#38: Bilik Rahsia

74 2 0

Pagi itu, aku dikejutkan dengan cadangan Kayu untuk ke perpustakaan. Buang tebiat betul la dia tu. Setahu aku, dia bukan kaki buku. Kalau Hayun yang mengajak, aku fahamlah. Sejahat-jahat Hayun, dia tu mat buku.

Tapi, bukan sahaja cadangan Kayu yang memelikkan aku. Sepertinya, pagi itu, kami semua punya tujuan tersendiri.

"Kita kena keluar dari Temasek ni sebelum senja, atau kita dalam bahaya!" kata Hayun.

"Tak~ kita kena terus tinggal kat sini," tegas Kayu.

"Apesal kena terus tinggal sini?"

"Sebab kita kena pergi ke perpustakaan dan siasat sesuatu kat situ!"

"Tapi kita semua akan berada dalam bahaya kalau tak pergi dari sini!"

Ah, sudah! Mereka berdua sudah bertelagah pulak. Melati yang berada di antara mereka pula cuba menenangkan mereka.

"Masalahnya, kita tak boleh berpecah. Apa-apa jadi nanti macam mana?" Melati cuba mengawal keadaan.

"Apa yang berlaku ni?" aku menyelit. Mahu tahu keadaan sebenar.

Mereka semua memandang aku dengan muka yang penuh kerut.

"Malam tadi, kau ada mimpikan suara tu jugak, kan?" Melati bertanya.

Aku angguk. "Kenapa?"

"Kita dah kelam-kabut dah ni. Hayun ni bangun pagi je tadi je dah bising-bising suruh kita keluar dari Temasek. Kayu pulak ajak pi perpustakaan, entah sejak bila dia suka buku pun aku tak tahu la. Aku, Pelita, dan Badrol dah berkeras suruh jangan berpecah dan duduk je kat sini senyap-senyap."

Bukan main berleter si Melati. Aku tahu kami semua kelam-kabut gara-gara mimpi bangang malam tadi.

"Kau, Rifa... apa pulak yang kau nak kitorang buat?"

Melati seperti penat untuk melayan tapi dia harungkan saja.

Aku teringatkan apa yang suara misteri di dalam mimpi malam tadi berpesan kepadaku.

"Aku hanya menipu mereka semua. Hanya kau yang tahu, dan jangan beritahu perkara ini kepada mereka. Ada ganjaran yang menanti buat kau."

Kalau betul apa yang mereka cadangkan itu punya ganjaran juga seperti yang suara itu janjikan kepadaku, aku perlu berbuat apa? Halang mereka? Atau ikutkan saja, asalkan kami semua selamat? 

Tapi kalau aku beritahu mereka yang cadangan mereka itu semuanya karut dan suara itu hanya menipu saja, bagaimana? Adakah aku akan ditimpa bala? Adakah bala itu akan melibatkan rakan-rakanku juga? 

Aku tak kisahkan pada ganjaran yang bakal diberikan. Jadi, untuk langkah berjaga-jaga, aku menjawab, "Aku perlu ikut korang semua. Kalau korang nak tinggal sini, aku ikut. Kalau korang nak pergi dari sini pun aku ikut." Senang. 

"Habis tu, macam mana ni?" tanya Pelita. 

Setelah kami memikirkan satu persatu cadangan kami semua, akhirnya kami bersepakat untuk pergi ke perpustakaan dahulu. Lepas selesai di sana, baru kami akan pertimbangkan cadangan Hayun atau tidak. 

"Jom la! Kita kena pergi sekarang! Kalau tak, kita terlambat nanti," kata Kayu dengan semangat. 

Kami pun ke perpustakaan yang agak jauh dari markas setelah kami bertanya arah pada Man. Disebabkan Festival Todak masih berlangsung, jadi perpustakaan tidak beroperasi hari ini. 

"Kalau kita pecah masuk?" Kayu mencadangkannya. 

Kalau Kayu sudah mencadangkan sesuatu yang di luar daripada karakternya, pasti cadangannya ke sini punya tujuan lain. Suara itu sudah mempengaruhi hati Kayu untuk menjadi sedikit jahat daripada biasa. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!