#40: Terus Berlari

Start from the beginning
                                    

Aku menghampiri pakcik yang sedang duduk di kaunter sambil membaca suratkhabar. Meja kaunter aku ketuk perlahan. 

Pakcik itu sedikit terkejut, dipandangnya aku dengan mata yang tajam sebelum dia menyarungkan cermin matanya dan berkata, "Ya, cik. Ada apa pakcik boleh tolong?" 

Aku keluarkan beberapa barang yang aku mahu jual dan diletakkan di atas kaunter. "Saya nak jual barang-barang ni. Pakcik tengok dulu harganya berapa, nanti kira semua berapa ya." 

Pakcik itu terus mengambil satu persatu barangan yang aku letakkan tadi. Diperhatikan kualiti dan kecacatan yang ada sebelum dia membuat kira-kira. 

"Semua sekali saya letak 350 emas. Boleh?" 

Aku perhatikan semula baranganku tadi. Setakat senjata capuk dan sebentuk permata yang rendah nilainya. Tapi boleh dapat lebih daripada apa yang aku fikirkan, itu sudah cukup. Lalu aku mengangguk setuju. 

Pakcik itu mengalih kesemua barangan itu ke tepi kaunter dan mengeluarkan satu uncang untuk diisi kepingan emas tadi. Dia mengira kepingan itu dengan pantas, namun teliti. Setelah cukup 350 keping emas, dia menarik tali untuk menutup mulut uncang itu dan dihulurkan ia kepadaku. 

"Nah, duit jualan kamu." Dia lemparkan senyum. 

"Terima kasih, pakcik!" 

Pakcik itu mengangguk dan berkata, "Datang lagi!" 

Sebelum berangkat pergi, aku mengangkat tangan kepadanya. 

Semasa dalam perjalanan untuk ke kedai makan semula, aku bertembung dengan Kayu, Badrol, dan Hayun. Muka Kayu sedikit masam. Ada la tu yang tak kena. 

"Setel?" 

"Belum lagi. Kayu ni nak cari kedai yang boleh salut senjata dia dengan magik, tapi kedai kat belah sana tadi tak boleh nak buat. Diorang suruh pergi yang kat hujung belah situ pulak," jelas Hayun. 

"La yeke. Takpelah, korang pergi la dulu. Aku terus ke kedai makan tadi, takpe kan? Perut dah mula lapar ni!" Aku menggosok perut kerempengku. 

"Kau pergi makan dulu la. Kitorang teman Kayu ni kejap." 

Aku angguk dan membiarkan mereka pergi ke tujuan mereka. Setelah mereka menghilang, aku terus berjalan ke kedai makan tadi. Kelihatan Melati dan Pelita sedang menikmati hidangan mereka. Buatkan perutku semakin berkerongcong. 

Aku duduk bersama mereka. Laju aku memesan makan dan minumku. 

"Diorang mana?" tanya Melati dengan mulut yang penuh dengan roti berintikan kepingan daging. 

"Cari kedai nak salut senjata Kayu," jawabku secara ringkas. 

"Kau buat apa je tadi?" 

"Biasalah. Jual barang." 

Melati menarik senyum padaku sekilas sebelum dia kembali menumpukan perhatiannya kepada rotinya kembali. Setelah habis dimakan, dia memesan lagi makanan lain. Betul-betul lapar dia. Mungkin kepenatan semalam membuatkan dia menjadi hantu lapar begitu. Malam tadi juga kami semua tidak menjamah apa-apa makanan. Semuanya terbongkang akibat kuasa magik entiti kabus itu. 

Agak lama juga kami bertiga, sehinggalah yang lain tiba dengan wajah yang keletihan. Tanpa menunggu pelayan untuk tiba ke meja, mereka sudah pun melaungkan suara untuk memesan makanan. Dari jauh, si pelayan itu mengangguk sambil menulis pesanan mereka dan memberi kertas pesanan kepada pekerja dapur. 

"Apa yang lama sangat korang buat tadi?" tanya Melati setelah dia selesai meneguk minumannya habis. 

Kayu mencebik. "Aku nak salut senjata aku ni dengan magik, tapi orang tu takmau buat. Entah apesal dia halau kitorang." 

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now