#35: Bakteria Jahat

84 5 0

Aku terjaga awal pagi ini. Masa aku turun tadi, tiada siapapun di dapur atau di ruangan bar. Jadi, aku keluar dari markas dan lihat sekeliling. Matahari pagi pun masih tak terbit lagi. Yang ada cuma penduduk yang berpusu-pusu mahu ke laut untuk menangkap ikan, atau yang mahu membuat persediaan untuk berniaga di pasar. Ada juga manusia yang lainnya tapi sekadar berjalan masuk ke bandar dan menghilang di celah bayang gelap. 

Aku tak tahu mahu berbuat apa. Mata pun tak mengantuk. Badan pula sudah cukup rehat. Aku berjalan ke arah padang yang ada berdekatan dengan markas. Aku boleh nampak papan yang dijadikan sasaran memanah Melati. Makin hari, Melati makin bagus mengawal busurnya. Aku kagum. Mengendalikan busur panah seperti itu perlu tenaga dan mata yang tajam. Bukan seperti senapang busur aku ini. Aku cuma perlu mengisi semula anak panah ke dalamnya dan tembak saja. 

Tapi bukan senapang busur ini kekuatan aku. Pisau ini... aku pandang pisau yang pernah diberikan oleh Hadi M. Sulaiman dulu, sewaktu aku diuji untuk diserap masuk menjadi ahli Mafia Kampung Dusun. Pisau yang ringan dan mudah dikendalikan ini katanya adalah senjata warisan Keluarga Sulaiman. Bukan saja ringan, malah sedap digenggam. Menjadikan pergerakan aku ketika menggunakan pisau ini begitu laju dan licik sekali. 

Tapi kedatangan aku ke padang sasar ini bukan untuk menguji dua senjataku ini. Aku mahu menguji sesuatu yang aku belum pernah buat. 

Aku nak menguji sebuah magik baru. 

Magik ini aku dapat daripada Hayun. Dia pernah memberi aku pinjam buku magiknya dan aku sangat memerlukan satu magik yang boleh aku gunakan untuk menyerang lawan. Dan salah satu yang Hayun ada adalah Bebola Api. 

Malangnya, ada ayat untuk menggunakan magik itu yang aku lupa. Ah, sudah! Pergerakan untuk menjayakan magik itu juga aku kurang pasti betul atau tak seperti yang aku bayangkan. Sebab di dalam buku magik milik Hayun itu punya banyak magik sampaikan aku rambang mata untuk memilihnya. Dan yang paling aku ingat, walaupun tidak semua, hanyalah Bebola Api. Aku harus cuba untuk dapatkan ayat dan pergerakan yang betul. 

Aku cuba mengangkat kedua-dua tanganku ke udara, memusatkan fikiran aku sepenuhnya pada mantera Bebola Api, kemudian menyatukan tanganku ke dada. Diberikan ruang di celahan genggaman tangan, diiringi satu lagi baris mantera, dan campakkan 'bebola' yang ada dalam genggaman ke sasaran. Aku meletakkan seketul batu yang tak jauh dari aku untuk dijadikan sasaran. 

Boof! 

Batu itu memang hancur, tapi magik itu bukan Bebola Api. Ia sebuah magik yang mengeluarkan cahaya dan cahaya itu telah 'memotong' batu sehingga ia berkecai. 

Apa benda pulak yang aku buat tadi tu? Aku agak tak puas hati dengan apa yang berlaku. Aku buat sekali lagi, mungkin ada mana-mana langkah atau bacaan yang sumbang. Namun, perkara yang sama berlaku lagi. 

Aku menggaru kepalaku. Walaupun tidak sama dengan magik Bebola Api Hayun, magik yang baru aku buat tadi boleh tahan juga impaknya. Aku cuba buat sekali lagi untuk aku biasa dengan pergerakan dan manteranya. Dan akhirnya, aku sendiri berpuas hati dengan magik itu dan aku namakan ia sebagai Panahan Cahaya. Moga satu hari nanti, aku boleh gabung magik ini dengan anak panah aku ni. 

*    *    * 

Aku terjaga lagi sekali untuk pagi ini. Matahari dah naik dah pun dan aku rasa macam nak mandi sekali lagi memandangkan aktiviti pagi tadi membuatkan aku berpeluh. Bukan senang untuk kuasai satu magik kalau tidak punya konsentrasi yang tetap. Dan itu juga memerlukan tenaga yang banyak, nak-nak pula buat orang yang baru belajar seperti aku ni. 

Sedang aku bersiram, aku terbau sesuatu yang sedap. Buat aku lapar la pulak! Cepat-cepat aku mandi dan bersiap sebelum aku turun ke bawah. Nampaknya mereka semua berada di bawah, kecuali Man yang menghilang entah ke mana. Melati juga tidak turun lagi. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!