Sakinah yang mendengar menggeletar ketakutan namun kaki digagahkan jua menuju ke hujung jalan terowong itu. Dia sudah nampak jalan keluar.

Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar ada pertolongan yang datang. Mak! Maafkan Sakinah mak. Kalau tahu jadi begini, tidak mahu rasanya kaki melangkah ke tempat sebegini. Penyesalan kembali menguasai diri.

Darah yang tak henti-henti mengalir keluar di perut mula melemahkan lariannya. Perlahan-lahan Sakinah terduduk. Dia sudah tidak larat.

Belakang tubuhnya disandarkan pada dinding terowong. Cuba mencari kekuatan. Kering tekaknya. Dahaga! Mata pula asyik pejam celik menahan sakit. Pelbagai rasa bermain di hati dan fikiran.

“Ya Allah! Ampunilah aku! Jika hari ini aku ditakdirkan menemuimu, aku redha, ya Allah. Ampunilah dosa hambamu ini,” doanya lesu. Aku tak boleh putus asa! Tangan menongkat tar di situ. Digagahkan jua tubuhnya. Dia ingin bangun. Masih ada masa!

Namun begitu, belum sempat tubuhnya berjaya didirikan, kakinya disepak kuat dari arah belakang. Terjatuh melorot dia di atas tar.

“Arghh!”

Perit. Terasa bagaikan tulang kakinya dipatah-patahkan. Dalam dia menahan peritnya akibat disepak tadi, wajahnya disimbahi dengan pancaran cahaya terang. Pedih matanya menahan panahan cahaya itu.

Dalam pandangannya yang tidak berapa nak jelas, dia dapat mengagak yang ada satu tubuh sedang tegak berdiri di hadapannya.

Tiba-tiba kedengaran gelak ketawa besar dari belakangnya. Tubuh sudah menggigil ketakutan dan secara tidak langsung wajah insan yang sudahpun berdiri di hadapannya sekarang jelas terpamer pada pandangannya.

Helmi dan pengikutnya!

Air mata mula merembes keluar. Tahulah dia pengakhirannya sekarang.

“Dekat sini kau rupanya! Puas aku cari!” jerit Helmi kuat. Kaki menolak tubuh Sakinah kasar. Dia kemudian melutut di hadapan sekujur tubuh Sakinah yang kian lemah itu. Dengan kasar wajah Sakinah dicengkam kuat.

“Sakinah... Kau nak pergi mana sayang? Kau nak lari mana? Sini kan tempat kau!” Helmi bersuara sarkastik.

“Aku dah tak nak buat kerja tu Helmi! Bagi aku dengan Ana balik! Aku nak balik! Aku nak balik!” jerit Sakinah sambil meronta-meronta tidak berdaya agar Helmi melepaskannya. Wajahnya sudah pucat menandakan dia hampir kehilangan banyak darah. Tidak berdaya lagi untuk bertahan.

Hahaha... Kau buat lawak ke? Kau ingat senang-senang aku nak lepaskan kau? Boleh! Aku akan hantar kau balik sekarang jugak! Siap kau boleh jumpa arwah bapak kau lagi!” jerit Helmi lantang.

Wajah Sakinah ditampar kasar. Berkali-kali! Geramnya pada gadis itu tidak berpenghujung. Gadis itu memang patut kena dengan dia pun.

Helmi kemudian menyuruh pengikutnya itu mengangkat Sakinah bangun. Kedua-dua tangan Sakinah dipegang kasar. Rayuan Sakinah juga makin lemah namun tidak dipedulikan. Pistol dari seluar jeansnya dibawa keluar lalu dihalakan tepat pada Sakinah.

Sakinah sudah kecut perut. Mata perlahan-lahan ditutup rapat. Dia pasrah. Tiada guna merayu lagi. Lelaki berhati binatang itu tidak akan menunjukkan belas kasihannya. Dalam hatinya tidak putus-putus menyebut Allah... Allah...

Bayang-bayang emak di kampung mula menari-menari di ingatan. Mak... ampunkan Kinah... Bisik hati kecilnya berulang-ulang.

Air mata tak usah dikata. Bercucuran membasahi bumi namun langsung tidak mampu melembutkan hati Helmi yang sudah nekad.

Bang!

Bang!

Bang!

Dalam keadaan separuh sedar, Jane dapat mendengar dengan jelas akan tiga das tembakan itu. Air mata bercucuran laju menuruni pipi.

Dia yang terlantar di atas tar cuba untuk bangun namun tidak berdaya. Secara perlahan-lahan mula merangkak untuk menuju ke arah terowong. Kinah, tunggu aku. Rintihnya lemah sehingga dia pun menutup mata.

Kejam!

Tidak berperikemanusiaan!

Tiga das tembakan itu telah dilepaskan oleh Helmi. Tubuh Sakinah melayang rebah menyembah bumi. Kini, Sakinah tiada lagi. Tiga das tepat di kepala sememangnya penamat hidup baginya.

Jasadnya juga tidak bertanda.

TBC...

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now