Hawa terus melemparkan pandangan ke sebelah. Terkejut Hawa apabila melihat Luth yang turut berdiri di balkoni dengan mengenakan pijama berwarna hitam. Hawa kaku. Matanya tak berkedip daripada tadi.

Luth tersenyum sinis. Dia memandang wanita itu daripada bawah hingga ke atas. Memang rezeki aku agaknya. "Tapi kali ni 'Cik Ponti' dah pandai upgrade baju." sambung Luth lagi.

Hawa terpempan sejenak. Upgrade baju? Dia lantas menunduk memandang pakaiannya. Ya Tuhan! Terus kedua belah tangannya melekap ke dada. Macam mana aku boleh lupa aku pakai baju ni?

"Rambut pun cantik juga. Tak mengurai macam Kak Limah." tegur Luth lagi, sengaja dia ingin menyakat.

Hawa meraba-raba kepalanya pula. Tudung pun aku tak pakai! Hawa mula terkulat-kulat. Tanpa berlengah, dia terus dia berlari masuk ke dalam biliknya semula. Sliding door ditutup rapat. Siap kunci lagi. Tak cukup dengan itu, dia menarik pula langsir menutup pintu berkaca itu. Nafas Hawa mula tidak teratur. Jantungnya berdegup pantas.

Dia mengatup mata seketika. Muka Hawa memerah menahan malu. Lebih-lebih lagi, apabila mendengar gelak tawa lelaki itu daripada luar. Kuat pulak tu!

"Ish!" Hawa kembali membuka mata. Makin geram pula dia mendengar Luth ketawa.

"Suka sangatlah tu! Mati-mati aku ingat dia dah tidur. Baru aje aku nak berangan jadi Cinderella tadi. Kacau mood betullah mamat ni!" bebel Hawa. Dia merengus kecil. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, lalu dihembus keluar. Tenang Hawa. Sabar. Setelah beberapa minit, gelak tawa Luth tidak lagi kedengaran. Mungkin sudah masuk ke dalam bilik. Tahu pula nak masuk ke bilik mamat ni? Mentang-mentang aku nak keluar, dia pun sibuk sahaja nak keluar!

Tit! Tit! Tit!

Hawa mengerut kening. Bunyi apa tu? Anak matanya melilau memandang sekeliling bilik, mencari dari mana arah bunyi pelik itu datang. Telefon rumah yang terletak di atas kabinet bersebelahan dengan katilnya menjadi sasaran. Lah! Bunyi telefon rumah ke? Siapa pula yang hubungi aku malam-malam ni?

"Haih, pelik tiba-tiba bunyi. Karang kalau aku angkat, tiba-tiba keluar suara mengilai sampai ke esok aku tak tidur."gerutu Hawa. Kecut perut pula dia ingin menjawab panggilan itu. Tapi, makin di biar makin bunyi kuat pula. Bingit telinga aku!

Tidak mahu tidak, dia harus juga mengangkatnya. Tanpa berfikir panjang, terus telefon rumah itu diangkat lalu diletakkan pada telinga kirinya. "Hello?"

"Hei, cicak... yang kau tak tidur lagi kenapa?" soal suara garau itu. Hawa ternganga. Cicak?! Muka cantik macam ni kau panggil cicak? Dia ingat aku tak cam ke ni suara siapa? Tak puas menyakat masa dekat balkoni, dia call guna telefon bilik ini pula.

Hawa mengetap bibirnya, geram. Dia cuba mengawal nafas, agar kelihatan tenang. "Apa masalah encik ni huh? Tiba-tiba call saya pagi-pagi buta macam ni? Selepas tu panggil saya cicak pula!"

"Dah memang kau cicak pun. Cicak je yang jaga tengah-tengah awal pagi macam ni." selamba Luth, menjawab. Ish! Tengoklah, masih lagi tidak mahu mengalah. Makin disindir, dia balas dengan sindiran 2 kali ganda. Menyakitkan hati betul!

"Eh, suka hati sayalah nak berjaga sampai pukul berapa sekalipun? Habis yang encik tu tak tidur lagi kenapa?"

"Macam mana aku nak tidur? Aku dah nampak 'Cik Ponti' bertenggek dekat balkoni tadi. Kalau nak diikutkan tadi, hendak je aku simbah kau dengan air Yasin biar terbakar kau dekat situ." sindirnya. Kedengaran ada ketawa kecil dibelakangnya. Hawa menjeling, meluat.

"Oh, ya... sebelum aku terlupa. Esok pagi family aku nak ke rumah kebajikan anak yatim Murni. Mereka ada buat bacaan yasin dengan jamuan." ujar Luth. Kali ini nada suaranya agak kedengaran serius.

"Jadi? Apa kena mengena dengan saya?"

"Aku nak kau ikut."

"Lah? Buat apa saya nak ikut? Saya bukannya keluarga awak. Saya ni orang gaji je. Lagipun, kalau semua orang keluar senang sikit saya nak buat kerja."

"Hei, kau jangan banyak cakap boleh tak? Aku nak kau ikut, apa susah sangat? Ingat sikit siapa yang selamatkan kau? Jadi, sebagai balasan aku nak kau teman aku. Aku tak berapa selesa sangat dekat sana. Budak-budak dekat situ semuanya berlagak. Tegur sikit nak lari. Apa muka aku ni menakutkan sangat ke?"

"Memang pun..." gumam Hawa, perlahan.

"Sudahlah. Aku nak tidur. Ingat ya, tepat pukul 7 pagi aku nak kau bersiap. Aku tunggu kau dekat dalam kereta. Kau lambat memang nahas aku kerjakan kau!"

"Tapi..." tak sempat Hawa hendak bersuara, Luth terlebih dahulu meletakkan panggilan. Hawa terpempan sejenak. Dia mengerut kening. Pelik betul perangai lelaki ni. Tergeleng kepala Hawa melayan karenahnya. Kejap panas, kejap suam, sekejap selepas itu dingin pula. Tak menentu mood lelaki ini. Sukar untuk Hawa meneka. Agaknya ikut musim kot?



MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Where stories live. Discover now