#41: Sesat Dalam Terang

27 2 0

Baru pagi tadi kami terjaga daripada lena yang panjang setelah dipukau tidur oleh entiti kabus. Sedang sedap menjamu selera, lapar pun belum lesap lagi, dah kena teruskan berlari lagi. Kini, kami berada di dalam Pejabat Daerah Temasek selepas berjaya melepaskan diri daripada dikejar para pengawal Encik Zul. 

Aku rasa menyesal pula tidak sempat menghabiskan sarapanku tadi. Ada lagi sekeping roti dan beberapa kepingan ayam di dalam pingganku tadi kini menjadi bayanganku. Aku dapat rasakan air liur imaginari meleleh di rekahan mulutku. Aku telan liur untuk menenangkan nafsu perutku. Kalau dibiarkan, boleh jadi zombi pula nanti! 

"Kat sinilah laluan nak ke jalan bawah tanah tu," kata Melati. 

Kami berada di tandas tingkat 2. Nasib bangunan ini kosong. Setakat ada dua-tiga pengawal yang berjaga di beberapa sudut, memang tiada masalah buat kami untuk melepasi mereka. Namun, laluan untuk turun ke longkang itu pula ditutupi dengan penutup besi. Pasti berat untuk diangkat seorang diri. 

"Kita angkat besi ni ramai-ramai," ajak Badrol. 

Kami mula mengelilingi penutup besi itu dan mengangkatnya dalam kiraan 1, 2, 3! 

"Ergghhh!!" 

Payah juga kalau kami tidak bergabung tenaga. Besi itu agak berat. Kami cepat-cepat alihkan penutup itu ke tepi apabila kami berjaya mengangkatnya. Setelah besi itu dilepaskan, aku dapati jari-jariku ada kesan berbirat. Yang lain juga punya kesan yang sama, ada yang mengepal dan membuka semula jari untuk melegakan lenguh tangan mereka. 

Aku perhatikan laluan untuk turun ke longkang itu terdapat sebuah tangga besi yang entah berapa jauh perlu kami turun. Laluannya sedikit gelap. Di hujung kegelapan itu ada sumber cahaya samar. Kalau ikut kira-kira dalam kepala, tak adalah jauh sangat kami perlu menapak. 

Hayun mahu menjadi yang pertama turun. Dia menyalakan api magik untuk menerangi perjalanan turun kami. 

"Elok-elok, semua," pesan Pelita. 

Kami turun dengan tertib, seorang demi seorang. Tinggi juga tangga ni. Mungkin dalam empat tingkat tingginya. Maknanya, kami betul-betul berada di bawah tanah! Dalam saliran longkang! Lagi! Hah! Apalah nasib kami asyik kena harung laluan longkang ni pun tak tahulah. Tapi kalau dah ini yang ditakdirkan, kami redah je. Asalkan dapat keluar daripada sini, daripada Temasek. 

"Kalau ikut peta ni, kita kena ikut arah ni." Melati menunjukkan ke arah kanan. 

Langkah diatur bersama ke arah itu. Tak banyak yang kami bualkan sepanjang perjalanan itu. Suasana di sini agak sejuk. Nafas kami menghasilkan wap, seakan asap rokok apabila bercakap. Nasib tiada makhluk atau binatang ganas dan pelik dalam saliran ni. Berlawan di kawasan ini tidak memberi apa-apa kelebihan buat kami. Jadi, kalau perkara itu berlaku, kami harus melarikan diri. 

Dalam setengah jam berlalu, Melati menghentikan langkah kami. 

"Kenapa?" 

"Korang dengar tak?" Jarinya masih merentangi bibirnya. 

Kami memicingkan telinga. Aku dapat dengar sayup-sayup salakan anjing dan suara beberapa orang seperti mengarahkan sesuatu. 

"Korang semua rileks je. Kita buat benda ni." 

Tanpa memberitahu akan rancangannya, Hayun terus menjelmakan suara-suara binatang seperti anjing, serigala, dan kucing untuk menakutkan 'tetamu' itu. Malangnya, cubaan itu tidak berjaya. Mereka tetap mara, semakin hampir dengan kami. Langkah kami terus kencang menghala ke laluan yang diarahkan Melati mengikut panduan peta. 

"Taik!" marah Badrol. 

Dia menghentak-hentak tangannya ke besi yang menghalang laluan kami. Satu-satunya laluan untuk ke arah timur dihalang dengan penutup besi (lagi!?) dan besi itu tampak kukuh. Tiada lubang kunci atau suis yang berada berdekatannya. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!