Bab 30

27.2K 2K 462
                                    

                         HAWA turun daripada kereta milik Luth sebaik sahaja Luth memarkir keretanya bersebelahan dengan Rolls-Royce Phantom yang turut terparkir di halaman rumah agam Tuan Haji Zamani. Kelihatan ada beberapa buah kereta Toyota Hilux yang turut terparkir di luar rumah ini. Kasut di yang berada di hadapan pintu utama pun banyak, menunjukkan ada beberapa buah keluarga yang tiba.

"Hari ni family awak ada buat majlis ke?" soal Hawa. Dia berpaling memandang Luth yang baru sahaja keluar daripada perut kereta. Kedua belah bahunya dijongketkan ke atas. Entah. Dia pun sedang bingung.

"Diaorang tak bagitahu aku apa-apa pun. Tak apalah, jom kita masuk dulu. Dekat luar panas." ajak Luth. Hawa Mengangguk kepala. Mereka sama-sama mengatur langkah menuju ke arah pintu utama yang terbuka luas. Sampai sahaja di ruang tamu, langkah mereka terhenti dengan serta-merta sebaik sahaja melihat dua buah keluarga besar sedang duduk di sofa bersama Tuan Haji Zamani dan Puan Kalsum. Namun, anak mata Luth lebih tertumpu kepada Shahidah yang duduk bersebelahan dengan ibunya. Sedang tersenyum simpul memandang ke arah Luth yang baru muncul.

Serentak pandangan mereka semua teralih ke arah Hail. "Oh, ini ke Luth Mikail?" soal Datin Hanis. Sekilas dia menoleh ke arah Puan Kalsum yang mengangguk kepala tanda benar.

"Haah. Inilah Luth yang Shahida asyik cakapkan daripada tadi. Luth ni anak nombor dua saya. Pewaris hotel tak lama lagi." ujar Puan Kalsum, menceritakan serba sedikit tentang Luth kepada Datin Hanis.

"Patutlah anak kami tak henti bercerita tentang Luth. Handsome rupanya. Memang patutlah Sha suruh kami cop Luth awal-awal. Kalau dah begini rupanya, memang laku keras!" celah Dato' Mukhriz pula. Mereka ketawa senang. Malik yang duduk di sebelah Tuan Haji Zamani hanya tersenyum sinis mendengarnya. Ini bermaksud, tak lama lagi bakal ada bau nasi minyak di rumah ini dan Hawa tidak lagi akan menjadi milik Luth. Bagus, bagus... kau memang bagus Shahidah, bisik Malik di dalam hati.

Luth menggeleng kepala tidak faham. Dia terus melangkah mendekati Puan Kalsum. Ruang kosong di sebelah kiri ibunya menjadi tempat dia melabuh punggung.

"Apa semua ni mak?" soal Luth, berbisik.  Puan Kalsum tersenyum nipis.

"Mereka ni..."

"Mereka keluarga Shahidah. Diaorang datang sini sebab nak meminang kamu jadi suami kepada anak perempuan mereka, Shahidah. Kitaorang tengah berbincang tentang tarikh perkahwinan. Nak bertunang pun bukannya elok sangat, kan? Kahwin terus lagi bagus." cantas Tuan Haji Zamani. Memotong kata-kata isterinya.

Jatuh rahang Luth mendengarnya. Anak mata terus berlari ke arah Shahidah. Meminang?! Dia kembali memandang Tuan Haji Zamani. Spontan dia bangkit daripada sofa. Kepala digeleng berkali-kali.

"Kenapa tak bincang dengan Luth dulu?"

"Alaa... Luth, duduklah dulu. Bawa bertenang. Kitaorang nak bincanglah ni. Meh, duduk sebelah mak." ujar Puan Kalsum. Dia menepuk ruang kosong di sebelahnya, menyuruh Luth untuk kembali duduk dan berbincang dengan aman.

"Err... Hawa, Hawa boleh tolong hidangkan air untuk tetamu tak? Atau Hawa masih lagi sakit? Kalau sakit rehatlah dulu. Pak cik boleh suruh mak cik yang buatkan air." sampuk Tuan Haji Zamani, memandang Hawa yang masih berdiri tercegat, kaku. Terkulat-kulat Hawa mengangguk kepala saat tersedar daripada lamunannya. Segaris senyuman kelat diukirnya.

"Bo... Boleh." akur Hawa. Dia membongkokkan sedikit tubuhnya tanda hormat, sebelum mengatur langkah ke dapur. Dari ekor matanya, Luth hanya mampu melihat Hawa yang beredar begitu sahaja. Sesaat dipejamkan mata. Entah mengapa hati Luth terasa sakit sangat apabila Hawa pergi. Sebelah tangannya sudah mencengkam seluar. Membuak-buak amarahnya sekarang, tetapi masih boleh dikawal dengan baik. Dihembus nafas dan ditarik berkali-kali agar jiwanya tenang semula. Setelah itu, dia menoleh kembali ke arah keluarga Shahidah. Ditatap satu demi satu wajah yang duduk di keliling ruang tamu itu. Besar juga keluarga perempuan ni.

MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang