Keluarga Baru

31.2K 3.2K 177
                                    

KERETAKU diparkirkan di perkarangan rumah banglo dua tingkat Datuk Yusri. Kelihatan dari cermin tingkap gelap kereta, Datuk Yusri dan Datin Bashirah menunggu aku bersama sebuah senyuman gembira.

Entah kenapa, jantungku berdetak laju. Perasaan teruja, gembira, cemas dan tak sedap hati bersilih ganti dalam hatiku.

Dada dipegang. Ah, hati. Kenapa rasa tak tentu arah ni? Mungkin kerana ini merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu sekali.

Makan bersama bagaikan sebuah keluarga yang lengkap. Bagaikan sebuah keluarga yang bahagia.

Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus kuat, cuba menenangkan hati yang agak bercelaru.

Beberapa kali mengulang perlakuan yang sama, senyum ditarik. Pintu kereta dibuka.

"Dear, kenapa lambat sangat buka pintu? Nervous ke?" Duga Datin Bashirah lalu tergelak kecil.

Aku tersengih. Tepat kena batang hidungku. Memang aku cemas pun.

Lantas tangan tua Datin Bashirah menarik lenganku lembut untuk mengajakku masuk.

"Jom, jom. Kita masuk. Mama masak makanan kegemaran Fira tau! Dulu, tiap-tiap hari Fira akan minta mama masakkan makanan ni untuk Fira." Cerita Datin Bashirah, bersemangat.

Aku ketawa. Walaupun kenangan indah itu sudah aku lupakan, tapi kehangatan kasih sayang Datin dan Datuk terasa ada dalam hati ni.

Kakiku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Saat tiba saja di bahagian dapur, terdengar riuh rendah suara perempuan dan seorang kanak-kanak sedang bergaduh.

"Ya Allah, Ian!! Habis tumpah nasi! Ian nikan! Cuai! Macam mana boleh tumpah ni?" Rungut Humairah, gadis yang berusia 16 tahun. Sewaktu kemalangan, dia mengalami kecederaan teruk di bahagian tangan kanannya namun alhamdulillah, semuanya selamat selepas menjalani rawatan pakar.

Dia sedang mengutip nasi yang berterabur di lantai gara-gara kenakalan Ian.

"Ian dah cakap pinggan nasi tu berat. Kak Ngah yang paksa Ian bawa juga!" Balas Ian dengan cebikan di bibir. Tangan disilangkan ke dada bersama wajah yang cemberut.

"Eee... Awak tu, memang! Lembik! Bawa pinggan nasi pun boleh jatuh! Sendi otot tu dah hilang ke apa?" Perli Humaira membuatkan aku ketawa.

Membulat mata Ian disindir begitu. Dia menyinsing lengan bajunya hingga ke bahagian ketiak lalu Ian sedaya upaya menunjukkan otot comelnya kepada Humaira.

"Eh, mana ada! Ni... Ha! Tengok! Kuat tau. Ian ni abang sado ya!" Terkembang kempis hidung Ian, bangga punya pasal.

Humaira cebik meluat. "Abang sado konon. Badan kecil macam awak ni, sekali tiup, melayang sampai ke Utara Afrika sana."

Datin Bashirah yang melihatkan pergaduhan yang tercetus itu kalut-kalut mendekati mereka.

"Eh, apa ni Mai, Ian, gaduh-gaduh macam budak kecil! Malulah Fira tengok. Kemas cepat. Ian, salam Kak Fira." Arah Datin Bashirah.

Datuk Yusri tergeleng perlahan sambil tersenyum. Aku pula sudah lama gelak. Allah, sungguh aku rindu dengan suasana ini. Sangat-sangat!

Ian mendekatiku lalu menyalami tanganku. Dia memandangku dengan wajah polosnya. "Kak Fira, Ian kuatkan? Kak Ngah tu dengki. Tahulah otot dia tak besar macam kita. Lemak je banyak," kutuk Ian selamba lalu terkekeh-kekeh ketawa pada hujung ayatnya.

Ian merupakan anak angkat Datuk Yusri dan Datin Bashirah. Jadi, tak hairanlah muka Ian tiada iras-iras wajah Datuk Yusri mahupun Datin Bashirah.

Humaira yang sedang membersihkan nasi di lantai, lantas bangun lalu bercekak pinggang dengan wajah garang.

Hacker 426 ✔️ Where stories live. Discover now