“Kau Qis, nanti ada orang datang tak?” Laila memandang Qistina yang sedang membuka penutup botol air mineral.

“Qis pun tak tahulah akak. Qis dah bagitahu dekat kak Sara tapi akak fahamlah yang kami ni dari Sarawak. Jadi, Qis tak tahu dia boleh datang ke tak. Kalau dia takde dekat airport tu nanti, Qis dah faham. Lagipun, Qis pun boleh balik sendiri,” jelas Qistina. Hatinya sedikit sayu jika berfikir tentang perkara itu. Qaisara dan Qhairil bukan ada duit nak terbang ke semenanjung. Jadi, kalau mereka tidak boleh datang menjemput sekalipun, dia memang dari awal dah boleh terima. Cumanya, hati ini tidak sabar untuk bertemu setelah dua tahun lamanya terpisah.

“Jangan risau. You pun, akan ada orang hantar nanti. I takkan biarkan kamu semua balik sendiri. Must be well-protected!” ujar Datuk Lim tersenyum manis.

Mereka berempat cuma mengangguk kepala demi menerima segala kebaikan lelaki pertengahan umur tersebut.

Seorang lelaki bersuit hitam tiba-tiba muncul di dalam bilik tersebut. Dia mula mengarahkan semua mangsa untuk memakai pelindung wajah yang telah disediakan.

Jane tatap kain hitam penutup muka miliknya. Sekali lagi hatinya mengeluh berat. Saat tersarungnya kain penutup tersebut maka langit Korea tidak lagi boleh diintai.

Nafas dihela lembut lalu kain penutup muka itu disarung perlahan. Kesemua mangsa bersamanya mula bergerak mengikut pegawai pengiring masing-masing yakni ke pintu berlepas untuk kembali tempat asal.

Jane memegang tangan Qistina dan tangan saleha yang berada di sebelah. Laila di hadapan sekali. Bermula dengan langkah bismillah, mereka berempat akhirnya menapak keluar dari bilik sementara ini.

Sebaik sahaja dirasakan tubuh berada di luar, sudah terdengar keriuhan orang ramai. Pasti, orang ramai sedang berkerumun memandang ke arah mereka. Boleh didengar setiap suara mereka yang berakhir tanda soal. Pasti, mereka adalah para wartawan yang berebut untuk mendapat cerita hangat daripada mangsa-mangsa pemerdagangan manusia. Pasti, menjadi tajuk utama dalam berita di Korea mahupun negara yang terlibat.

Keempat mereka berjalan berganding tangan untuk terus ke balai berlepas. Kerana di situ adalah langkah keluar terakhir sebelum selamat memasuki perut pesawat.

Kaki terus berjalan mengikut langkah orang di depan. Mereka perlu melalui pemeriksaan imigresen yakni mereka harus menyelak sedikit kain penutup muka tersebut bagi melancarkan proses pengecaman muka dan passport masing-masing. Selesai sahaja segala proses tersebut maka waktu untuk menaiki pesawat telah tiba.

Dalam samar-samar kain penutup muka itu, Jane memejam mata.

“Selamat tinggal Korea. Terima kasih untuk kisah yang menyakitkan...” ucap Jane perlahan bersama linangan air mata.

Tatkala kaki kanan mula berjalan merapati kawan-kawannya di hadapan, waktu itu juga terdengar sayup-sayup satu suara memanggil-memanggil akan namanya.

Jane kaku di situ. Kepala mula ligat berpusing untuk mencari arah suara itu yang dia rasa dia kenal.

“Jane!!!’” Sekali lagi suara itu memanggil namanya.

Air mata Jane terus laju mengalir. Doanya sudah terjawab. Ha-joon sudah sedar. Ha-joon sudah kembali untuk memanggilnya.

Perlahan-lahan Jane menyelak kain penutup muka yang hampir basah dengan air mata. Anak matanya meliar mencari kedudukan Ha-joon. Tatkala mata menyoroti wajah Ha-joon, tangisan Jane sudah tidak tertahan. Dia tersenyum dalam hiba. Syukur ya ALLAH, Ha-joon sudah sedar. Syukur sangat-sangat doanya dibalas dengan keajaiban ini. Terima kasih, Ya ALLAH.

Ha-joon yang berkerusi roda ditolak oleh Do-Hyun juga sebak. Wajahnya pucat tetapi dia tetap tersenyum memandang ke arah Jane. Di sebalik bukaan sedikit penutup wajah itu, dia dapat lihat wajah Jane yang kebasahan dengan air mata. Tak semena-mena matanya juga berair. Nasib baik sempat dia kejar. Nasib baik cepat dia teringat. Nasib baik peluang untuk pertemuan ini masih menjadi milik mereka.

