#20: Kedai Nasi Kangkang

126 8 0

Terik matahari tengahari menusuk tajam ke mataku, membuatkan aku terjaga dari lena yang panjang. Namun, aku rasakan sesuatu yang sejuk melingkari tubuh aku. Otak aku lambat berfungsi atas sebab kepenatan pada malam tadi masih bersisa di badan. Lambat-lambat aku tengok apa yang ada di badan aku apabila mamaiku hilang.

"Kau...?!"

Seekor ular kapak bersisik hijau kebiruan itu hanya memandang aku. Ular peliharaanku, sepatutnya. Aku hanya mengeluh memandang ular itu.

Dengan suara sengau baru bangun tidur, aku berkata, "Hmm... kau memang tak penat dok ikut aku, kan?" Aku mengusap kepalanya. "Kalau kau nak ikut, kau kena ikut cara aku, okey?"

Ular itu seakan faham dengan kata-kataku itu lalu mengangguk.

Ah, apa yang nak dipelikkan? Ular ini bukan ular biasa. Ia adalah sebuah keajaiban dalam keluarga aku, setiap seorang ahli keluarga aku pasti ada seekor ular. Ia berlagak seperti penjagaan kami. Bukan aku tidak tahu yang ular ini kerap saja muncul dalam pengembaraanku ini. Jadi, aku mengambil keputusan untuk membawa saja ular ini bersamaku. Dan aku namakan ia Mumu, sebab aku habis idea nak namakan ia apa. Aku biarkan saja Mumu melingkari tubuhku sebelum aku keluar dari timbunan kotak yang aku buat sebagai katilku dan mendapatkan mereka yang lain. Aku tepuk muka setiap seorang, mengejutkan mereka dari tidur.

"Oit, dah pukul berapa ni?"

"Dah tengahari dah." Aku mengeluarkan botol air yang ada di dalam beg sandangku dan diteguk rakus.

Mereka pun bangun dan membuatkan senaman ringan untuk meregangkan urat dan otot yang keras setelah terpaksa tidur di jalanan semalaman. Nasib saja mereka berada di lorong jalan belakang, tak ada la orang pandang mereka semacam.

"Kita makan dulu jom? Lapar la," pinta Kayu.

"Boleh je. Aku pun nak beli stok air ni."

"Woa, woa... Rifa!" Hayun berlari menghampiri aku. "Mana kau jumpa ular ni? Cantik gila!"

"Nama dia Mumu. Aku... bangun-bangun je ular ni memang dah ada kat atas aku." Aku terpaksa menipu dalam hal ini. Tapi Melati tahu kisahnya. Aku pernah menceritakan hal ini kepadanya minggu lepas. Harap dia terus senyap menyimpan rahsia ini.

"Nak makan kat mana?" tanya Melati sambil mengemas beg dan menyandang senjatanya di bahu. Ramli sekadar duduk senyap di sebelahnya sambil menggonggong beg yang berisi anak panah.

"Aku teringat ada satu kedai kat sebelah sana, Kedai Nasi Kangkung. Makanan kat situ macam sedap je. Aku rasa kita kena cuba!" Badrol menuding ke arah barat pekan.

"Hah, kalau camtu kita pi jela sana."

Kami pun bersiap untuk ke sana. Tapi sebelum tu, kami ke tandas serbaguna yang ada di pekan utama untuk kami menyegarkan diri dulu. Nanti main terjah ke kedai makan tu, tak selera pulak orang nak makan.

*    *    *

"Kau biar betul ni, Bad?"

Kami memandang papantanda kedai itu sekali lagi. Memang tak silap lagi!

"Betul la ni kedai dia."

Kami masih memerhati papantanda kedai itu. Bukan pelik akan tulisannya, tapi ejaannya... kenapa sampai ke situ sekali?

کداي ناسي کاڠکاڠ

"Ni papan baru la. Aku rasa pemilik kedai ni tak mau bazir duit dah buat papantanda ni mahal-mahal, tu yang dia tak kisah salah eja pun. Kau tau la kan... kat Melaka ni barang bukannya murah!"

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!