"Alhamdulillah..." ucap Datin Hanis, bersyukur. Dia menekup kedua belah tangannya ke muka. Bahagia sungguh! Akhirnya, anak daranya sudah bertemu dengan lelaki yang sesuai.

"Kalau itu yang Sha kata, baiklah. Mama akan bincang dengan papa esok pagi. Insyaallah, secepat mungkin kita akan cuba cop lelaki yang Sha mahukan itu."

Shahidah tersenyum gembira. Terus tangan Datin Hanis diciumnya. Dia kembali mengangkat wajah setelah beberapa minit. "Terima kasih, ma!"

"Ni lagi satu, cuba Sha pergi turun dekat bawah. Ada seseorang tengah tunggu Sha. Pergilah, mesti Sha suka."

"Seseorang? Siapa, ma?"

"Pergilah tengok dahulu."

Shahidah mengangguk kepala. Tanpa berlengah dia mengatur langkah keluar daripada biliknya. Dia meniti satu demi satu tangga menuju ke tingkat bawah. Sampai sahaja di ruang tengah, dia berpaling ke arah ruang tamu yang berada di sebelah kirinya. Membeliak biji matanya, terkejut apabila melihat seorang wanita berusia 40 tahun berdiri di situ menunggunya dengan berpakaian kebaya nyonya berwarna merah.

"Mak Ton!!" jerit Shahidah. Terus dia berlari laju mendapatkan Zaiton. Tubuh wanita itu dipeluknya erat dengan gelak tawa membahagiakan. Mereka saling berlanggar pipi sebelum menatap antara satu sama lain.

"Ish, lamanya tak jumpa anak saudara kesayangan Mak Ton ni. Makin cantik! Makin meletop!" puji Zaiton.

"Apa kurangnya dengan Mak Ton? Makin berseri-seri tak nampak macam tua langsung! Macam anak dara adalah!"

Zaiton tergelak kecil saat mendengar. Kembang hidung apabila dipuji oleh anak saudara sendiri. Pipinya pula memerah menahan malu. Pandai betul menyakat si Shahidah ni! Tatkala suami sendiri yang berada di belakangnya hanya menjeling meluat. Ayah Harun menggeleng kepala berkali-kali. Celah manalah yang nampak macam anak dara tu? Baguslah, dua-dua sekepala!

"Kamu ni... janganlah puji Mak Ton lebih-lebih, malulah!"

"Dah memang cantik, takkan lah Sha nak tipu? Tapi awalnya Mak Ton datang rumah. Kata nak datang minggu depan?"

"Cadangnya macam tu lah... tapi Mak Ton rasa bosan pula duduk rumah. Bila jumpa Sha, bolehlah Mak Ton ajak pergi shopping sama-sama nanti." ujar Zaiton. Shahidah mengangguk kepala tanda faham.

"Ouh... kalau macam tu, tak apalah. Mak Ton duduk je dekat sini berapa lama yang Mak Ton nak. Sha tak kesah. Malah Sha lagi suka! Ada banyak cerita yang Sha nak kongsi dengan Mak Ton. Mak Ton nak tahu tak yang Sha dah jumpa calon yang sesuai?"

"Seriously?! Handsome tak orangnya?"

"Ish, tentulah handsome! Kacak sangat-sangat Mak Ton. Dia dah lah tinggi, kacak, selepas itu kaya pula tu! Mak Ton mesti suka. Kalau ada masa nanti, Sha bawa Mak Ton jumpa lelaki tu."

"Rasa tak sabar pula nak jumpa calon hati anak saudara Mak Ton ni. Kalau Sha suka, Mak Ton bertambah-tambah suka!" Mereka ketawa lagi. Bab membawang itu memang nombor satu! Asalkan bertembung sahaja, pasti mulut mereka takkan berhenti bercakap. Tambah pula Zaiton dan Shahidah sekepala. Memang membara lagi gosip mereka.

"Okay, macam ni... Mak Ton duduk sini dahulu. Sha nak buatkan kopi sekejap. Boleh? Duduk ya." pamit Shahidah. Lantas, dia mengatur langkah menuju ke dapur untuk menghidangkan air buat tetamu mereka. Sofa panjang berwarna emas menjadi tempat Zaiton dan suaminya melabuh punggung. Sekilas anak mata Zaiton meliar ke sekeliling ruang tamu itu. Wah! Mewah betul. Kalau macam ini, duduk bertahun-tahun pun tak apa!














MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Where stories live. Discover now