"That's why I love you so much, pa."















                                 DULANG berisi dua gelas air Milo ais diletakkan ke atas permaidani berwarna hitam. Sementara Luth pula sedang mengutip serpihan kayu daripada meja kopinya yang terpatah akibat tendangannya tadi, lalu dibuang ke dalam tong sampah.

"Sudahlah kemas tu. Kejap lagi biar saya sahaja yang kemas. Tadi kata dahagakan? Minumlah dulu. Karang kalau dah cair ais tu tak sedap pula. Encik tu dah lah mengada lebih!" ujar Hawa. Sempat lagi dia menyelit ejekan di situ. Tatkala anak mata Luth pula masih meliar ke segenap lantai biliknya, mencari serpihan kayu kecil yang masih tertinggal. Takut-takut jika ada serpihan halus dan tajam di situ. Kalau dia terpijak tak mengapa, tapi kalau Hawa yang memijak. Itu parah bagi Luth.

"Hei, cicak kau sabar boleh tak? Kalau ada serpihan tajam dekat lantai ni macam mana? Siapa yang susah kalau terpijak? Aku juga..."

"Eleh... siapa suruh encik tendang meja tu sampai patah? Asal mengamuk je ada sahaja barang nak dipukul. Kesian perabot dalam bilik ni jadi mangsa. Tak boleh bercakap pun kena belasah juga." ejek Hawa.

Luth menjeling tajam ke arah Hawa. "Kau diam sekejap boleh? Karang tak perabot aku tendang, kau juga yang aku tendang sampai terpelanting keluar daripada balkoni." gertaknya. Luth menjuling anak mata ke atas, menyampah. Kerja membebel sahaja minah ni. Apa kurangnya dengan aku, kan? Sama sahaja. Dia kembali menunduk ke lantai, mencari serpihan kayu yang masih belum dijumpai. Dia pasti, masih ada yang belum dikutip.

Hawa menjeling meluat. "Ceh! Nak tendang aku konon? Macamlah dia sanggup nak buat macam tu..." gumam Hawa, perlahan. Cukup untuk dia sahaja yang mendengarnya. Sekilas anak matanya turut bergerak-gerak mencari serpihan kayu di lantai. Kesian pula melihat Luth cari seorang diri.

"Ha! Jumpa!" jerit Hawa. Aku pula yang gembira dapat menjumpai serpihan kayu yang dicari-cari. Ia berada di bawah meja solek milik lelaki itu. Kecil sahaja. Kalau terpijak, mungkin akan menusuk ke kulit. Ah, mesti menyakitkan! Tanpa banyak bicara, Hawa terus menunduk mengutipnya.

"Jangan!" halang Luth.

PAP!

Tangan Hawa yang memegang serpihan kayu itu terus ditampar oleh tangan lelaki itu. Spontan Hawa melepaskannya kembali. Dia mengaduh sakit. Ish! Rasa nak tumbuk sahaja mamat ni.

"Aduh... Awak ni kenapa? Saya tolong pun salah ke?"

"Jangan sentuh barang aku. Duduk diam je dekat situ, biar aku yang kutip! Tak faham bahasa betul. Aku tumbuk karang tak pasal-pasal rongak!" herdik Luth. Terus dia membongkokkan tubuhnya mencapai serpihan kayu yang terakhir lalu dibuang ke dalam tong sampah. Hawa mencebik bibir. Semua benda tak boleh buat, habis apa gunanya aku dekat dalam bilik dia ni?

Luth tersenyum puas memandang segenap ruang biliknya yang kemas dan teratur. Dia menepuk-nepuk tangan seolah-olah membersihkan kotoran yang terlekat pada tangan sebelum melangkah mendekati Hawa yang berdiri di atas permaidani.

"Sudah, boleh duduk." ujarnya. Hawa tersenyum gembira. Akhirnya, boleh juga aku melabuh punggung setelah lama berdiri. Lantas, mereka pun sama-sama melabuh punggung di atas permaidani gebu itu. Kedua belah kaki Luth dilunjurkan ke hadapan, dia lebih selesa duduk dengan posisi seperti itu berbanding bersila. Manakala Hawa pula duduk dengan posisi bersimpuh di sisi Luth. Kenalah ayu sedikit dengan lelaki. Takkan nak duduk cara gangster pula.

"Finally. I can rest..." ucap Luth sambil dia mengatup mata buat beberapa minit. Dia bersandar pada katil yang berada di belakangnya. Nafas ditarik panjang, lalu dihembus perlahan.

MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Donde viven las historias. Descúbrelo ahora