Daniel dan Ha-joon juga tidak meninggalkan kesemua pihak lawan kepada Leng Hor dan Jang Nai. Mereka cuma basmi di kawasan yang lebih dekat dengan Jane.

Kini, tinggal seorang sahaja yang ada sebelum tiba ke arah Jane. Ha-joon dan Daniel bergabung menumbuknya serentak dan akhirnya musuh itu pengsan.

“Jane!” panggil mereka lagi secara serentak dalam keadaan masih berlari.

“Kau orang berhenti! Kalau tak aku tembak kepala dia!” Helmi menjerit kuat tiba-tiba membuatkan langkah Daniel dan Ha-joon terhenti.

Jane sudah bungkam bersama air mata yang tersisa. Terkejut dia apabila dirasakan ada tangan melingkar di lehernya. Sisi kanan kepalanya juga ditolak kasar. Tali yang mengikat tubuhnya sudah terlepas kecuali tangan masih terikat di belakang.

Jane jeling sekejap. Terkejut sekali lagi dia kerana pistol sudah tepat di kepala untuk kali yang kedua. Tapi kali ini lebih menakutkan. Dia boleh nampak Helmi akan bunuh dia betul-betul kali ini. Wajah lelaki itu telah bertukar riak. Mengapa Helmi marah benar sedangkan dia dah berjaya bunuh Daniel? Jane pelik.

“Helmi. Kau jangan buat gila. Jangan apa-apakan dia. Kau sendiri yang cakap, dia lubuk kuasa kau! Takkan kau nak bunuh dia?” Daniel cuba memujuk.

Jane terpana. Matanya yang ralit memandang Helmi tadi telah memandang Daniel apabila mendengar suaranya. Semerta, air matanya bercucuran sekali lagi.

“Daniel, awak masih hidup!” ucapnya lega.

Daniel balas pandangan Jane dengan senyuman sayu. Dia pandang Helmi semula. Jane masih belum selamat. Dia dan Ha-joon mara perlahan-lahan.

Helmi dan Jane makin terundur ke belakang mendekati tingkap. “Sebab dia lubuk kuasa akulah, aku takkan bunuh dia. Tapi kalau korang terus dekat, dia mati!” jerit Helmi keras. Wajahnya yang semakin memucat kerana kehilangan darah tidak dipedulikan. Apa yang penting, dia tidak boleh gagal hari ini.

Ha-joon mengeluh kasar. “Bro, just admit it. You’ve lost!” katanya. Geram pula hatinya dengan perangai keras kepala Helmi. Tidak sedarkah lelaki itu bahawa nyawanya perlu diselamatkan sekarang?

“Aku tak kalah lagi. Kalau aku mati, dia pun kena mati!”

“Kau nak kami buat apa untuk lepaskan dia? Biarkan kau pergi? Macam tu?” tanya Daniel. Cuba berunding.

“Tak boleh... tak boleh! Korang tak boleh ambik dia! Dia kena ikut aku balik Malaysia!”

“Tak. Aku takkan benarkan kau bawa pulang Jane ikut cara kau dah! Aku tak tahu lagi apa yang bakal kau buat dekat dia bila dekat Malaysia nanti. Kalau kau minta aku untuk lepaskan kau, aku boleh buat tapi tinggalkan Jane dekat sini," bentak Daniel. Gigi digetapkan.

Helmi merengus. “Aku. Takkan. Bagi. Ana. Dekat. Kau!” ucapnya sepatah demi sepatah. Dia semakin kuat menarik Jane ke belakang mendekati tingkap. Ha-joon dan Daniel berjaga-jaga. Risau jika Helmi merancang untuk terjun bersama Jane dari tingkap itu.

Jane rasa pegangan Helmi di lehernya semakin kemas. Sukar untuk dia bernafas dengan baik apabila lengan lelaki itu kadang menyentuh hidung dan mulutnya. Tidak lama kemudian dia terfikir sesuatu.

Jane membuka luas mulutnya lalu mengigit kuat lengan Helmi. Sekeras-kerasnya. Biarkan ia berbekas dan berdarah. Dia dah geram sangat.

Argh!!!” Helmi menyeringai kesakitan. Meronta-ronta cuba lepas dari gigi Jane. Pistol di tangan sudah terlepas kerana secara spontan dia menggunakan kedua tangannya untuk menolak tubuh gadis itu.

Ha-joon yang nampak pistol Helmi, terus menyepaknya jauh daripada pergelutan itu. Daniel pula cuba masuk untuk menarik Jane daripada pegangan Helmi. Kaki menendang perut Helmi kuat sehingga lelaki itu terjelepok ke lantai. Menyambut Jane ke dalam pelukannya.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now