#47: Pulau Terbiar

Start from the beginning
                                    

* * *

Terjaga dari tidur seorang diri memang susah betul rasanya. Rakan-rakan yang lain masih beradu kepenatan. Inilah yang susahnya menjadi seorang elf. Kami hanya memerlukan rehat yang pendek sahaja berbanding yang lain. Jadi, aku teruskan termenung sambil memandang langit yang dihiasi dengan tarian camar.

Perut mula berkeroncong. Aku mahu menghampiri gigi pantai untuk mencuci muka, tapi ini bermakna aku keluar daripada ruang selamat yang dicipta oleh Badrol subuh tadi. Ruang tersebut hanya boleh keluar tanpa rintangan, tapi selepas itu, takkan boleh masuk semula. Aku kira-kira waktu. Lagi beberapa jam lagi pasti mereka akan bangun. Maka, aku keluar saja dari ruang itu dan menghampiri sebuah batu besar di tepi pantai setelah selesai mencuci muka.

Aku berdiri di situ sambil memandang ke kejauhan. Tiada pulau terdekat kalau ikutkan apa yang aku nampak dari sini hingga ke horizon. Aku turun dari batu besar itu dan berjalan mengikut gigi pantai, sekadar mahu mengambil angin, sambil mencari sesuatu yang boleh dimakan, kalau ada.

Setelah hampir 30 minit berjalan, aku terlihat sesuatu tersadai di pantai. Aku terus berlari menghampiri sesuatu itu. Ia adalah sebuah bangkai kapal yang sudah pecah. Aku melihat dari luar, terdapat banyak kesan pecah di bahagian tepi kapal. Mungkin kena serang, oleh siapa atau apa itu aku tak mahu tahu. Tapi di mana orang-orang dari kapal ini? Pasti mereka juga ada di atas pulau ini? Tapi mungkin juga mereka telah diselamatkan, memandangkan kapal ini aku agak sudah tersadai dalam enam bulan lamanya. Lumut pun sudah naik menebal.

Aku naik ke atas kapal melalui rekahannya. Di bahagian atas kapal masih elok keadaannya berbanding di bahagian tepi tadi, namun kelihatan banyak carikan kain, serpihan kaca dan kayu kapal yang bersepah di sana-sini. Aku berjalan melihat ke dalam bilik kawalan. Tiada apa yang menarik untuk aku ambil. Kemudian, aku ke bilik kapten, aku agak. Terdapat sebuah tong kecil, di dalamnya terdapat serbuk putih. Macam pernah tengok. Aku hidu sedikit. Memang sah! Ia adalah serbuk syabu naga.

Aku ambil sedikit yang masih elok dan aku letakkan ke dalam balang kaca. Nasib balang kaca di dalam beg ini tidak pecah semasa tempoh melarikan diri daripada naga pagi tadi. Lepas tu, aku nampak bungkusan roti yang aku bekalkan sebelum keluar dari Temasek kelmarin. Aku keluarkan bungkusan itu dan lihat keadaannya. Habis semuanya kembang dan rosak!

Aku berkira-kira mahu buang saja roti itu, kemudian aku mendapat idea. Aku simpan dulu roti itu untuk idea aku itu.

Aku sambung menjelajahi bangkai kapal itu. Di dalam salah sebuah bilik di situ terdapat banyak tong tapi kebanyakannya sudah sudah pecah dan rosak, hanya satu tong sederhana besar yang masih elok kondisinya. Aku menghampiri tong itu dan goncangkannya. Bunyi isi dalamnya berkocak. Entah air apa yang ada di dalamnya pun aku tak tahu, tapi aku angkut saja tong itu keluar dari kapal itu. Aku pikul tong itu di bahu sambil aku berjalan kembali ke kawasan rehat kami tadi.

Dalam perjalanan pulang, aku baru perasan akan air terjun di celahan belantara yang berada tidak jauh dari kawasan kami tadi. Dapat pergi ke situ pun menarik juga! Boleh la bersihkan diri nanti. Aku abaikan dulu niat aku itu. Lagipun, aku mahu tahu cecair apa yang ada di dalam tong ni. Mereka masih belum bangun lagi. Jadi, aku kembali kepada kawan-kawan dahulu dan ingatan tentang air terjun sedikit demi sedikit terpudar. Perut berbunyi dengan kuat, mengalahkan bunyi deruan ombak.

Aku mesti mencari makanan!

Memandangkan aku tidak boleh masuk kembali ke dalam ruang magik yang Badrol cipta, aku letakkan tong air tadi di luarnya saja dan menghampiri bongkah batu besar tadi.

Aku lihat permukaan air dari atas batu. Ada beberapa ekor ikan yang berenang di situ. Aku berjalan menghampiri sebuah pohon rendang dan mencapai dahan yang halus dan panjang. Aku patahkan dahan ranting itu dan kembali ke batu tadi. Aku keluarkan seutas tali pancing yang masih berbaki dan diikat pada hujung ranting. Di hujung tali yang satu lagi tu aku ikatkan kail, di matanya pula aku cucukkan secarik roti yang sudah kembang tadi. Hah, inilah idea yang aku dapat tadi! Bekalan yang sepatutnya boleh bertahan selama tiga hari itu habis semua kembang dan rosak. Boleh la buat umpan pancing, itu pun kalau ikan mahu makan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 30, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now