#29: Tinggalkan Dia Di Situ!

80 5 0

Sejak dari tadi, Badrol dan Hayun tak habis-habis bersembang dengan pakcik yang tiba-tiba saja menumpang kapal kami ni. Sempat pula mereka bertukar-tukar soalan, bertanyakan tentang perjalanan yang entahkan bila akan sampai ini.

Menurut pakcik yang tidak tahu malu itu, perjalanan ke Temasek akan memakan masa selama tiga hari kalau bertolak dari Pelabuhan Klang. Kini, anggaran masa berbaki dua hari saja lagi untuk tiba ke sana. Seperti sebelum ini, permintaan pakcik itu hanya mahu ditumpangkan sampai ke Johor. Yang aku peliknya, dia naik ke kapal ni sorang-sorang saja. Kata datang dengan anaknya. Mana pulak anak dia tu?

"Pakcik rasa pakcik tertinggal anak pakcik kat kasino tu la. Yelah, dah kelam-kabut atas kapal tu, dengan terbakarnya, dengan nak tenggelam lagi. Mana pakcik nak fikir apa dah."

Senang betul katanya. Tapi, betul ke dia bersama anaknya semasa di kapal restoran tu? Entah-entah, memang otaknya sinting. Atau... musuh yang berpura-pura?

Makin lama aku fikir, makin banyak pula anggapan negatif yang aku lemparkan pada pakcik itu. Tak patut pula aku rasa. Jadi aku harap, cepat-cepatlah kapal merentasi selat ini dan tiba di Johor. Selesai hantar pakcik itu, kami boleh teruskan perjalanan ke Temasek dengan kadar yang segera.

* * *

Bangun pagi hari ini, aku diberitahu yang kapal kami sudah pun masuk ke sempadan perairan Johor. Aku berasa senang sedikit sebab pakcik yang menjengkelkan tu bakal blah daripada kapal ni untuk pergi ke lokasi yang ditujunya. Lega sikit. Sepanjang malam tadi, dia mengacau kami berehat. Hayun dan Pelita yang bertugas untuk berjaga malam pun turut diganggu. Ikutkan hati, nak saja aku tembak dia guna senapang busur aku ni. Biar dia mampus.

"Hah, pakcik! Dah sampai Johor ni. Apa lagi?" Nampaknya, Hayun juga berasa jengkel dengan kehadiran pakcik itu.

"Eh, ni Johor daerah mana~ depan lagi!" jerit pakcik itu tanpa rasa bersalah.

"Pakcik Aisa, kita dah pun berada kat Johor. Macam yang pakcik mintak, harap pakcik turun la kat sini. Kami nak cepat sampai ke Temasek ni tau!" Kayu cuba berlagak tegas.

Daripada kata-kata Kayu, dapatlah aku tahu yang nama pakcik tu Aisa. Itupun kalau betul tu nama dia. Dalam fikiran aku, aku nak namakan dia Tingtong! Baru kena dengan perangai dia tu.

"Tapi pakcik nak ke Mu-Or. Belum sampai lagi ni!" Pakcik Aisa Tingtong itu terus baring di atas pangkin tanpa rasa bersalah. "Tengahari kang tu sampai la," sambungnya lagi.

Geram pulak kami dengan kehadiran pakcik ni. Semacam mengambil kesempatan pun ada. Aku memang dah awal-awal lagi lepas tangan untuk hadap pakcik tu. Jadi, setelah aku siap mandi dan berwangi, kami berpakat untuk menyediakan sarapan bersama. Aku mengeluarkan apa saja bahan yang ada di dalam beg untuk diberikan kepada Kayu.

Melati teringinkan daging masak merah. Malang buat Kayu yang tidak makan daging, dia agak berkira-kira untuk masak juadah itu untuk Melati.

"Berdosa ke kalau kau masak daging?" tanya Melati, ingin tahu.

"Takde la berdosa. Tapi rasa lain macam pulak. Aku mana makan daging-daging ni."

"Aku tak suruh kau makan. Aku suruh kau masak. Boleh tak?"

Kayu yang agak keberatan untuk bersetuju, akhirnya mencapai beg kantung berisi daging ayam yang diambil dari dalam peti sejuk beku itu.

"Masak sedap-sedap tau!"

Setelah siap segala masakan, kami terus makan tanpa menjemput pakcik tadi. Entah kenapa dia terbaring seperti tidak mahu bangun saja, jadi kami biarkan dia begitu. Jiwa kami pun tenang.

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!