Maya & Jack

32.7K 3.2K 401
                                    

GADIS yang memakai selendang hitam dan berbaju kurung kapas keluar dari teksi dengan sebuah beg rotan di tangannya. Kakinya melangkah perlahan-lahan ke arah kubur yang terletak di hujung kawasan.

"As... Assalamualaikum... Uncle, Aunty. Kak Fiqa, Fina." Ucapnya dengan teragak-agak. Setelah setahun, barulah dia menghancurkan segala keegoan dan kebenciannya untuk pergi melawat kubur mereka yang sudah menganggap dirinya sebagai keluarga itu.

Maya membentang tikar kecil yang hanya mampu memuatkan dirinya seorang di kawasan tanah yang agak rata. Suasana sunyi seketika. Maya hanya merenung empat buah kubur di hadapannya. Sebak kian menusuk jiwa.

Cecair jernih mula bertakung di tubir mata. Bibir merahnya bergetar kecil. Perlahan-lahan, setitis air jernih itu turun di pipi lalu jatuh ke selendang hitamnya.

"Am... Ampunkan... Maya," Gadis itu menundukkan kepalanya sambil tanah kering kubur Datuk Aminuddin digenggam erat. Biarlah kotor pun tangannya kerana sekarang yang paling kotor ialah hatinya. Dendam lama telah membuatkan hatinya menjadi busuk dan saat dia sedar segala kesalahannya, semuanya dah terlambat. Tatkala dia sedar, dia terasa dirinya sangat jijik.

Benar kata Shafira tiga bulan lalu. Dia bodoh! Dia buta sehinggakan dia tak nampak keluarga, kebahagiaan dan kehidupan yang diimpikan selama ini sebenarnya telah ada di hadapan matanya, namun dia sendiri yang menghancurkan semuanya hingga berkecai.

Tangisan Maya kedengaran. Pipinya basah dengan air mata. "Uncle, maafkan Maya. Aunty, ampunkan Maya. Kak Fiqa, Fina... Tolong maafkan Maya. Maya salah, Maya bodoh! Maya berdosa! Bila Maya sedar semuanya, tak ada apa yang dapat dikembalikan. Maya yang bunuh kebahagiaan sendiri."

Hatinya ditusuk penyesalan, dihiris kekecewaan. Dendamnya akhirnya memakan diri. Penamatnya, tiada keuntungan yang dia dapat selain penyesalan yang tiada kesudahan.

"Maya punca kebakaran rumah tu. Maya yang bunuh semua orang. Kenapa Maya bodoh sangat waktu tu?" Luahnya dengan suara yang sudah serak.

"Maya tipu diri sendiri. Maya tipu Shafira! Maya kata, semua saat kami bersama hanya palsu tapi sebenarnya, senyuman dan gembira yang Maya rasa selama ni betul. Maya sayang Uncle, Aunty, Kak Fiqa, Fina dan Shafira tapi kenapa Maya boleh jadi terlalu bodoh?" Maya hampir ingin menempik saat berbicara.

Kini, Tuhan memberikannya peluang ketiga untuk merasa bahagia dan Maya takkan sesekali mensia-siakannya untuk kali ketiga. Cukuplah dengan apa yang dia buat.

Tiga bulan lalu, Jack telah meminta 426 membawanya pergi dari ditangkap pihak polis. Dia telah dihantar jauh ke Pahang untuk hidup bersama-sama dengan nenek kawan baik Jack. Mulanya, dia memberontak namun kesabaran yang tinggi oleh Nek Hasnah ternyata berjaya melembutkan sekeping hatinya yang keras dulu.

Maya dididik dengan agama, diajar dengan penuh sabar. Akhirnya, Maya mula sedar dan bersungguh-sungguh ingin menebus semula semua kesalahannya. Namun dapatkah dia menebus segalanya? Dosanya tidak terhitung banyaknya. Mungkin lebih besar dari gunung, lebih luas dari lautan dan lebih banyak daripada pasir di pantai.

Dia mendapat khabar berita bahawa Jack telah menyerah diri pada pihak polis dengan mengaku dirinya Red King. Apabila pihak polis mendapat tahu LBP dan 426 muncul di tempat kejadian sebelum pihak polis, mereka berdua disiasat namun LBP dan 426 masing-masing mengaku tidak melihat apa-apa pun melainkan di situ sekadar untuk menyelamatkan Shafira saja.

Ya, itu strategi 426, LBP dan Jack. Mereka memang tidak melihat tapi mereka tahu semuanya yang terjadi. Namun nasib mereka baik kerana tiada seorang polis pun meragui keterangan mereka berdua mahupun bertanya lebih-lebih.

"Uncle, Aunty... Kalau Maya minta maaf dengan Shafira, nak ke dia maafkan Maya?" Soalnya, perlahan dengan rasa risau.

Dia tahu perangai Shafira yang baik hati dan bukan jenis pendendam dengan orang, namun setelah menyaksikan sendiri perubahan ketara Shafira pada malam tiga bulan lalu dan segala kesalahan yang dilakukannya, dia tak yakin Shafira akan memaafkannya.

Hacker 426 ✔️ Where stories live. Discover now