#47: Pulau Terbiar

5 0 0
                                              

Di sekeliling aku dapat lihat badan kapal yang mulai tenggelam jatuh ke dalam laut. Aku tidak tahu keberadaan yang lain. Aku cuma mahu lepas daripada belenggu ini.

Namun, dada kian sesak. Aku perlukan udara. Aku perlu untuk bernafas.

Aku mesti... terapung... semula.

* * *

Aku pantas menimbulkan diri ke permukaan air.

Di langit, ketiga-tiga naga tadi dah hilang. Mungkin mereka ingat kami sudah kelemasan dek tenggelam ke dasar lautan atau hangus terbakar dek semburan api mereka.

Tak lama kemudian, yang lain turut memunculkan diri ke permukaan laut. Aku melilau sekeliling. Tak jauh dari lokasi kami, terdapat sebuah pulau. Lebat hutan belantaranya, tapi itu saja daratan yang paling dekat, kami perlu menghala ke sana sepantas mungkin sebelum naga-naga tadi kembali lagi.

"Korang! Kat sana jom!" Aku tudingkan jari ke arah pulau itu.

Mereka memusingkan badan dan mula berenang ke arah pulau itu. Apabila kaki mulai menjejak pasir pantai, aku berasa lega. Aku merangkak naik ke pantai dan rebahkan diri ke lantai pasir, berbaring memandang langit. Membiarkan air laut menggigit tubuhku.

Pada waktu itu, matahari baru menyinarkan cahayanya di tirai timur. Aku tidak boleh lega sekarang! Pulau ini bukan tujuan kami, dan kami tidak mahu tersadai di sini untuk entah berapa lama lagi.

* * *

Sedang aku asyik memejamkan mata sambil mendengar deruan laut menghempas pantai, tak jauh dari aku, terdengar kekecohan yang berlaku. Dengan malas dan letih, aku bingkas bangun menghampiri mereka. Kelihatan mamat pelik tadi sedang menekan-nekan dada Hayun, cuba untuk menyelamatkannya yang pengsan tidak sedarkan diri akibat dihempap kayu kapal tadi.

Setelah lebih lima minit tidak ada respons, mamat pelik itu menunduk dan membuat bantuan pernafasan mulut ke mulut kepada Hayun. Berkali-kali, berselang dengan menekan dada Hayun. Selepas beberapa percubaan, Hayun terbatuk dan memuntahkan air yang banyak. Perlahan-lahan dia membangunkan dirinya untuk duduk. Melati di sebelahnya terus mengurut belakang badannya supaya segala air yang tertelan dapat dikeluarkan.

"Kita kat mana ni?" tanya Hayun dalam kemamaian.

Badrol menoleh ke arah belantara di belakangnya. "Entah pulau mana-mana."

Setelah lega batuknya, Hayun memandang mamat pelik di hadapannya. "Kau ni siapa?"

"Nama aku Polan." Mamat pelik itu tersenyum lebar. "Selamat berkenalan!" Dia menghulurkan tangan kepada Hayun.

"Hah, yelah." Hayun tidak menyambut hulurannya. Bahkan, dia hanya berbaring semula kerana kepenatan lagi.

"Dia Hayun." Aku kenalkan diri masing-masing kepada Polan. "Aku Rifa, yang ni Melati. Yang tu pulak Badrol."

Melati melambai kecil kepada Polan, dan Polan membalas. Kemudian, dia terus menoleh ke arah Badrol. Waktu tu, Badrol sedang bersiap sedia untuk melakukan satu jurus magik. Mulutnya terkumat-kamit dalam dia melakukan satu posisi pelik. Selesai jampinya, sebuah pelindung lutsinar tercipta yang mengelilingi dalam lingkungan keberadaan kami.

"Kita rehat dulu. Siang nanti baru kita cerita panjang," kata Badrol.

Aku lihat Polan yang beberapa kali percubaannya mahu menegur Badrol itu pun akhirnya berputus asa dan menghampiri sebuah bongkah batu yang besar untuk bersandar.

Matahari pagi baru saja mahu menyuluh alam, tapi kami yang kepenatan tidak mempedulikan suluhan itu. Kami terus mencari tempat yang selesa untuk berbaring, kemudian kami ketiduran.

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now