#44: Pengakhiran Yang Tak Dijangka

Start from the beginning
                                    

Melati mengambil initiatif untuk menyerang lagi. Salah satu panah yang dilepaskan mengena pada leher naga besar. Secara refleks, naga itu terus melepaskan gigitannya pada Badrol dan mengaum lagi. Pantas Badrol melarikan dirinya menjauhi naga itu. 

Kayu masih dengan taktik pukul curinya tadi. Namun, nasibnya tidak baik pada langkahannya yang terakhir. Pada waktu dia mahu mengundurkan diri, naga itu sempat menangkap Kayu dan menghempapkan tangannya ke atas tubuh Kayu. Dia cuba untuk melepaskan diri, namun berat tangan naga itu membuatkan dia tidak dapat meloloskan dirinya. Naga besar itu menderam dengan nafas berasapnya kini keluar dari mulut dan lubang hidungnya. 

"Jangan harap kau nak angkut bangkai aku ke tanah besar sana. Aku tahu tujuan kau orang semua!" 

Aku boleh nampak muka pasrah Kayu pada waktu itu. Dia sempat menumbuk-numbuk tangan naga itu, namun naga itu langsung tidak berkutik. Aku cuba untuk mengangkat busurku ke arah naga itu. Moga panahanku membuatkan naga itu melepaskan pasakan tangannya ke atas Kayu. Namun, dengan apa yang aku hadapi secara dalaman kini membuatkan tindakanku terbantut. Sasaran aku tidak mengena. Dan si naga tadi pun terus melepaskan nafas berapinya ke arah Kayu. 

"Aaaarrrgghhhh!!!" 

Aku terlopong melihat kejadian itu, bahkan rakan-rakanku yang lain juga begitu. Aku dapat dengar jeritan Kayu meminta tolong dilepaskan. Badannya semakin rentung, tapi naga itu masih tidak melepaskan tangannya dan masih memegang tubuh Kayu dengan kuat. 

"Kayuuuuu!!!!" 

Pelita yang pada mulanya mahu melepaskan Hayun daripada lilitan pohon menjalar tadi terus menjerit dan mencampakkan beberapa siri magik secara rawak ke arah naga itu. Ada magik api, magik ais, magik kilat pun ada. Aku boleh rasa kemarahan Pelita waktu itu berada di kemuncaknya. 

Melati pula menyasarkan panahnya ke arah naga besar itu, mengabaikan yang kecil buat sementara waktu. Sementara Hayun yang masih terikat itu cuba untuk membuat siri magik juga, tapi kurang berhasil kerana gerakannya yang terbatas. Aku pantas mengisi semula anak panah ke dalam slot busurku dan menembak berkali-kali ke arah naga itu. Kena atau tidak, aku tak peduli. 

Panahku dan kepunyaan Melati ada yang tersasar ke arah naga-naga kecil tadi, membuatkan naga-naga itu jatuh akibat cedera. Badrol yang kegeraman terus menghentam kepala mereka dengan tukulnya. 

Apabila panah di dalam slot busurku sudah kehabisan, aku yang kemalasan untuk mengisi semula terus melancarkan magik Panahan Cahaya dengan melibaskan tanganku ke arah naga itu setelah mantera dibaca. Cahaya itu menikam badan dan sayap naga itu membuatkan dia mengaum kuat kesakitan. Naga besar itu semakin melemah. 

Setelah puas mencampak segala macam serangan ke atas naga besar itu, salah satu panah Melati telah menembusi dadanya yang teruk terbuka lukanya. Naga itu mengaum kuat sekali lagi sebelum tumbang menyembah tanah. 

Kami menghentikan serangan dan mula menghampiri naga itu dengan berhati-hati. Risau kalau naga itu punya helah lain. Namun, deraman naga itu semakin melemah, dan akhirnya dia mati. 

"Cepat, selamatkan Kayu!" kata Pelita. Dia yang pertama tiba di situ. 

Pelita membuat magik dengan mengumpulkan bebola air yang begitu banyak dan besar sebelum bebola itu dicampakkan ke tubuh Kayu yang terbakar. Api mulai surut dan kami terus menghampiri tubuh Kayu. Kesan lecur di tubuhnya terlalu serius dan mukanya kehitaman. Kulitnya juga ada yang melepuh, menampakkan isi daging kemerahan di sebaliknya. Bau daging hangit menyelubungi kawasan itu. 

