembut itu.

Kaki semakin laju mengejar alunan suara itu. Namun semakin lama, suara itu semakin mengecil. Ha-joon risau ia akan menghilang jadi kepada siapa lagi dia perlu minta pertolongan.

Keadaan masih sama. Gelap dan kawasan yang dilalui memang luas. Seperti berada di padang pasir yang luas hamparannya tiada pintu keluar. Hati Ha-joon semakin gusar dan sedih. Kaki sudah melecet. Bajunya sudah basah kerana peluh namun suara itu semakin jauh. Ha-joon kepenatan.

Kaki berhenti untuk melepaskan kelelahan. Nafas cuba dikawal sehabis baik. Wajahnya diraup berkali-kali. Ha-joon mengeluh lemah. Kesal kerana tidak dapat mengejar alunan suara tersebut. Suara itu sudah hilang sehabisnya.

Dia akhirnya terduduk melutut. Air mata kembali menemaninya.

“Aku nak balik. Aku tak suka tempat ni. Aku nak jumpa keluarga aku. Aku nak buat baik pada mereka. Aku tak nak buat jahat lagi. Aku tak nak sakitkan hati perempuan lagi!” luah Ha-joon kesal. Teringat-ingat bagaimana banyak kali dia menyakiti hati wanita selepas habis mempergunakan mereka. Dia juga teringat bagaimana dia bergaduh dengan datuknya pada pertemuan terakhir. Ha-joon semakin menyesal.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now