67

453 37 16
                                    

Zhou Feiyan datang menghadap XiYue seperti yang disangka oleh XiHua. Adiknya itu memang sangat bernas apabila merancang strategi. Namun sampai bila pun XiYue tidak akan tahu bahawa semua idea gila XiHua adalah kerana dia suka menonton drama sewaktu dahulu.

Saat perempuan itu melangkah masuk, XiYue sudah bersedia untuk menjawab segala persoalannya. Zhou Feiyan memberikan kata selamat yang rasmi apabila dia bertemu XiYue sebelum memulakan topik utama.

"Tuanku Maharaja XiYue, tentang apa yang telah diutarakan oleh patik sebelum ini.." Zhou Feiyan tersenyum. Entah mengapa dia seolah-olah yakin tentang Empayar Haoxia yang kini telah berada di dalam tangannya.

"Maharaja Mu baru saja mangkat. Tidakkah kamu mahu berkabung dahulu sebagai isterinya?" perli XiYue.

"Ahaha! Dari awal patik tak pernah anggap dia suami. Tuanku XiYue, patik sejak awal masuk ke istana hanyalah untuk membalas dendam." balas Zhou Feiyan. Senyumannya masih manis macam selalu.

"Oh?" XiYue semakin berminat nak tahu.

"Dah tentu. Akhirnya Mu YuCheng mati ditangan patik! Baru puas hati patik. Dia seorang yang kejam dan tidak layak menjadi maharaja! Anak sendiri dia hukum dan seksa!" marah Zhou Feiyan secara tiba-tiba. Reaksi wajahnya serta merta berubah lain. Seperti dia menjadi orang lain.

XiYue hanya mendiamkan diri. Memberi ruang untuk Zhou Feiyan melepaskan perasaan yang terbuku.

"Ahaha!! Mu XiLian, akhirnya bonda telah berjaya.. Kamu sudah bebas.." ujar Zhou Feiyan seolah-olah tidak ada orang lain disitu. Umpama bercakap seorang diri.

XiYue yang mendengarnya bertambah yakin dengan apa yang telah sedia dia maklum. Mu XiLian adalah nama Putera Pertama. Memang betul ayahandanya sangat kejam memperlakukan sebegitu pada anaknya sendiri yang cacat. Satu perkara yang sampai kini XiYue tidak setuju. Namun perempuan di hadapannya ini telah meracun ayahandanya, juga bondanya Permaisuri Li JianSu.

"Ayahanda..dan bonda dibunuh oleh kamu?" soal XiYue yang mahukan bukti.

"Bonda?! Li JianSu bukanlah bonda kandung Tuanku XiYue. Permaisuri itu menipu!" terang Zhou Feiyan.

XiYue tersentak. "Apa maksudmu?"

"Ahaha! Sampai sekarang Tuanku Maharaja XiYue tak tahu.. Sedih! Bekas Permaisuri Yi FengJi telah membunuh bonda kandung kamu selepas melahirkan Tuanku. Lantas untuk selamatkan Tuanku, Mu YuCheng memberikan Tuanku XiYue pada Li JianSu untuk dijaga!" Zhou Feiyan membuka cerita.

"Yi.. FengJi.." XiYue menuturkan nama bonda Putera Kedua itu. Ini kali pertama dia tahu tentang dia yang merupakan anak angkat. Jadi dia dan XiHua cumalah.. adik beradik tiri.. atau mungkin bukan adik beradik langsung.

"Bodoh! Yi FengJi tanpa sedar telah membunuh perempuan tak berdosa! Ahaha!! Anak yang dikandung itu bukanlah anak maharaja tapi disebabkan cemburu, dia membunuhnya! Tuanku Maharaja XiYue bukanlah berdarah keturunan diraja! Tidak layak untuk takhta, ahahah!!" Zhou Feiyan ketawa. Sekali lagi dia melepaskan bom ke atas kepala XiYue.

Ahh.. Jadi dia dan XiHua sejak awal bukanlah adik beradik. Kalau dia tahu perkara ni sejak awal, tak mungkin dia akan lepaskan XiHua pergi. Malangnya, sudah terlambat. Adiknya telah berangkat bersama orang yang dia cintai. XiYue telah terlepas peluang yang dia ada.

"Aha..ahahaha!!" XiYue ketawa sambil menutup matanya dengan sebelah tangan. Air mata ditahan. Seorang pemerintah tidak boleh menunjukkan kelemahan.

"Jadi, siapa yang membunuh Li JianSu?" soal XiYue selepas itu.

"Sudah tentu Yi FengJi! Huh, sudah meringkuk dalam Istana Beku pun masih mencuba untuk mendapatkan takhta. Tapi dia tak akan berjaya tanpa bantuan patik, jadi boleh cakap yang kami adalah rakan subahat? Kalau Yi FengJi hapuskan Li JianSu untuk patik, lagi mudah kerja. Bukan begitu, Tuanku?" senyuman Zhou Feiyan makin berseri.

Tiga Dunia: The Prince and The Dancer (Completed)Where stories live. Discover now