Jane yang ditarik ke belakang terasa tubuhnya mengena dinding bangunan. Lebih mengharukan apabila Daniel semakin lama semakin berundur ke belakang. Hampir sahaja hidungnya mengena belakang Daniel.

Ha-Joon mencerlung wajahnya kepada Daniel. Dapat dirasakan bagai ada arus elektrik yang menghubungkan mata tajamnya dengan mata tajam milik Daniel.

Dia terasa bengang bila Daniel mencampuri urusannya. Namun begitu, bukan Daniel yang ingin dia berkelahi sekarang. 

Ha-joon kembali tenang.     

“Kau tak tahu malu? Datang-datang terus peluk hak orang?” herdik Daniel.

Ha-Joon merengus kasar. “Kau bayar sehari tak bermakna kau boleh simpan dia sebagai milik kau selamanya!” Ha-Joon memulangkan kata dengan cara yang sama. Perkataan ‘hak orang’ membentuk lava di hati. 

“Kau tepi! Aku nak jumpa Jane, bukan nak bergaduh!” jeritnya lagi.

“Kalau aku tak benarkan?” Daniel bertanya sambil kening kanannya terangkat.

Ha-Joon tidak menghiraukan pertanyaan Daniel malah sudah bergerak untuk menarik Jane. Aksi tolak-menolak mereka menjadi semakin sengit membuatkan Jane rimas. 

Jane yang sekejap ke kanan, sekejap ke kiri mencari ruang yang luas untuk bernafas dengan tenang namun begitu kedua lelaki itu asyik berasak-asak menyukarkan pergerakannya. Tambah-tambah lagi, Daniel yang bertindak kononnya sebagai hero melindungi si gadis semakin terundur ke belakang. 

Akhirnya, Jane yang sudah tidak mampu untuk menahan rasa geram di hati mula menjerit.

Stop!!!” Lantang suaranya. Mereka yang lalu lalang turut sama terkejut. Terhenti serta-merta perbalahan Daniel dan Kang Ha-Joon. 

“Korang ni macam budak-budak tahu tak?” jerit Jane. Dia dah jadi stres. Kaki terus diatur memasuki bangunan apartmennya. Tak kuasa aku nak layan korang lagi! Cetus hatinya.

Terkebil-kebil mata Daniel dan Kang Ha-Joon mendengarnya. Tak sangka gadis itu pandai marah juga. Fikir mereka. Mereka juga tidak menunggu lama, terus mengekori Jane.

“Jane, saya nak bercakap dengan awak! Please, Jane!” rayu Ha-Joon.

“Jane, nanti dulu! Awak masih ada hutang dengan saya!” Daniel pula bernada serius.

Serentak. Kedua-dua tangan Daniel dan Ha-Joon berjaya mencapai tangan Jane sebelum sempat gadis itu hilang ke dalam perut lif. 

Namun begitu hanya sesaat sahaja, kerana Jane bertindak merentap kedua-dua tangan mereka. Ekspresi wajah Jane juga terlihat masam mencuka.

Ha-Joon teguk liur. Daniel mengawal reaksi.  

“Sir, awak nak cakap pasal apa? Dan awak Daniel, hutang duit itu ke yang awak maksudkan?” Jane bertanya selepas dia berjaya mengawal gelodak di hati. 

Tak ada guna nak marah-marah buat masa ni! Fikirnya. Daniel harus tetap dia jauhi tetapi Ha-Joon pula ada hal apa yang belum diselesaikan? Kedua jejaka di hadapannya kini dipandang silih berganti.

“Bukan itu maksud saya. Awak tak ada hutang apa-apa pun. Saya cuma nak tahu nombor rumah awak! Memandangkan saya pun tinggal di sini, tak salah kan kalau saya tahu?” 

Daniel cuba memancing perasaan Jane dengan bernada kedengaran merayu.

Memang Daniel betul-betul nak tahu nombor rumah Jane. Selepas mendapat tekanan daripada Hariz semalam membuatkannya semakin terdesak untuk menjejaki gadis itu. Hampir kesemua apartmen di aras mereka, dia ketuk pintu tetapi tetap hampa kerana bukan Jane penghuni dalamnya. 

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now