#21: Penghalang Jalanan

142 9 0

Aku seperti tidak percaya bahawa aku akan kembali ke Pelabuhan Klang. Aku ingat, aku takkan ke situ lagi. Entah apa khabar kakak aku yang menghilang itu ya? Selain itu, Pelabuhan Klang juga adalah tempat pertama kali kami berjumpa. Pada masa itu, kami berenam. Apa khabar Big Onion? Masih ingatkah mereka kepada Big Onion? Entahlah. Dia pun seperti tidak mahu muncul-muncul lagi sekarang ini. Harap dia okey kat... mana-mana sajalah dia berada!

Lama bermenung, aku memandang semula anak panah yang aku baru siap ukir. Itu adalah panah terakhir yang aku ukir untuk hari ini. Selepas itu, aku mencapai kertas pasir untuk melicinkan permukaan panah. Kemudian, aku mengeluarkan beberapa ketulan adamantin yang telah aku cairkan dan dibentukkan menjadi tirus tajam. Aku sempat membuat logam itu dalam 10 keping beberapa hari lepas. Dan hari ini, aku mahu menjadikan ia sebagai mata anak panah itu. Aku hanya menumpukan perhatianku pada pembikinan panah itu sampaikan aku tidak perasan yang Badrol dan Hayun sedang memerhatikan aku. Kayu hanya bermain dengan anak kucing yang Melati jumpa dulu, ia kini peliharaan Kayu setelah Ramli muncul dalam pengembaraan kami.

"Menarik gak panah yang kau buat ni," puji Hayun.

"Itulah... mesti menangis orang yang kena panah ni," tambah Badrol.

"Mana tau kalau kita jumpa musuh yang pakai baju perisai yang hebat, panah ni boleh tembus perisai tu. Aku fikir macam tu la."

Mereka mengangguk setuju dengan fungsi panah tersebut. Aku tertarik dengan apa yang sedang dilakukan oleh Badrol ketika ini.

"Kau buat apa je tu?"

Badrol kelihatan seperti sang alkemis, dengan botol-botol kaca, cecair berwarna menarik, dengan penunu bunsen mini, dia sedang mencipta sesuatu.

"Ini?" Dia mengangkat satu botol yang berisi cecair berwarna merah-oren. "Ini aku namakan sebagai Api Alkemi," katanya dengan bangga. "Yang aku tengah buat sekarang ni, ubat kuat."

"Menarik!"

Aku meletakkan panah adamantin itu tadi ke dalam beg khas dan diletakkan ke tepi. Aku mencapai pula beg sandangku. Botol air dan seketul roti kentang dikeluarkan dan aku menjamah makanan itu. Penat mengukir tadi masih bersisa. Mata seperti mahu lelap sebentar setelah perut diisi. Perjalanan juga masih panjang.

Dalam sunyi tengahari itu, tiba-tiba Melati, yang sedang mengawal kuda di depan, mengatakan sesuatu. Seperti amaran, tetapi agak terlambat. Dengan tak semena-mena, karavan yang kami naiki dilanggar lalu melambung dan kami yang berada di dalam menjadi kelam-kabut dan tergolek di sana-sini. Nasib aku sempat berpaut pada besi pemegang yang berada dekat denganku. Berpusing jugalah kepala ni nak stabil semula.

Aku memandang yang lain, mereka juga seperti aku. Sedang mencari tanah untuk berpijak semula. Barang-barang alkemi milik Badrol habis bersepah. Nasib api penunu itu terpadam sebaik saja karavan berhenti bergolek. Kalau tidak, habislah.

Kayu terlebih dahulu keluar dari karavan.

"Weh, tunggu!"

Aku capai senjata dan beg panah dan aku pantas mengejar langkah Kayu. Sedikit sukar kerana aku berada di hujung bahagian dalam karavan. Aku terpaksa melangkah barang-barang yang bersepah di dalam karavan dan menghampiri pintu depan.

Tatkala aku keluar saja dari karavan, kelihatan Kayu sedang bergayut di belakang seekor Pteranodon, sejenis burung reptilia yang mempunyai sayap yang lebar dan belakang kepalanya mempunyai seakan tanduk yang panjang ke belakang. Di depan pula, ada dua ekor Pteranodon; seekor baru tumbang dipanah Melati, lagi seekor seperti baru bangun dari jatuh.

Laju aku membuka kunci picu dan menembak burung yang ditembak Melati tadi. Kayu yang sedang bergayut pada Pteranodon itu menumbuk dan menyepak sepuas-puasnya burung itu. Badrol dan Hayun baru keluar dari karavan agak terkejut melihat tiga ekor burung itu menyerang kami dan kuda yang membawa karavan kami itu.

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!