#43: Tengik Melesukan

20 1 0

Pada waktu kami tiba di pulau berhutan paya itu, hari sudah pun menganjak ke tengahari. Walid menghentikan kapalnya di belakang batu yang besar. Dari jauh, kami boleh dengar bermacam-macam bunyi binatang bersahut-sahutan. Ada yang sayup-sayup, ada yang membingitkan. 

Kapal besar mereka tidak dapat mengharungi laluan air yang semakin cetek. Jadi, Walid dan Qawiem bersedia untuk menurunkan sampan-sampan kecil yang mereka ikat di tepi badan kapal. Satu persatu sampan itu diturunkan dengan berhati-hati. 

Sambil mereka menurunkan sampan itu, Walid berkata, "Korang tak ada had masa untuk memburu naga tu, tapi kitorang takkan tunggu korang kat sini selamanya." 

"Aku nak bagi amaran," Qawiem pula mencelah, "Jangan pergi kat tengah-tengah pulau tu. Kat situ banyak naga yang besar-besar, yang dewasa. Bos cuma nak, paling besar pun, besar gajah je." 

"Apa je yang bos kau tu nak dari naga tu?" tanya Hayun. 

"Untuk buat dadah tu la," jawab Walid. 

"Guna naga tu punya apa je?" Badrol ingin tahu. 

"Darah naga." 

Hayun terangguk-angguk. Kemudian, dia teringatkan sesuatu, lalu dia menyeluk ke dalam kocek begnya dan mengeluarkan beberapa balang kecil yang tersimpan suatu cecair. Aku masih ingat itu adalah darah naga yang dia ambil waktu dulu. Naga tu pun sekarang dah selamat jadi perisai Badrol. 

Dia terus menghulurkan balang darah itu kepada Qawiem dan Walid. "Banyak ni cukup?" 

Qawiem meneliti jumlah darah tersebut, lalu dia berkata, "Kalau banyak macam ni, tak banyak la bekalan yang dapat kitorang buat. Koman-koman, stok untuk seminggu je." 

Hayun mencebik. Dia mengangkat bahu dan menyimpan semula balang darah itu ke dalam beg. "Nampaknya, terpaksalah kitorang pergi memburu." 

Walid menyungging senyum kecil. 

Waktu itu, kesemua sampan kecil berjaya diturunkan. Kami masing-masing mengambil satu sampan untuk merentasi air cetek untuk tiba di gigi paya. 

"Apa-apa hal, kitorang ada je kat sini sampai petang nanti. Kalau korang lambat, kitorang akan datang semula ke sini esok pagi. Lepas dari tu, kalau korang masih tak balik ke kapal tengahari esok, pandai-pandai koranglah balik sendiri ke Temasek nanti." Qawiem memberi arahan. 

Jadi, kami punya masa sehingga esok saja untuk memburu dan membawa pulang naga dengan selamat ke Temasek. Mampukah? Untuk pulang ke Temasek semula dengan membawa naga (kalau berjaya nanti) tanpa bantuan mereka adalah suatu yang mustahil! 

Kami teruskan mendayung sampan berdekatan pokok bakau dan mengikat tali ke batang pokok itu. Sememangnya, bahagian luar pulau itu nampak sangat tenang. Hanya ada pokok bakau mengelilingi pulau, tiada seekor naga pun di situ. Kami ambil keputusan untuk meredah masuk ke dalam pulau itu demi memburu naga. 

Kawasan berpaya itu airnya agak tinggi parasnya. Melati mencucuk sebatang kayu panjang untuk mencari dasar tanah paya. Bila diangkat kayu itu, tahap air sedalam tinggi pahaku. Lalu, kami melangkah untuk memulakan misi kami dengan memijak akar-akar pokok yang timbul, dan berpaut pada badan pokok untuk mengimbangi badan. Kami melangkah dari satu akar ke akar yang lain dengan berhati-hati, atau kami akan terjatuh ke dalam paya. 

Makin jauh perjalanan kami, aku dapat menangkap bau tengik yang menusuk di hidungku. Udara di sini semakin berat. Melati ambil keputusan untuk memanjat pokok yang lebih tinggi untuk memantau keadaan. 

"Elok-elok," kata Pelita. 

Melati mengangguk dan terus memanjat naik. 

Aku terus bersandar di badan pokok. Dadaku sedikit lelah dengan keadaan udara di sini. Aku mengeluarkan botol airku dan meneguk rakus. Air yang meleleh di tepi mulut aku lap dengan belakang tanganku. Aku menaikkan kain penutup hidung untuk menapis bau tengik tadi daripada terus menusuk hidungku. Barulah lega sedikit. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!