#36: Festival Todak

Start from the beginning
                                    

Tapi sebelum tu... aku mencari peluang. 

Aku berlari di celahan orang ramai dan tanganku membuat kerja. Dengan bantuan Tangan Sihir, aku 'mengambil' sedikit duit mereka setiap seorang yang aku mencelah. Kemudian, aku panjat dinding dengan gaya yang begitu akrobatik dan mendarat ke atas bumbung bangunan. Apabila aku sudah berdiri stabil, segala duit yang aku curi terbang ke telapak tanganku. Sempat aku mengerling. Dapat 6 keping syiling emas. Boleh tahan! 

Aku terus mengikut Kayu dan Pelita yang sudah semakin jauh itu. Terus mengejar jejak Badrol dengan menggunakan laluan di atas bumbung. 

*    *    * 

Kami sampai berdekatan dengan Badrol. Kelihatan dia memandang ke kiri-kanan, seperti melilau ke arah sesuatu. 

"Yo, Bad! Nak ke mana je?" laung Kayu. 

Badrol seperti terkejut. Mungkin dia tidak sedar kami juga mengikutnya sejak dari tadi. 

"Oh! Aaa... nak ke Pelabuhan Timur. Orang kata ada Festival Todak berlangsung kat situ," jawabnya. 

Dari tempat kami berdiri, kami boleh nampak aktiviti yang berlangsung sempena Festival Todak yang kelihatan ceria dan mewah itu. Dari apa yang aku dengar di gerai tadi, ada pertandingan lumba ikan todak, memancing todak, marathon... ah, macam-macam lagi la! Yang utamanya memang semuanya melibatkan todak. 

"Kau nak masuk ke aktiviti yang diorang buat tu?" Aku saja nak tahu. 

"Kalau ada yang best, apa salahnya." 

"Macamana nak ke sana?" 

"Pelabuhan tu kat situ je..." Badrol menuding ke arah depannya. "...tapi sekarang ni aku tengah cari laluan yang tak sibuk macam tadi dan senang nak ke sana." 

"Situ macam tak sibuk sangat." Kayu menuding ke satu lorong yang kelihatan lengang itu. 

"Jom!" Lalu, Badrol terus turun ke laluan pejalan kaki yang terdekat untuk pergi ke Pelabuhan Timur melalui lorong lengang itu. 

Kami juga menurut. 

Apabila kami tiba di satu lorong yang begitu sunyi sekali suasananya, tiba-tiba Badrol mengangkat tangannya, menyuruh kami berhenti dan senyap. 

Aku yang di belakang sekali menoleh ke belakang. Mana tahu ada pula yang mengikut, atau ada kehadiran Hayun bersama kami secara senyap pula. Tapi tiada siapapun di belakang kami. Badrol masih mengintai sesuatu. 

"Apesal ni, Bad?" Pelita yang berada di hadapanku bertanya. 

Dia letakkan telunjuknya ke bibir. "Ada orang kena belasah." Dia tengok lagi ke lorong itu. "Kita buat tak tahu je, okey?" 

Lalu, Badrol pun keluar dari persembunyiannya dan berjalan selamba ke lorong itu. Kayu juga mengikut, tapi aku tidak. 

"Kau tak nak ikut?" tanya Pelita. 

Aku menggeleng. "Aku tak sedap hati." Jadi, aku hanya berdiri di sebalik dinding dan memerhatikan mereka. 

Tak jauh dari kami, ada tiga orang; seorang perempuan, seorang lelaki (kelihatan mereka berdua seperti orang yang kuat dengan magik) dan seorang lelaki yang memakai baju zirah. Melihat pada pemakaian mereka, mereka bukanlah golongan atasan dari negara Temasek ini. Mungkin dari negara terdekat, aku pun tak pasti. Di hadapan mereka, ada seorang lagi, aku tak pasti lelaki atau perempuan, sedang terlentang lemah. Pasti mereka bertiga telah membelasah sosok lemah itu sehingga tersungkur. 

Sejurus selepas Badrol dan Kayu berjalan di lorong itu dan melepasi kawasan yang menempat tiga orang tadi itu, tiba-tiba yang memakai baju zirah itu menegur Badrol, "Kau buat apa kat sini?" 

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now