#42: Syabu Naga

41 2 0

Aku menghampiri tangki yang mengeluarkan wap itu untuk meninjau apakah yang ada di dalam, namun perbuatanku diperhatikan seseorang. Dan dia terus bersiul dengan kuat.

Kami serentak memandang ke atas, arah di mana siulan itu bergema. Entahkan bila, aku tengok agak ramai yang mengelilingi kami di setiap tingkat, ada dalam berbelas orang jumlahnya. Masing-masing dilengkapi senjata di tangan. Ada yang mensasarkan busur silang, menarik panah, dan memuncungkan laras musket ke arah kami.

Yang bersiul tadi sedang bertenggek di atas tebing di tingkat 3. Seorang lelaki, kalau tengok dari susuk tubuhnya. Dia hanya memandang kami dengan pandangan kosong; marah tidak, suka pun tidak; sebab dia pakai topeng. Kami hanya membalas dengan melambai ke arahnya. Tak mampu untuk mengeluarkan senjata kami. Mereka terlalu ramai. Kalau semua melepaskan das mereka, pasti badan kami bocor.

Lelaki itu ketawa kecil. "Apa korang buat kat sini, hah?"

Aku dapat bayangkan ada senyuman mengejek di sebalik topeng itu. 

Kayu mengangkat tangannya, seperti mahu menyerahkan diri. "Kitorang bukan orang sini, jadi kami..." 

"...sesat? Macam tu?" potong lelaki itu. Dia tertawa lagi. 

"Sebenarnya, kami tengah melarikan diri daripada pengawal. Kami tak tahu sebab apa, tu pasal kitorang cabut," jelas Melati. Lebih berterus-terang. 

Lelaki bertopeng itu mengangguk faham... kot. "Apa je yang korang nak takutkan?" 

Takut? Bagi aku, kitorang lari bukan sebab takut. Lebih kepada tak ada buat silap pun, buat apa nak tangkap kami. Mungkin salah kami mengurung Encik Zul sepanjang perjalanan ke Temasek, tapi untuk menghukum kami dengan tuduhan salah-laku konspirasi, itu tidak adil! 

Lelaki bertopeng tergelak kecil. Entah apa yang melucukan pun tak tahu. Mungkin wajah kami kebingungan ini yang mencuitkan hatinya. Geram pulak aku tengok. Dia mengangkat tangannya, memberi isyarat kepada semua anak buahnya untuk menurunkan senjata masing-masing. 

"Jangan risau. Aku kenal korang semua ni." Kemudian, lelaki itu terjun dari tempat dia bertenggek dan mendarat dengan penuh gaya di hadapan kami, sebelum dia berdiri semula. Dia tengok kami seorang demi seorang. "Letakkan senjata korang kat sana," katanya sambil menuding ke arah sebuah peti besi. 

Aku berasa tidak senang. Aku pernah tulis dalam diari ni ke yang aku berasa bogel kalau tak ada senjata kat badan aku? Aku pun lupa. Tapi itulah yang aku rasa kalau aku lakukan itu. 

"Kita bincang-bincang, sembang-sembang kat dalam ni." Lelaki bertopeng itu berjalan ke satu arah dan membuka pintu. Di dalam ruangan itu, aku nampak ada beberapa kerusi dan sebuah meja besar berada di tengahnya. Aku agak itu bilik operasi mereka. 

Mahu atau tidak, kami terpaksa menurut perintah. Ini tempat mereka. Bila-bila masa saja, dan apa saja mereka boleh lalukan terhadap kami nanti. Sampai giliranku, aku meletakkan busurku dan beg panah ke dalam peti itu. Aku biarkan pisau belati yang aku ada dalam sorokanku. Mereka langsung tidak syak apa-apa. Dan aku terus masuk ke dalam bilik itu. 

Di dalam, setelah menutup pintu bilik, lelaki itu membuka topengnya setelah dia melabuhkan duduknya di kerusi utama. Dia seorang manusia biasa, berambut kerinting, dan memperkenalkan dirinya sebagai Mamu. Dia bertanya, "Korang tangkap Encik Zul haritu kenapa?" 

Jadi kami pun menceritakan perkara itu dari mula kami mendapat tugasan untuk membawa Encik Zul ke sini sampailah apa yang berlaku tadi di kedai makan pagi tadi secara ringkas. 

Mamu mengangguk faham. "Macam tu rupanya. Sekarang ni korang tau kan yang korang dikehendaki satu Temasek ni?" 

"Dari apa yang kami lalui, ya, kami tahu," kata Badrol. 

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!