#28: Restoran Atas Kapal

94 5 0

Tali pam tandas aku tarik. Berpusing-pusing najis berlumba di dalam mangkuk tandas untuk keluar bebas ke lautan. Setelah diyakini bersih, aku keluar naik ke atas dek setelah selesai mencuci tangan. 

Angin agak kuat bertiup ke wajah. Tapi tidaklah terlalu kuat sampai mampu menolak tubuh ini untuk terbang melayang ke udara. Aku selitkan rambutku yang menutupi mataku ke telinga. Sudah penat untuk aku bermenung jauh. Jadi, aku berjalan dari dek ke bangku yang terletak berdekatan dengan tiang layar. 

Dengan apa yang sudah kami lalui, duit kami pun sudah semakin surut. Aku juga terpaksa mencuri untuk mendapatkan apa yang aku perlukan sepanjang perjalanan ini. Dapatlah sedikit duit untuk dibelanjakan, skrol magik untuk digunakan jika ada musuh menyerang nanti.  

Aku mengeluh kecil. Penat pulak untuk duduk melepak saja di atas kapal ini. Tiada apa aktiviti yang aku boleh lakukan selain mengasah panah, membantu Kayu memasak, memancing bersama Hayun, atau membantu Melati memantau keadaan sekeliling. Kadang-kadang, aku ada juga turun ke kabin untuk ke bilik tahanan, macam sekarang ini, memerhati tindak-tanduk Encik Zul yang kami rancang untuk 'pulangkan' kepada keluarganya untuk mendapat sedikit habuan.  

Sedang aku mahu berjalan kembali ke dek atas, pintu bilik tahanan diketuk kuat. Aku agak jengkel mendengarnya tapi aku tetap layan. Aku datang dekat dan bertanya, "Kau apesal?" 

"Aku lapar!" 

Haih... Encik Zul ni boleh tahan kuat makan juga. Setiap masa ada saja dia mengetuk pintu dan menjerit lapar. 

Tanpa berkata apa, aku terus naik dan berkata secara rambang, "Tu... ada orang lapar." Aku langsung tak peduli jika kata-kataku itu disambut atau tidak. Lauk kentang sambal bersama nasi yang aku makan tadi aku rasa masih tidak habis hadam lagi. Tak silap aku, Encik Zul pun ada makan sama juga tadi. Apa tidak cukup ke? 

"Baik!" Kayu menyambut. Terus dia menyiapkan beberapa peralatan dan bahan masakan. 

Sampai sekarang aku masih tak tahu apa yang membuatkan Kayu masih setia bersama kami. Dia seorang budak yang baik. Taat pada perintah agamanya dan perlakuannya langsung tak mencerminkan kami yang lain ni. Mungkin ada baiknya dia bersama kami. Kalau tidak, pasti perjalanan kami takkan sampai ke sini dengan mudah. Kehadiran Kayu banyak membantu kami. 

"Nak aku tolong?" Aku cuba untuk mencari aktiviti. 

"Potong ni," pinta Kayu sambil menuding ke arah bawang merah, bawah putih, halia, dan kentang. "Aku nak masak bubur kentang!" 

Aku perhati dia dengan pandangan kosong. Hmm... kentang lagi. Nampaknya semua akan kekentangan sepanjang perjalanan ke Temasek.   

Aku mengangkat kening dan terus membuat seperti yang disuruh Kayu. Setelah siap memotong, aku kembalikan bahan-bahan itu kepada Kayu dan kembali melepak di dek bahagian depan. Aku biarkan angin yang meniup terus-terusan menampar mukaku agar aku tidak tercapai bosan. 

Tiba-tiba, Melati menjerit memanggil kami semua dari atas tiang layar. 

"Apesal?" laung Hayun sambil memayungi pandangan matanya dengan tangannya. 

"Aku jumpa surat!" Tangannya mengangkat tinggi sehelai kertas lusuh. 

"Apa yang ditulisnya?" 

Melati membacanya, "Jemputlah datang ke restoran kami!

Aku dah terkerut kening. Restoran apa pulak ni? 

"Restoran di atas kapal!" kata Melati dengan teruja. 

Aku pasti dalam fikiran Melati sudah dibanjiri dengan bir. 

"Tapi kita akan lambatkan perjalanan!" Hayun membantah. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!