BAB 95: BERANGKAT

1.7K 128 8
                                    

Dark Chronos membuka matanya yang terpejam sebelum memandang seseorang yang sedang duduk di kerusi takhtanya. Di sudut hujung belakang kerusi itu pula terdapatnya cermin bujur besar dengan air di dalamnya. Warna airnya separuh hitam di bawah dan separuh jernih di atas.

"Heh... Dah tiba masanya. Aku harap kamu lakukan tugas kamu dengan cekap, Chronos... Jika kamu tak nak kehilangan kedua-dua benda penting kamu. Nyawa kamu dan..." Dark Revier tidak menghabiskan kata-katanya sebaliknya tersengih melihat aura hitam keluar daripada tubuh Dark Chronos.

Mata Dark Chronos yang tidak mempunyai lapisan putih dan anak mata tetapi hitam kesemuanya, muncul anak mata bujur tajam berwarna kelabu seperti kabus.

"Jangan sia-siakan peluang terakhir kamu ini, Chronos," pesan Dark Revier sebelum menghilang daripada kerusi di hadapan Dark Chronos.

Dark Chronos mengancing giginya dengan kuat dan genggaman tangannya yang terlalu ketat menyebabkan darah berwarna hitam menitis daripada luka tangannya yang terbuka. Dia berjalan ke belakang kerusi itu dan memandang cermin bujur di hujung ruang terbuka itu.

"Aku janji... Aku janji aku akan lindungi kamu... Tucana..." Sebutnya perlahan sambil memandang tubuh seseorang yang tenggelam dalam air yang berada dalam cermin itu. Separuh atas daripada tubuh itu berwarna air jernih dan separuh lagi berwarna hitam. Dark Reammut dilihatnya tidak sedarkan diri dan tidur seperti seseorang yang tidak tahu apa-apa yang telah berlaku di sekelilingnya. Dia sangat tenang dan menyebabkan hati Dark Chronos terhiris melihatnya.

Dark Chronos beredar setelah cuba menyentuh cermin itu tetapi cermin itu mengeluarkan aura cahaya yang aura gelapnya tidak suka. Disebabkan itu, jari tangan yang menyentuh cermin itu mengalirkan darah hitam. Dark Chronos menjilat jarinya yang berdarah sambil melangkah pergi ke laluan kaki lima istananya. Dia menggunakan kuasanya untuk menghilangkan ruang itu daripada pandangan supaya tiada sesiapa dapat mencari ruang itu mahupun mendekati Dark Reammut.

Di Syarantonia, Andreit dan rakan-rakan dewa dewinya tiba di Istana Antonia.

"Terima kasih kerana datang," ucap Kairi yang menyambut kedatangan mereka.

Di sisinya adalah Aries, Rafiz, Leo, dan Auriga.

"Hei, dia ni kah yang kamu katakan tu?" Tanya seorang dewi dalam bisikan kepada Lisione akan Kairi.

Lisione menggangguk. Dewi itu terbeliak sebelum memandang Kairi. Dia dan rakan-rakan mereka menunduk hormat kepada Kairi sebelum menegak semula.

"Nama patik Silveini, tuanku. Patik adalah ketua kepada kumpulan pencari dimensi yang memunculkan raksasa di dunia ni," maklum dewi itu kepada Kairi.

"Wah, dia wanita tapi adalah ketua kepada sepuluh orang dewa ini? Pasti dia sangat hebat!" Fikir Aries dengan kagum sambil melihat Silveini dan sepuluh orang dewa yang memakai pakaian askar berwarna hijau putih.

Kairi mengangguk kepada Silveini. Dia tidak pasti mengapa Silveini formal dengannya sedangkan pangkat Silveini lebih tinggi daripadanya. Dia merasakan Silveini ingin menghormatinya. Disebabkan itu, dia juga melayan menggunakan ayat formal.

"Beta mengharapkan kamu semua dan terima kasih sekali lagi beta ucapkan," tunduk Kairi juga. Kemudian, dia memandang kesemua dewa dewi itu. "Ada apa-apa yang kamu semua perlukan?"

"Takde, tuanku. Terima kasih. Kami minta diri dulu. Kami hendak bersedia sebelum Revioryx muncul," balas Lisione dengan formal juga.

Mereka semua menunduk kepada Kairi sebelum lima kumpulan daripada dewa dewi itu berpisah. Kairi merasakan mereka juga menjangka Revioryx akan muncul di Antonia. Dia menoleh ke arah Aries, Rafiz, Leo, dan Auriga.

BLOODY FRIENDSHIP (BAHASA MELAYU) - BUKU 1 [COMPLETE]Where stories live. Discover now