#34: Woi, Badrol!

Start from the beginning
                                    

Kayu yang mahu berjalan ke arah Tuan Adib itu dihalang oleh beberapa pengawal yang mengiringi perarakan tersebut.

"Mana Tuan Adib jumpa dia tu?" laung Kayu tidak berpuas hati diperlakukan sebegitu.

Wajah Tuan Adib seperti murka dan seperti mahu melempang muka Kayu tapi ditahan nafsu amarahnya.

"Bad, kau turun sini!" arah Melati, tapi seperti tadi, Badrol langsung tak bergerak daripada posisinya.

"Tak boleh jadi ni!" Setelah itu, Hayun terus berlari naik ke atas pentas perarakan dan menuju ke arah Badrol. "Meh sini kau!" Tangan Hayun mencapai mahkota yang dipakai Badrol.

Malang sekali, Badrol mengilas tangan Hayun dan mengelak daripada mahkotanya diambil Hayun. Hayun tercampak ke tepi, mendengus geram. Perbuatan Hayun tadi membuatkan pengiring yang lain berpaling ke arahnya dan memandangnya tajam.

Tuan Adib bertambah berang dengan kelakuan Hayun dan dia terus mengangkat tangannya yang mula berapi. Dengan refleks yang tangkas, Melati mencapai busur dan mengambil dua anak panah dari dalam beg panah dan menyasarkan busurnya ke arah Tuan Adib. Dengan latihan yang dia praktis sehari-hari, Melati nampaknya sudah menguasai untuk mengawal dua anak panah dalam satu tembakan yang sama. Dan selalunya, dua anak panah itu disasarkan pada dua sasaran yang berbeza. Dari posisi aku, aku tak tahu dia sasarkan ke arah mana.

Setelah dilepaskan, panahnya berdesup terbang ke arah tangan Tuan Adib, dan satu lagi ke arah mahkota Badrol. Namun, kedua-dua panahnya hanya menembak angin, dan hanya mencalarkan tangan Tuan Adib. Aku rasa memang itu tujuannya Melati berbuat begitu.

Geram magiknya terbatal, Tuan Adib terus mengilas jubah merahnya dan nampaknya ada beberapa batang tongkat magik di sebalik jubahnya itu. Dia mengambil salah satu daripadanya dan melayangkan tongkat itu ke arah Kayu, aku fikir dia buat itu secara rambang. Setelah dia melayangkan tongkat itu, Kayu yang sudah bersedia menggenggam penumbuk itu terus mengendurkan tumbukannya dan berdiri suram di situ.

Magik pengawal minda! Aku tak tahu apa namanya tapi aku tahu magik itu mampu buat seorang yang bersemangat waja menjadi lembik lemau tak bermaya.

"Kayu! Apesal dengan kau?" Aku pandang semula ke arah Tuan Adib. Aku kena curi tongkat-tongkat magik miliknya itu. Aku rasa tongkat tersebut ada yang mampu mengeluarkan magik yang lebih dahsyat daripada tadi. Aku mencapai senapang busur yang selalu kusandangkan di bahu, dan menghalakan panahku secara rambang, memandangkan semua pengiring dan pengawal perarakan itu sudah pun mula membuka langkah.

Seorang demi seorang tumbang dengan kepantasan kami dan Nora juga turut membantu. Nasib saja dia pernah bekerja sebagai seorang jururawat semasa dalam khidmat tentera dulu, jadi kami tidak perlu risau jika ada di antara kami yang tercedera. Kuasa magik penyembuh Nora yang hampir sama dengan magik Pelita itu sedikit sebanyak membuatkan kami terus bangkit untuk melawan kumpulan perarakan itu.

Badrol juga turut berlawan, malang sekali, dia berpihak pada pihak lawan. Aku fikir otaknya dikawal oleh sesuatu, dan mahkota itu penyebabnya. Lain macam sangat aku tengok sebab sejak ada mahkota itu saja dia buat perangai pelik. Mungkin nanti bila dia sudah sedar dan sembuh, kami akan bersoal-jawab dengan Badrol untuk memastikan apa yang sebenarnya.

* * *

Aku pandang sekeliling di kawasan pertempuran tadi. Orang ramai semua berlari menjauhi kawasan itu dan hanya kami saja di tengah-tengah kawasan tersebut. Kelam-kabut juga kawasan itu, dengan kuda yang lari bertempiaran, pentas perarakan dah serabut. Pengiring dan pengawal mereka sudah terkulai di atas tanah.

Kami menghadap Badrol yang juga pengsan. Kayu sedaya-upaya berlari ke arah Badrol dan mencapai apa saja yang ada di atas pentas perarakan itu dan mengikat Badrol. Ada seorang lagi yang masih berdiri di situ.

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now