10

19.3K 833 39
                                    

AKU memandang sunyi rumahku di hadapan, sebenarnya aku takut hendak masuk ke dalam rumah dan berhadapan dengan umi dan abah. Aku tahu umi dan abah masih marah padaku berkenaan anak yang ada di kandunganku ini, aku sedar aku sudah melakukan kesalahan, aku sedar aku sudah memalukan kedua orang tuaku. Andai masa dapat diputar semula, aku akan berfikir lebih panjang. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku redha.

Selama dua hari aku tinggal di hospital, umi dan abah langsung tidak menjengukku. Terkilan, sedih, kecewa semua bergabung menjadi satu.

Aku seorang diri di hospital tanpa ada teman untuk berbicara, hanya ada air mata yang menemani.

Balasan untuk kau Lia! Sekarang terimalah padah atas perbuatan kau sendiri.

"Buat apa tercegat macam tunggul dekat situ? Ambil beg kau ni dan pergi dari sini, rumah ni tak perlu anak memalukan macam engkau ni. Aku takde anak macam kau, pergi dari sini." suara abah menyedarkan aku dari lamunan serta satu beg berisi pakaian dicampak ke arah aku.

Kata-kata abah dihadam baik.

Aku terkedu.

Tidak! Tidak mungkin abah mahu menghalauku?

Aku menggeleng perlahan.

"Abah bergurau dengan Lia kan?" soalku dengan tawa kecil, air mata sudah bergenang di tubir mata. Kepala aku masih lagi tergeleng perlahan, aku cuba menafikan kata-kata abah.

Wajah abah masih tegang. Tiada tanda-tanda dia bermain dengan kata-katanya, di tambah pula abah bukan seorang yang suka bergurau. Aku meluru ke arah abah lalu kakinya aku peluk erat. Tangisanku sudah pecah, tidak dihiraukan lagi tubuh aku yang masih lemah. Aku takut, aku tak nak abah halau aku. Di mana aku akan tidur jikalau aku dihalau?

Abah berdiri kaku, dia langsung tidak cuba mendirikan aku atau menolak aku jauh darinya. Dia hanya membiarkan sahaja aku memeluk kakinya, tangisan aku semakin hebat.

Kepala aku semakin laju menggeleng.

"Pergi kau dari sini, aku tiada anak yang sanggup jual maruah dia pada lelaki seperti kau. Anak aku cukup didikan agama semuanya, anak aku patuh arahan aku, anak aku dengar cakap aku. Tak macam kau, yang bagi jantan sesuka hati pegang badan dia. Cukup! Baik kau pergi sebelum halau kau dengan cara kasar. Pergi!" tengking abah kuat.

Bahu aku terhinjut ke belakang.

Seumur hidup aku, ini baru pertama kali aku melihat abah mengamuk teruk. Selama ini abah tidak pernah berkasar sedikit pun kepada aku, berat sangat ke kesalahan aku ini? Aku menyesal!

"Abah.. Tolong jangan buat Lia macam ini, kalau abah halau Lia, macam mana Lia nak hidup? Macam mana dengan anak Lia pula? Abah, tolonglah. Lia mengaku Lia bersalah, Lia minta maaf. Lia yang salah, ampunkan Lia abah. Lia sayangkan abah, Lia sayangkan umi, Lia sayangkan Daus dengan Afiq. Lia tak nak berpisah dengan keluarga kita. Tolong ampunkan Lia, abah.." aku melutut di hadapan abah, kakinya aku kucup berulang kali.

Nora yang berdiri di tepi suaminya hanya menahan esakan, kepalanya dipalingkan ke arah lain. Tidak sanggup dia melihat anaknya yang sedang merayu meminta ampun, hati ibunya sudah memaafkan perbuatan anaknya tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Suaminya seorang yang tegas dengan keputusannya. Dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja.

Firdaus dan Afiq sudah menangis di dalam pelukan sang ibu, sedih melihat kakaknya dihalau oleh ayah mereka sendiri.

Abah mencengkam lengan aku lalu ditarik aku keluar dari rumah, aku memandang simpati ke arah umi. Kelihatan wanita itu cuma mampu menggeleng dengan air mata yang sudah deras mengalir. Aku sedar, umi tidak mampu untuk membantuku.

