47

442 44 28
                                    

Ru Ruo terkebil-kebil memandang ke arah lelaki yang sedang bermain seruling di taman istana. Di bawah cahaya bulan, angin yang bertiup lembut dan si cantik yang menjadi peneman. Pakej lengkap. Lelaki atau perempuan, Zhong Yi akan buat mereka semua jatuh hati.

"Haish.. Macam tu rupanya." Ru Ruo menggeleng kepalanya. Baru dia faham kenapa si suami tergila-gilakan sangat Xie Shaoye yang seorang ini.

Bunyi melodi dari seruling milik Zhong Yi meruntun hati dan jiwa sesiapa saja yang mendengarnya. Ru Ruo mengambil tempat disebelah lelaki itu. Nampaknya Zhong Yi betul-betul patah hati. Lelaki itu duduk di atas pangkin di taman istana  tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Beberapa minit kemudian, lagu yang dimainkan tamat.

Ru Ruo mengeluh sambil merenung ke arah Zhong Yi. Tangannya menongkat dagu. Terkejut Zhong Yi dibuatnya apabila dia mendengar keluhan seseorang. Toleh saja, muka Ru Ruo berada dekat dengannya. Terus Zhong Yi menjarakkan dirinya daripada Ru Ruo sebelum melihat sekeliling.

"Tak perlu la Mika lihat sekeliling. Tak ada sesiapa pada malam ini. Putera Kelima dan orang bawahannya semua sibuk dengan hal pembunuh upahan yang pecah masuk ke istana." tegur Ru Ruo.

"Pembunuh upahan?!" mata Zhong Yi membulat.

"Ah, Mika tak tahu? Putera Kelima ada pergi ke bilik Mika sebelum ni bukan? Asalnya Putera Kelima perasan akan seseorang yang keluar masuk tapi tak pernah lihat orang itu sebelum ni. Jadi Putera Kelima mahu siasat." cerita Ru Ruo.

Zhong Yi terdiam. Ada orang nak bunuh dia ke? Kenapa? Paling penting, kalau XiHua tahu kenapa dia tak cakap apa-apa tentang perkara tersebut?

"Hm..muka Mika menandakan Mika tak tahu tentang apa yang terjadi." saat itu senyuman Ru Ruo meleret.

"Jadi, biar Kita beritahu Mika." cadangnya lagi.

"Beritahu apa?" soal Zhong Yi, dalam hati dia berminat nak tahu.

"Tapi ada syarat." Ru Ruo tersengih nampak gigi.

"Syarat? Apa dia syaratnya?" gesa Zhong Yi.

"Mika perlu setuju dengan apa saja yang Kita cakap lepas ni. Boleh? Dalam erti kata lain, Mika kena ikut cakap Kita." wajah Ru Ruo penuh muslihat. Malang sekali Zhong Yi dilahirkan sebagai seorang yang tidak bernasib baik. Dia sedikit pun tidak perasan akan nada Ru Ruo yang berubah.

"Baiklah." dia bersetuju.

"Bagus. Baiklah, cerita dia begini." Ru Ruo mula duduk dengan sopan dan dia mula membuka rahsia Putera Kelima.

Pada awalnya Putera Kelima diminta membawa pulang kekasih hati yang dia sering kali berjumpa di luar istana  tetapi itu hanyalah alasan yang Putera Mahkota dan Maharani Balu cipta untuk menyelamatkannya dari hukuman. Apa pun, Maharaja Mu percaya berita tersebut dan orang di istana mula bercakap mengenainya.

Beberapa minggu kemudian, Zhong Yi dibawa masuk ke istana oleh Zhou Feiyan sebagai tetamu namun ditinggalkan di pertengahan jalan. Alasan yang diberi Zhou Feiyan adalah Zhong Yi tersesat dan mereka terpisah. Selepas itu, Zhong Yi dijatuhkan hukuman mati kerana menceroboh bilik Maharaja.

Beberapa hari selepas itu, Xie Shaoye dibawa masuk ke Istana Mingzhuo sebagai tetamu namun sebenarnya Maharaja Mu dan Putera Kelima hanya mahu melindungi Zhong Yi. Xie Luoyi yang merupakan sahabat baik Maharaja Mu sangat berterima kasih kerana anak buahnya terselamat.

"Tapi saya dah tahu tentang perkara tu." potong Zhong Yi di pertengahan cerita. Apa yang Ru Ruo beritahu semuanya apa yang Zhong Yi dah tahu, kecuali di awal permulaan cerita.

"Ish, dengar la sampai habis." marah Ru Ruo sambil memukul lengan Zhong Yi.

"Ah!" Zhong Yi menarik tangannya. Lengannya dilihat sudah lekat bekas tapak tangan yang merah. Ganas gila perempuan ni.. atau dia yang lembut sangat?

Tiga Dunia: The Prince and The Dancer (Completed)Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu