11

17.8K 780 17
                                    

NORA yang sedang sibuk memilih sayur kangkung terhenti dek kerana suara-suara yang sedang sibuk mengumpatnya. Dia mengeluh lemah, sudah dua bulan berlalu tapi orang kampung terutamanya kawan-kawannya dulu masih menghina dan menyindir keluarga mereka berkaitan anak perempuannya.

Bukan itu sahaja, Ismail suaminya juga turut dipulaukan oleh geng masjidnya. Anak-anaknya yang lain turut dihina dan diejek di sekolah, semuanya angkara kisah anaknya yang dicanang sini dan sana. Dikatakan dia dan Ismail tidak reti menjaga anak.

Bukan Nora tak tahu siapa yang canangkan kalau bukan Fatimah, jiranya yang bermulut kepoh dan suka menyebarkan cerita. Di mana Fatimah tahu pun, Nora tidak tahu.

"Engkau tengok tu si Nora tu, anak dah palitkan arang ke muka pun masih lagi tak tahu malu nak lagi nak keluar beli barang. Kalau aku, hesy memang aku dah tak keluar rumah atau aku pindah je dari kampung ni." ujar wanita bertudung ungu, bibirnya terjuih-juih menyindir Nora.

Nora menarik nafas dalam.

Seorang lagi wanita bertudung corak harimau mengangguk menyetujui kata-kata rakannya.

"Aku setuju dengan kau Simah, sebaik anak aku si Farah tu baik budi pekertinya. Tak pernah rapat dengan mana-mana jantan, kalau nak keluar pun bagitahu dekat aku nak pergi mana. Sah-sah si Nora tu jenis lepas je anak tu pergi mana sebabkan tu bila perut anak dia tu dah berisi, baru dia nak sedar." tambah wanita itu pula.

Sekali-sekala matanya dikerling ke arah Nora, Nora segera memilih jenis-jenis sayur yang dia inginkan dan berlalu ke cashier. Lagi lama dia di sini, lagi sakit hatinya. Lebih baik dia mengangkat kaki, dia tak mahu bertambah lagi dosa orang yang mengutuk keluarganya itu.

Bakul diletakkan ke atas tempat cashier. Senyuman nipis diberikan kepada Natasya.

"Lia tak pulang ke rumah ke mak cik?" soal Natasya ramah sambil tangannya lincah mengira kesemua barangan yang dibeli oleh Nora. Mati terus senyuman Nora, wajahnya berubah muram.

Kepalanya digeleng perlahan.

"Tak.. Mak cik tak tahu dia dekat mana Sya, hurm.. Berapa ringgit semuanya Sya?" purse dikeluarkan dari beg tangannya, beberapa keping not Rm10 siap dikeluarkan.

"Semuanya Rm 16.30 sen mak cik, erm saya ambil Rm16 je mak cik." Nora mengangguk akur, plastik berisi barangannya bertukar tangan. Wang dihulurkan kepada Natasya.

Hanya keluarga Natasya yang masih peduli dengan mereka.

"Terima kasih Sya, mak cik pergi dulu.." beg plastik dijinjit lalu dia ingin berlalu pergi tetapi langkahnya ditegah oleh Natasya.

"Mak cik, mak cik abaikan sahaja ya mulut bawang semua ni. Mak cik tahukan keluarga Sya sentiasa sudi untuk bantu mak cik dengan pak cik, tentang Lia tu, Sya pasti dia ada sebab kenapa dia berbuat macam itu mak cik. Lia tu baik orangnya, mak cik jangan marah dia lama-lama. Dia pasti rindu dengan mak cik sekeluarga sekarang ini.." ujar Natasya lembut. Nora mengangguk dengan mata berkaca-kaca.

Siapa kata dia tak rindu dengan Kamelia? Ibu yang bodoh sahaja akan berbuat demikian. Walaupun kesalahan anaknya itu besar tetapi dia tidak mampu untuk marah lama. Anak itu yang pertama kali dia kandung selama 9 bulan.

"Terima kasih Sya, mak cik pergi dulu ya.." tangan Natasya ditepuk perlahan, gadis itu cuma mengangguk sambil tersenyum lembut.

Kepemergian Nora dihantar dengan ekoran mata, Natasya menghembus nafas berat. Kasihan sungguh dia dengan nasib yang menimpa keluarga Kamelia. Sebagai seorang kawan kepada Kamelia, dia juga tidak menyangka dan sedikit kecewa dengan perbuatan Kamelia tapi Natasya faham. Kamelia juga seorang manusia biasa, semua orang melakukan kesalahan. Jadi dia membuat keputusan untuk tidak menghukum Kamelia, dia akan tunggu kepulangan wanita itu semula dan bertanya punca wanita itu melakukan hal tersebut.

