#45: Imbas Sepi

31 4 0

Malam pertama tanpa Kayu. Terasa kekok saja suasana di antara kami. Masing-masing senyap di tempat mereka melepak. Aku juga begitu.

Aku hanya berbaring di pangkin, memandang langit gelap. Malam ini tiada bintang. Entah mengiringi Kayu yang sedang menaiki langit untuk bertemu Yang Satu mungkin. Aku tak tahu bagaimana kehidupan selepas mati dalam agama yang dianuti Kayu, jadi begitu sajalah yang aku mampu bayangkan.

Aku pejamkan mata, mengimbau kembali apa yang berlaku selepas kami berjaya pulang dari kepulauan naga siang tadi. Kami kembali ke markas kartel dadah syabu naga itu, yang kami baru tahu mereka dikenali sebagai Kartel Vies.

"Aku minta maaf atas apa yang berlaku kepada Kayu." Sayu saja suara Mamu waktu itu. Menghormati kami sebagai rakan Kayu. "Ini barang-barang korang, aku pulangkan balik." Mamu mencampakkan bungkusan barangan yang dicagarkan sebelum ini di hadapan kami.

Kami ambil barangan kami, dan yang tinggal hanyalah senjata milik Kayu. Sebatang kayu berbentuk sudu gergasi. Kayu amat sayang pada senjata yang tak pernah digunakan itu. Aku tak tau apa akan jadi pada senjata itu jika tidak diambil.

"Aku... biar aku ambil senjata Kayu tu, boleh?" pinta Pelita.

Pelita memandang kami seorang demi seorang, seperti meminta kebenaran. Selepas itu, dia mengambil kayu berbentuk sudu itu dan digenggam erat.

"Korang masih nak keluar dari Temasek ni ke?" tanya Mamu.

"Kenapa?" Badrol berbalas tanya.

"Kalau korang tak nak keluar, korang boleh bekerja dengan kitorang. Jual dadah yang kami buat. Aku boleh bagi pulangan yang banyak untuk korang."

Tawaran yang diberikan nampak agak menarik, tapi aku tak berminat untuk membuat urusan jual-beli. Hal bisnes ni bukan aku punya bidang.

"Takpe la kalau korang tak nak. Aku tak nak paksa. Tapi aku akan jamin, kalau korang ada terserempak dengan orang-orang aku, aku akan pastikan yang orang-orang aku tak bagi masalah pada korang."

Kami mengangguk perlahan. Maka dengan ini, bertambah lagi sekutu kami, selain Mafia Kampung Dusun.

Setelah segalanya telah dipulangkan, dan janji pun ditepati, kami terus melangkah pergi. Hinggalah...

"Nanti! Aku hampir terlupa janji aku kat Rifa!"

Dalam kesedihan, aku sudah pun melupakan janji Mamu. Aku memandang rakan-rakanku. Mereka mengangguk dan berjalan keluar meninggalkan aku bersama Mamu sebentar.

Aku melangkah setapak demi setapak ke arah Mamu. Aku mengeluarkan tangan kiriku yang disembunyikan di sebalik jubah labuhku dan ditunjukkan ke arahnya.

"Kau ada benda nak cerita pasal ni. Aku pun terlupa sebenarnya." Aku ketawa kecil.

Mamu juga tertawa kecil. Masakan kesedihan ini mampu membuatkan kami lupa akan janji yang agak penting untuk aku tahu lebih lanjut tentang sumpahan tanganku ini.

"Terus-terang, aku tak tahu apa-apa tentang sumpahan ni." Mamu turut mengeluarkan tangannya yang mempunyai sumpahan yang sama denganku, namun sumpahannya di tangan kanan. "Tapi sebelum aku dapat sumpahan ni, aku terjumpa dengan seseorang yang berjubah kuning. Tak lama lepas tu, aku pengsan dan beberapa hari lepas tu, bila aku terjaga, aku tengok tangan aku dah jadi macam ni."

Ceritanya sama dengan apa yang berlaku padaku. Aku ceritakan kepadanya yang aku menjadi seorang yang gila, berhalusinasi sepanjang aku tidak sedarkan diri selama hampir seminggu.

"Aku pernah hilang kawalan tangan aku ni beberapa kali. Kau pernah?"

Aku terkerut, sebab aku tak pernah pula alami perkara itu. Jadi, aku menggeleng. "Hilang kawalan yang macam mana tu?"

Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!