Badrol cuba untuk menyuapkan cecair penyembuh ke dalam mulut Kayu, namun masih tidak ada tindakbalas. Kayu masih juga tidak bergerak dan nafasnya tiada turun-naik. Hampir beberapa minit berlalu dengan usaha untuk menyelamatkan Kayu dengan bantuan nafas dan magik, akhirnya kami mula menerima dengan apa yang berlaku kepada Kayu. Pelita yang mempunyai hati tisu terus menitiskan air matanya, teresak-esak tangisnya. Melati cuba menenangkan Pelita dengan memeluk bahunya. 

Aku tidak sangka perkara ini boleh berlaku. Aku membuka kain penutup hidung dan berjalan menghampiri tubuh itu. Aku menurunkan hud, melutut, dan memberi penghormatan yang terakhir buat sahabatku.     

"Kita kena kuburkan dia kat sini," saran Hayun sambil membersihkan sisa daun yang melekat pada tubuhnya. 

Melati memejamkan matanya sebentar dan melayangkan tangannya ke arah tanah tak jauh dari tempat Kayu terkulai. Tanah itu terbuka, menjadi sebuah lubang sedalam 7 kaki. 

"Ini je yang kita boleh buat, kan?" Suara Melati sedikit bergetar. 

Kami mengangguk perlahan. Aku menghampiri tubuh Kayu. Aku, Badrol, dan Hayun mengangkat tubuh Kayu masuk ke dalam lubang itu dan, dengan menggunakan magik, Melati mengambus tanah itu semula dengan gerakan tangannya menggenggam penumbuk. Kemudian, dia duduk di akar pokok berdekatan dan melepaskan tangisnya di situ. 

"Kita semua tahu risiko masuk ke tempat ni. Dari awal perjalanan kita ni dulu dah ada risiko macam ni. Aku harap, Kayu tenang kat sana," Badrol memberi kata-kata terakhir buat Kayu. Sempat dia mencacakkan senjata milik Kayu yang berada berdekatan untuk dijadikan batu nisan. 

Aku tidak tahu untuk mendoakan apa. Jadi, aku diam memandang tanah kambus itu sepuasnya dan mengenangkan kenangan kami bersama. 

* * *

Kami tiba di kapal semula dalam waktu petang. Qawiem dan Walid tengah syok tidur. Bosan menunggu agaknya. Jadi, bila kami kejutkan mereka, mereka berasa kagum melihat ada tiga ekor naga yang kami bawa menggunakan satu sampan yang sepatutnya milik... 

"Mana budak yang sorang lagi tu? Apa ke nama dia?" 

"Kayu," Qawiem mencelah. 

"Ha... Kayu! Mana dia?" 

Kami semua tak mampu untuk berkata apa. Sepanjang perjalanan membawa bangkai naga tadi pun kami membisu saja. Dalam kepala ini masih lagi memproses kejadian yang berlaku tadi. 

"Aku faham... sebab aku pun pernah kehilangan kawan masa memburu naga kat sini dulu." Qawiem menepuk bahu Hayun yang berada di hadapannya. 

"Ya, dua orang kawan aku tumpas kat tangan naga. Sebab tu aku dah takut nak jejak pulau tu lagi," tambah Walid. 

Kami faham apa yang mereka ceritakan. Kayu sudah pasti bukanlah manusia pertama yang tumpas di tangan naga di pulau itu. Tapi kami sudah beberapa bulan mengharungi perjalanan bersama. Walaupun kami banyak buat keputusan ikut kepala degil kami, tapi Kayu masih mengikut ke mana saja kami pergi. 

"Mayat dia?" Walid bertanya. 

"Kami tanam dia kat sana," jawab Melati. 

Mereka mengangguk. 

"Kalau macam tu, takpelah. Elok kita gerak sekarang. Nak lewat dah ni." 

Jadi, kami pun meninggalkan pulau naga itu, sekaligus meninggalkan sahabat perjuangan kami di sana. Dalam kesukaran kami untuk menerima pemergian Kayu, kami perlu kuat untuk meneruskan perjalanan kami yang entahkan bila pula giliran kami untuk meninggalkan dunia ini. 

Itu sudah bahagian dia, bahagian kami bakal menyusul nanti. 

 

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now