Mak cuba mengingati sesuatu namun samar-samar dan lantas dia pun menggeleng kepala. “Kenapa kamu tanya? Tak pernah-pernah kamu tanya pasal ayah kamu.” Mak berasa aneh.

Jane hanya sengih. “Saja nak tahu. Tiba-tiba teringat arwah ayah.”

“Kalau teringat sedekahkan Al-Fatihah. Ada kesempatan kita turun Selangor jenguk kuburnya ya?” kata mak penuh harapan.

Jane senyum segaris namun dalam fikiran sudah mula menari tentang hubungan Kingen bersama mangsa ayahnya.

●●●●●

DANIEL melangkah masuk ke banglo mewah keluarganya dengan perasaan senang hati. Hari ini dia sangat gembira selepas menerima panggilan mesra daripada mummy. Secara peribadi daripada Puan Nurjuwita sendiri. Nikmat apa lagi yang hendak dia dustakan setelah menerima panggilan ‘sayang’ daripada mummy?

Walaupun begitu, hati tetap terselit risau yang menebal terhadap Jane. Dua hari perasaannya gundah kerana Jane tiba-tiba senyap. Tiba-tiba sahaja gadis itu menyepikan diri. Entah sampai dengan selamat atau tidak gadis itu ke kampungnya. Namun, tentang Jane, dia lupakan seketika cuma. Sekarang adalah pertemuan bersama mummy selepas wanita itu memintanya pulang untuk dinner bersama. Alangkah bahagianya hati.

“Mummy...” sapanya lembut selepas tiba di hadapan wanita kesayangannya itu. Dalam masa yang sama, liur ditelan, tubuh serta merta mengeras. Rasa dingin dan panas berganti-ganti. Peluh mula bekerja. Kenapalah mummy perlu berada berhampiran dengan kolam pada petang ini? Nak bernafas pun terasa berat namun dia cuba bertahan. Demi mummy!

“Haa... Niel, dah sampai pun. Lama mummy tunggu.” Perkataan ‘mummy’ Puan Nurjuwita tekankan dengan sengaja.

“Niel happy sangat sebab mummy nak jumpa Niel hari ni,” luah Daniel sebak. Nafas diambil berhati-hati. Pandangan ke arah kolam sengaja dijauhkan namun mummy pula mundar-mandir di pinggir kolam itu.

“Ke sini lah, Niel. Kenapa jauh sangat berdiri? Petang ni panas sangat, best kan kalau swimming?” Mummy mengajak Daniel untuk duduk di birai kolam namun Daniel menolak dengan lemah lembut.

Dia tidak mampu untuk mendekatkan diri dengan kolam itu kerana teringat akan peristiwa semasa dia masih berusia lima tahun.

"Takpe, Niel diri kat sini aje!" Daniel senyum tawar. Dada berombak laju. Terpandang sahaja kolam, terus gambaran itu dilarikan.

Mummy tersenyum lalu berjalan merapati Daniel. Ditariknya tangan Daniel untuk duduk di sofa di dalam rumah. Tangan anaknya itu dielus dengan lembut.

Bahagia benar hati Daniel sekarang. Mummy dah mula pandang dia.

“Niel, anak mummy yang baik kan? Niel sayang mummy?”

Entah kenapa, air mata Daniel terus mengalir laju. Kepala terangguk berkali-kali. Benar, dia sangat menyayangi wanita ini. Rindu akan pelukannya. Kenangan lima tahun kasih sayang mummy ada yang dia ingat-ingat lupa namun masih hangat di ingatan. Hari ini, rasa kasih itu dia dapat kembali.

“Niel sayang mummy sangat-sangat,” luah Daniel. Sudah teresak-esak.

Puan Nurjuwita tersenyum seraya memeluk akan anaknya itu. “Kalau macam tu, mummy nak Niel kahwin.”

Daniel terkedu sehingga tititsan air mata terakhir. Hati robek entah ke berapa kali. Jadi, kebaikan mummy hari ini adalah untuk meminta sesuatu daripadanya dan bukan kerana sayang atau rindu semata-mata?

Perlahan-lahan Daniel meleraikan pelukan. Anak mata mummy dicari tetapi dia boleh nampak ketegasan dan kemarahan wanita itu walaupun dalam keadaan tersenyum manis. Marah itu masih wujud. Mummy memang pandai menyembunyikan emosi.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now