NORA meletakkan plastik yang penuh berisi dengan barangan dapur yang dibeli di kedai runcit sebentar tadi ke atas meja makan, air mata yang dari tadi ditahan akhirnya mengalir juga. Teresak-esak dia sendiri di dapur.

"Kenapa... Kenapa Lia buat umi macam ini? Lia tak sayangkan umi ke?" sehingga ke hari ini, dia masih memikirkan punca mengapa anaknya boleh melakukan hal terkutuk sebegitu? Dia kenal Kamelia, Kamelia tidak pernah keluar dengan mana-mana lelaki selain Noah. Dia tahu anaknya seorang yang patuh dengan larangan agama tapi kenapa?

Nora ingin tahu anak siapa yang Kamelia kandungkan? Dia langsung tidak sempat mendengar anaknya menjelaskan hal sebenar memandangkan suaminya bertegas tidak mengizinkan dia untuk berjumpa dengan anak mereka semasa anaknya ditahan di hospital.

Ismail masuk ke dapur, songkok putih di atas kepala dibetulkan. Dia berdehem kecil, Nora laju menyeka air matanya.

"Eh abang.. Bila abang masuk ke sini? Nora, Nora tak perasan pula." senyuman nipis diukir, laju tangannya membuka plastik yang diletakkan ke atas meja sebentar tadi. Dia tidak mahu suaminya tahu dia sedang menangis, Ismail pasti akan memarahinya kembali. Suaminya akan menjadi seorang yang pemarah jika hal anak mereka dikemukakan, jelas hati tuanya begitu marah dan kecewa dengan perbuatan anak sulung mereka.

Ismail meneguk air kosong yang diambil dari jag, wajah isterinya yang kelihatan cuba menyorokkan sesuatu dipandang.

"Apahal muram semacam muka awak tu? Tak pernah-pernah lagi abang tengok awak macam ini. Kenapa? Orang mengata awak tentang perbuatan anak kita ke? Sudah abaikan sahaja! Sudah anak kita yang memalukan kita, terima sahajalah cacian orang. Apa dosa aku dapat anak macam itu!" sampai ayat yang terakhir, nadanya suaminya berubah perlahan.

Nora terdiam.

"Abang.." seru Nora selepas lama mendiamkan diri.

"Hurm.. Kenapa?"

"Sampai bila abang nak marah dekat anak kita? Benda sudah pun jadi bubur, kenapa perlu dipanjangkan lagi hal ini? Tak cukup lagi ke abang biar anak kita merempat dekat luar sana dengan cucu kita? Entah apa Lia dengan cucu kita tu makan! Abang tak fikir ke? Nora rindu dengan Lia! Nora minta sangat dengan abang, buanglah ego abang tu ye. Itu sahaja anak perempuan yang kita ada abang. Selama 19 tahun, kita jaga dia. Takkan abang dah buang dia hanya kerana silap itu sahaja?" soal Nora dengan tangisan yang semakin hebat.

Dia sudah tidak tahan memendam lagi rasa ini.

Tegukan terhenti, wajah Ismail berubah tegang.

"Awak kata cucu? Tak! Saya takkan pernah anggap anak haram yang dikandungkan tu cucu saya! Selama ini abang berusaha susah payah untuk besarkan dia, abang berhutang dengan orang-orang kampung semata nak bayar yuran sekolah dia, nak belikan beras untuk dia, nak beli buku sekolah dia. Tapi apa balasan dia apa abang? Dia bagi jantan tiduri dia sesuka hati, dia kandungkan anak haram lagi! Awak pernah fikir tak berapa kecewanya abang, Nora? Abang ni abah dia, abang sentiasa tunaikan permintaan dia. Tapi.. Tapi dia hancurkan hati abang. Dia.. Dia kecewakan abang. Abang tak perlukan anak seperti dia.. Abang tiada anak seperti itu." nada Ismail berubah kendur, matanya juga kelihatan berkaca-kaca.

Jelas Ismail kecewa dengan anak sulungnya. Teramat kecewa.

Nora terdiam.

"Abang harap awak tak buka lagi isu budak tu lagi dalam rumah ni kalau awak rasa awak masih nak tengok muka abang. Sudahlah, abang pergi ke surau dulu." songkok dibetulkan sekali lagi sebelum dia melangkah. Dia rasa lebih baik dia duduk di surau, sekurang-kurangnya rasanya marahnya dapat dipadamkan.

Nora terduduk di kerusi, kepalanya dipicit perlahan.

Kenapa keluarganya sekarang seakan sudah berpecah sekarang? Kemana bahagia yang mereka kecapi dahulu? Air matanya mengalir tanpa diseka, dibiarkan sahaja membasahi kedua belah pipinya.

***

MRS NOAH QAISER©Onde histórias criam vida. Descubra agora