Lengan aku dilepaskan kasar oleh abah sehingga aku terjelepuk jatuh ke tanah, perutku terhentak. Segera tanganku memegang perutku. Tolong sayang, kuat demi mama, rintih hati kecilku.

Wajah abah sudah menyinga.

"Jangan jejakkan kaki lagi ke rumah ini, selagi mana aku hidup, selagi itu aku haramkan kau dan anak kau pijakkan kaki ke rumah ini. Aku buang kau sebagai anak aku, kau bukan anak aku lagi. Berambus kau dari sini!"

Allahuakbar! Bagai halilintar yang menyambar hati kecilku. Aku menggeleng laju, aku mengengsot di atas tanah ke arah abah lalu memeluk erat kaki abah.

"Abah, jangan buat Lia macam ini abah. Abah, Lia merayu abah. Abah jangan buang Lia dari keluarga ni, Lia perlukan abah, umi dan adik-adik Lia. Lia merayu abah.." tangan aku sudah mengigil hebat, abah merentap kakinya kasar sehingga aku terjatuh ke belakang.

"Aku dan keluarga ni tak perlukan kau lagi, pergi dari sini!" sejurus itu, abah berlalu pergi dan menghempas kuat daun pintu. Aku tersentak, air mata semakin deras.

Kenapa semua ini terjadi?

Kenapa aku diuji sebegini? Balasan aku ke kerana mengingkari larangan Tuhan? Ini balasan aku ke ya Allah? Noah, lelaki itu sekarang sudah berbahagia bersama isterinya dan sekarang abah menghalauku malah membuang nama aku dari keluarga kami?

Allahuakbar.

Dada aku sesak saat ini, aku sudah tiada sesiapa. Kaki aku tarik ke dada lalu kepala aku disembamkan di antara kaki tersebut, terhenjut-henjut bahu aku menghamburkan tangisan. Ke mana aku harus pergi selepas ini? Bagaimana dengan keadaan anak aku? Dalam satu hari, aku hilang semua ahli keluarga yang paling aku sayangi.

Umi, abah, maafkan Lia. Lia tak sempurna sebagai anak umi dan abah. Lia minta maaf.

Dengan segala kudrat yang ada, aku bangun dari tanah. Beg yang berisi pakaianku yang dicampak oleh abah tadi aku ambil dan aku sangkutkan ke bahu, dengan mata yang berkaca-kaca aku memandang rumahku yang dulu pernah menjadi syurga aku. Aku akan rindu segalanya, aku akan rindu semua kenangan aku di sini, aku akan rindu abah dan umi.

Andai abah telah membuang aku dari keluarga ini, aku redha. Aku akan pergi jauh seperti mana yang abah inginkan.

Aku tidak sempat mengucup tapak tangan yang menjaga aku tanpa lelah itu buat kali terakhir, aku tidak sempat hendak meminta abah untuk menghalalkan segala rezeki yang diberikan selama ini, aku tidak sempat meminta umi menghalalkan susu yang terkandung di dalam tubuhku ini.

Air mata diseka.

"Umi, abah, maafkan Lia.." dengan air mata yang kembali mengalir deras, aku melangkah pergi. Maafkan Lia kerana telah mencalitkan arang ke muka umi dan abah, Lia minta maaf.

Tangan aku lekapkan ke perut, kini hanya tinggal aku dengan nyawa yang sedang membesar di perutku. Walaupun anak ini dibenci oleh abah serta orang disekelilingnya tetapi aku tetap akan menyayanginya sebagaimana umi dan abah menjagaku dulu.

Mama akan jaga baby sampai baby selamat sampai ke dunia ni sayang.

Sumber kekuatanku sekarang ini cuma satu iaitu anak di dalam kandunganku ini. Aku harap aku boleh menghadapi cabaran di luar sana. Tuhan, tolonglah bantu aku. Aku lemah ya Allah, aku tak kuat.

Semoga aku mampu mengharungi segalanya.

***

Berbelit-belit tak ? Rasa macam ya je haha.

MRS NOAH QAISER©Where stories live. Discover now