Mata mereka berdua bertaut tetapi Jane sudah tidak mempunyai lebihan masa. Dia perlu segera memasuki pesawat. Orang ramai juga memerhati lagak mereka yang hanya saling memandang bersama air mata sebagai peneman.

Perlahan-lahan Jane mengangkat tangan dan mula berayun lembut melambai kepada Ha-joon yang turut menyambut lambaiannya itu. Mereka berdua tergelak kecil dengan tingkah mereka.

Sebelum Jane berpaling untuk melangkah pergi, sempat dia menangkap perkataan Ha-joon yang tidak bersuara namun Jane mengangguk perlahan kerana memahaminya.

Take. Care.” Ha-joon melontarkan kata-kata itu sebagai kalimat perpisahan mereka di Korea. Mata kemudian menghantar pergi tubuh Jane yang semakin hilang. Ha-joon tersenyum lega untuk peluangnya pada hari ini.

Safe journey, Jane,” ucapnya perlahan. Do-Hyun kemudian menolak kerusi roda Ha-joon untuk kembali ke hospital. Sungguh di luar dugaan fikiran tuannya ini. Baru sahaja sedar dari koma terus bergegas untuk ke airport selepas dia memberitahu perihal Jane yang akan pulang pada hari ini. Pakaian hospital pun masih belum diganti. Tuan, sungguh berkeras hati! Bisik hati kecilnya

Do-Hyun teringat pada peristiwa lebih kurang satu jam yang lalu, di mana Ha-joon berkeras untuk bertemu dengan Jane. Sampai-sampai dia sanggup melepaskan segala wayar yang bersambung pada tubuhnya. Masih tidak sedar yang diri itu masih lemah. Itu belum lagi dengan insiden pertelingkahan mulut dengan datuknya yang tidak membenarkannya bertemu muka dengan Jane. Sudahnya, Ha-joon dijaga ketat oleh bodyguard mereka.

Ha-joon memintanya untuk memberi ubat tidur ke dalam minuman bodyguards untuk memudahkannya ke lapangan terbang. Pada awalnya, dia tidak bersetuju kerana bodyguards itu macam sukar untuk dikalahkan. Namun, perkiraannya tiba-tiba salah pabila kedua bodyguard datuk Ha-joon menerima minuman yang dia beri tanpa syak wasangka. Maka, di sinilah mereka sekarang, di airport bersama senyuman manis Ha-joon yang masih tidak lekang walaupun telah berpisah dengan Jane beberapa minit yang lalu.

Tergeleng kepala Do-Hyun memandang tingkah tuannya.

“Tuan, memang dah gila!” gumamnya perlahan takut didengari.

●●●●●

“BOS, hari ini Cik Jannah akan sampai Malaysia. Bos nak kami terus bawa dia ke sini atau ke rumah bos?” tanya setiausaha Kingen kepada bosnya yang sedang memeriksa keluar masuk perniagaan mereka.

Kingen panggung kepala seraya bersandar ke kerusi gahnya. Wajahnya beriak dingin. “Hari ni?” tanyanya sambil melirik jam Rolex di tangan. “Pukul berapa?”

“Err... dalam pukul dua lebih, bos.”

Terangguk-angguk kepala Kingen. Sekarang baru pukul 11 pagi, lagi beberapa jam.  “Kau stanby apa yang patut. Budak tu bawa pergi rumah aku,” suruhnya kedengaran tegas.

“Baik bos.” Setiausahanya terus menapak keluar untuk bersedia bagi menjemput Jane di lapangan terbang.

Jari jemari Kingen mengetuk-getuk meja kacanya yang telah berganti itu dengan perlahan-lahan. Berkeletak-keletuk bunyinya menyamai jarum jam yang berdetik.

“Sampai jugak kau Jannah... Tak sangka, kali ni aku akan seksa kau depan mata,” desisnya sambil merenung jauh.

Tidak lama kemudian, dirinya bangun lalu bersiap dengan kemas. Kali ini, dia sendiri yang akan melihat dari jauh kepulangan wanita itu. Kerana tibanya Jane di Malaysia disebabkan oleh dua jejaka, segala rancangannya telah berubah. Apa yang pasti banyak risiko yang bakal Jane tanggung tidak ketinggalan risiko untuk pihaknya juga. Kerana dendam yang memandu diri, dia sanggup korbankan segala-galanya.

TBC...

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now