Tiba-tiba tubuhnya ditarik ke bawah dalam jerlusan pasir. Tiada isyarat akan bencana itu. Ha-joon mula meronta-ronta untuk bergerak naik namun lautan pasir semakin menimbusnya. Ha-joon sedaya upaya berenang untuk menyelamatkan diri tetapi lubang pasir itu terlalu dalam. Ha-joon semakin lemah. Dia semakin tidak berdaya.

Dalam ketika dia berusaha, ada pihak sedang berganding bahu untuk menyedarkannya ke alam realiti. Ya, keadaan Ha-joon kritikal.

Para doktor sedang berusaha merawatinya. Keadaan semakin mencemaskan pabila ventilator (alat bantuan pernafasan) yang bersambung dengan tubuh Ha-joon tiba-tiba berubah daripada stabil kepada kritikal. Kandungan oksigen miliknya semakin menurun.

Keadaan mencemaskan itu membuatkan doktor dan jururawat berusaha untuk memulihkan semula oksigen Ha-joon. Keluarga Ha-joon sudah dihubungi untuk sentiasa bersedia sebarang kemungkinan.

Ha-joon masih berusaha untuk mendaki naik. Sebaik sahaja menyentuh puncak, dia ditolak kembali. Berulang kali sehingga dia kepenatan. Ha-joon sudah tidak berdaya. Hatinya sudah pasrah untuk ditelan pasir tersebut. Air mata semakin mengalir ke pipi. Mengenang kehidupan mewahnya selama ini. Sekarang, kehidupan mewah itu tidak boleh membantunya dalam keadaan getir saat ini.

Perlahan-lahan Ha-joon memejam mata. Dia sudah pasrah untuk tenggelam. Tangan yang mencengkam puncak mula perlahan-lahan terlepas. Diri dibiarkan menjunam ke bawah. Dia sudah terima pengakhiran hidupnya.

Garis nadi Ha-joon di mesin monitornya semakin kacau. Hal itu, menandakan jantung Ha-joon berdenyut tidak teratur. Doktor dan para jururawat masih bertungkus lumus. Masa masih ada.

Seorang doktor lelaki bertindak menekan-nekan dada Ha-joon. Bertekad untuk mengejutkan semula jantung ke paras normal. Berkali-kali proses itu dilakukan. Apa yang pasti, pesakit VIP ini mesti diselamatkan.

Alat defibrillator tiba lalu laju dikenakan pada dada Ha-joon yang terbuntang luas. Doktor tersebut pantas menyapu gel pada paddlenya kemudian letak ke atas dada Ha-joon. Selepas alat tersebut sudah berada dalam keadaan sedia, tangan doktor tersebut terus menekan paddlenya untuk mengejutkan semua jantung Ha-joon ke paras normal. Prosesnya dilakukan untuk kali kedua kerana Ha-joon masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu kembali stabil.

Dari sisi Ha-joon sendiri, dia sememangnya menantikan tubuhnya terhempas. Sepanjang terjunam laju ke bawah, matanya tertutup. Dia sudah bersedia untuk menerima hentakan. Hati telah terbang ke masa-masa dia masih di dunia. Tentang Jane. Tentang keluarga. Memang inikah hari-hari terakhirnya?

Sebaris senyuman menemaninya sekarang. Dia tidak menyesal menyelamatkan gadis itu. Dia sudah tidak menyesal dengan dirinya sekarang. Dia akan menerima dengan ikhlas segala hukuman untuknya.

Tetapi Ha-joon silap. Ketika dia sudah berputus asa. Ketika dia rasa dunia sudah membuangnya. Ketika dia rasa dia tidak akan bertemu dengan Jane buat selama-lamanya. Ada tangan menyentuh lembut pipinya saat itu.

Perlahan-lahan Ha-joon membuka mata. Terpandang satu sosok yang bercahaya indah di depan mata. Semerta air matanya menitis laju.

“Kembalilah, masamu belum tiba.”

Air mata Ha-joon meluru lebat tatkala suara indah itu yang menyapanya sebelum jatuh tadi. Suara itu sekali lagi menenangkannya dengan bait-bait ayat yang dia tidak ketahui.

“Dia maha pengampun.”

Ha-joon terpana. Hati tertanya apa maksud suara itu. Dalam tidak sedar, tangan bercahaya itu sudah menariknya ke atas. Sekarang keadaan terang benderang. Hamparan awan di langit nan biru memberi rasa kagum kepada Ha-joon.

Ha-joon menoleh untuk mengucapkan terima kasih atas pertolongan itu kepada sosok yang menolongnya tetapi sekelip mata sosok itu telah hilang. Sekali lagi, hati Ha-joon dijentik keanehan. Siapakah sosok yang baik itu?

Dalam pada itu, doktor sekali lagi mengenakan alat elektronik tersebut pada dada Ha-joon pabila dirasakan jantung Ha-joon masih segan untuk berentak normal. Hati semua orang sudah serba tidak kena. Keluarga Ha-joon menanti di luar penuh debar.

Dalam bilik Ha-joon sekarang berlaku suatu perang yang membabitkan hidup dan mati mereka. Kang Min Seok mungkin bakal kehilangan seorang keturunan yang bijak. Haru pula mungkin kehilangan seorang abang yang selalu menjadi tulang belakangnya.

Doktor lelaki itu akhirnya menarik nafas lega apabila garis denyutan jantung Ha-joon mula kembali normal. Mereka yang ada turut mengucapkan rasa syukur. Di bibir mereka tergaris senyuman kemenangan atas kejayaan menyelamatkan seorang lagi umat manusia. Berkat semangat Ha-joon yang ingin hidup. Yang ingin kembali. Segala-galanya mencemaskan.

Ha-joon memandang ke sekeliling. Dia sekarang berada di tempat yang sangat indah. Ingin sahaja terus berada di situ. Namun, dia teringatkan akan kata-kata suara itu yang mengatakan masanya belum tiba. Ha-joon sebenarnya tidak faham. Lagi-lagi pada ayat yang berlagu di telinganya. Apa maksud suara itu sebenarnya?

Tempat itu memang cantik tetapi Ha-joon ingin keluar. Ingin kembali ke tempat yang sepatutnya. Masih banyak benda yang dia hendak lakukan. Dia hendak cari maksud suara itu.

Mungkin ini adalah petunjuk hidup yang sebenar. Mungkin tujuan sebenar manusia. Ha-joon mula meliar mencari pintu keluar.
Sebaik sahaja dia berniat, sudah terbentang luas sebuah pintu di depan mata. Ha-joon tidak menunggu lama lantas membawa diri ke dalamnya.

Diri berjanji akan terus pandang ke hadapan. Tekad menguasai diri untuk menemui orang-orang yang masih menyayanginya.

Esoknya, mata Ha-joon sudah memandang siling bilik. Air mata menitis tanda senang hati. Untuk kesekian kalinya, Ha-joon memanjatkan rasa syukur untuk peluang kedua ini.

TBC...

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now