Bab 18

24.5K 2K 397
                                    

HAWA membawa langkah menuju ke kabinet yang terbina luas di tepi dinding. Setelah siap menyiapkan hidangan makan petang, terdetik pula untuk mengemas di sudut galeri yang memaparkan beberapa keping gambar yang diletakkan di dalam bingkai kaca lalu digantungkan pada dinding. Ada juga beberapa gambar yang hanya diletakkan sahaja pada kabinet sebagai hiasan kenangan mereka. Kepala Hawa sedikit terdongak memandang satu bingkai gambar yang amat besar. Ia terletak paling atas. Gambar keluarga lengkap mereka. Pasti ini gambar lama. Kerana dia lihat Puan Kalsum dan Tuan Haji Zamani sedang mendukung anak kecil mereka di hadapan laut yang luas. Ketika itu mungkin Luth baru sahaja berusia 5 tahun, manakala Malik pula berusia 6 tahun.

Hawa menunduk pula memandang bingkai gambar yang tersusun kemas di atas kabinet yang di isi dengan majalah harian. Entah mengapa, dia rasa tertarik dengan gambar seorang gadis yang memakai kaca mata. Nampak seperti nerd. Tetapi dalam tangan gadis itu memegang segulung ijazah yang membanggakan.

"Cantiknya perempuan ni..." puji Hawa, tangannya mencapai bingkai gambar itu. Wajah di dalam bingkai kaca itu diusapnya lembut. Memang cantik orangnya. Seorang gadis berkulit putih, mempunyai anak mata berwarna hazel pekat. Apabila dia tersenyum, kelihatan lesung pipit di wajah gadis itu. Sungguh manis.

"Itu Sumaiyah." sampuk Puan Kalsum, sedikit menyentakkan Hawa yang leka merenung gambar gadis itu. Dia pantas menoleh ke sisi, memandang Puan Kalsum yang turut melihat gambar yang berada ditangannya.

"Sumaiyah?" soal Hawa, kurang jelas mendengar nama yang disebut Puan Kalsum tadi.

Puan Kalsum mengangguk kepala mengiyakannya. "Iya. Sumaiyah. Anak mak cik yang nombor tiga. Cantikkan? Muka dia ada iras-iras seperti Hawa sedikit. Bila mak cik lihat muka kamu, pasti mak cik akan teringatkan tentang Sumaiyah." ujar Puan Kalsum dengan senyuman mekar di bibir. Namun, disebalik senyuman yang tampak membahagiakan terselit seribu satu duka yang disembunyikan.

Hawa mengerut kening. "Jadi, mana dia sekarang?"

"Dia dah tak ada. Dah lama dia pergi tinggalkan keluarga kami. Dia lah satu-satunya adik yang Luth paling sayang. Sampaikan... waktu dia dapat tahu Sumaiyah dah tak ada. Dia menjerit sekuat hati dia dalam rumah ni. Dia kesal sebab tinggalkan Sumaiyah seorang diri waktu dia nak jumpa dengan kawan-kawan dia untuk buat assignment. Tapi nak buat macam mana, kan? Allah lebih sayangkan dia. Dia mungkin lebih bahagia dekat sana." ujar Puan Kalsum. Tanpa sedar, air matanya turut bercucuran mengalir apabila mengenangkan kembali kisah pahit itu.

"Apa yang jadi dekat arwah Sumaiyah?" soal Hawa, lagi. Entah mengapa dia tiba-tiba rasa ingin tahu tentang kematian gadis ini.

"Dia kena rogol dan meninggal disebabkan tikaman pada perut. Berlaku pendarahan yang banyak sampaikan doktor tak sempat lagi nak selamatkan keadaan Sumaiyah waktu itu."

"Astaghfirullah hal azim... kena rogol? Habis mak cik dengan pak cik tak buat report polis ke?"

"Suami mak cik dah buat report polis. Tapi... dia tarik balik report tu. Mak cik pun tak tahu sebab apa? Mak cik ada cuba tanya dia, tapi pak cik tak nak jawab. Itu sebab lah hubungan Luth dengan pak cik tak berapa nak erat. Dia tak puas hati sebab pak cik biarkan sahaja kes siasatan rogol tu tutup. Luth ingatkan yang ayah dia sengaja tutup kes sebab nak jaga nama baik keluarga. Tapi entahlah... mak cik pun tak tahu sebab apa suami mak cik buat macam ni. Apa-apa pun, mak cik reda dengan pemergian Sumaiyah."ujar Puan Kalsum, panjang lebar dia menceritakan perkara sebenar. Hawa pula terangguk-angguk mendengarnya. Patutlah aku tengok Luth dengan Tuan Haji Zamani jarang bertegur sapa dalam rumah ni. Rupa-rupanya ada kisah silam yang pernah membelah hubungan baik mereka.

Puan Kalsum tersenyum kelat. Dia pantas mengelap semua air mata yang mengalir membasahi pipinya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, lalu dihembus keluar agar diri kembali kuat dan tenang. "Tak apalah, Hawa. Hawa sambunglah buat kerja. Mak cik nak pergi rehat dekat atas."

MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Where stories live. Discover now