49

462 47 23
                                    

Zhong Yi mundar mandir dihadapan bilik XiHua. Fikirannya serabut. Nak masuk atau tidak? Dia yang telah termasuk ke dalam perangkap Ru Ruo sebelum ini. Bukan niatnya mahu mempalau XiHua namun perjanjiannya dengan Ru Ruo buat Zhong Yi rasa serba salah.

"Mulai sekarang, jauhkan diri dari Putera Kelima. Jangan bercakap, jangan pandang, jangan dekati pun Putera Kelima. Faham?"

Amaran Ru Ruo dengan wajah yang serius mula terimbas dalam memori. Akhirnya Zhong Yi mengeluh dan mula mengatur langkah untuk pulang ke biliknya. Tidak jadi untuk berjumpa dengan XiHua. Rindu? Sudah tentu dia ada rasa rindu namun cepat-cepat ditepis. Ini bukan masanya.

Tidak.

Dia tidak sepatutnya ada perasaan tu pun. XiHua, Putera Kelima itu sudah berkahwin. Isterinya juga sudah memberi amaran kepada Zhong Yi. Dia tidak sepatutnya meneruskan perasaan yang tidak kesampaian ini. Perasaan di sebelah pihak amat menyeksakan. Dia yang mengimpikan  sesuatu yang tak mungkin dia dapat.

Lupakan.

Lupakan adalah lebih baik.

Mulakan yang baru dengan perasaan yang sebetulnya.

Perasaan sebegitu cuma boleh diberikan pada seorang perempuan.

Baru saja Zhong Yi telah berputus asa dan mahu berlalu pergi, langkah kakinya terhenti. Satu melodi indah dari dalam bilik XiHua kedengaran. Alat muzik guzheng yang dimainkan oleh siapa saja di dalam bilik itu mampu menarik hati sesiapa saja termasuk Zhong Yi. Namun bukan itu yang membuatkan Zhong Yi terhenti sebaliknya melodi itu.

Zhong Yi kenal dengan melodi itu. Melodi yang sama dengan lagu yang dinyanyikan oleh gadis di tepi sungai. Gadis cantik dalam memorinya yang menari bersama dengan bunga-bunga di atas jambatan itu bagai terngiang-ngiang dalam mimpi. Lantas Zhong Yi menolak pintu bilik XiHua untuk dibuka dan dia masuk ke dalam.

Dari sebalik kain yang menghadang, satu bayang-bayang yang sedang menari kelihatan. Kain putih yang tergantung memisahkan antara ruang hadapan bilik dengan bilik di dalam yang lebih menjadi privasi. Lembut liuk tubuh yang menari itu dipandang oleh Zhong Yi. Walaupun cuma bayang-bayang, dia kenal dengan tarian tersebut.

Mereka gadis yang sama. Saat itu Zhong Yi teringat akan kata-kata XiHua yang mana seolah-olah dia kenal dengan gadis tersebut. Ini kerana selama ini gadis itu berada di dalam Istana Mingzhuo?! Baru saja Zhong Yi mahu menegur, bayang-bayang di sebalik kain itu hilang begitu saja dan melodi guzheng yang dimainkan terhenti.

"Zhong Yi?" tegur satu suara dari hadapan pintu.

Zhong Yi menoleh. Kelihatan Putera Kelima yang baru saja pulang ke biliknya. Lelaki bertopeng itu jelas nampak sedikit terkejut kerana baru saja masuk ke bilik, dia ternampak Zhong Yi berada di situ. Apa yang Zhong Yi buat dalam biliknya? Satu persoalan yang tidak terjawab.

"........" Zhong Yi tidak memberikan sebarang balasan. Ru Ruo tidak membenarkan dia bercakap dengan XiHua. Pandangan mata Zhong Yi juga dihala ke arah lain. Lantas dia berjalan keluar dari bilik XiHua selaju yang mungkin.

XiHua terdiam. Dia hanya melihat kelibat lelaki itu menjauh sebelum hilang dari pandangan. Selepas Zhong Yi pergi, dari sebalik kain yang menjadi penghadang itu keluar seseorang.

"Dia dah pergi?" soalnya.

XiHua mengangguk. "Maaf, sebab tiba-tiba saja minta tolong Mika buat macam ni."

"Kenapa tak mahu beritahu dia?" soalnya lagi.

"Belum. Belum masanya. Perkara ni rumit. Apa pun, terima kasih. Tak sangka pula dia akan masuk secara tiba-tiba." XiHua mengeluh.

"Ehehe.. Tak mengapa. Kalau Mika perlukan pertolongan Kita, Kita sangat gembira." balasnya.

Sesaat kemudian, kelibat orang yang bercakap dengan XiHua itu bertukar dan akhirnya kembali menjadi rupa asalnya. Sekuntum bunga berwarna merah terang. Bunga mawar. DiHou YiFan kemudiannya muncul secara tiba-tiba selepas menghilang. Dia mengeluh.

"XiHua!!"

XiHua terkebil-kebil memandang lelaki itu.

"Lain kali jangan buat macam tu lagi! Terkejut Kita bila XiHua panggil Kita dengan panggilan kecemasan!" marah YiFan.

XiHua tersengih. "Tapi.. Tu kecemasan?"

"Haish.. Anak bertuah." YiFan mengeluh sambil menggelengkan kepalanya.

Sedang sibuk dia bermain alat muzik quzheng itu, siapa sangka Zhong Yi akan menerjah masuk? Masalah betul kalau tak kunci pintu bilik ni. "Lain kali, kunci pintu kalau nak buat benda macam ni." tegur YiFan.

"Baik." XiHua memberikan tabik hormat macam askar.

YiFan menggeleng kepala. Langsung dia tak sangka akan kuasanya yang telah dibazirkan untuk menipu seorang manusia. Apakah? Kalau Dewa Fu Hann Li tahu tentu dia akan diketawakan. Dewa Pengadilan macam dia, telah gunakan kuasa untuk menipu. Walaupun kuasa yang digunakan hanyalah untuk tipu muslihat yang kecil dan memerlukan dia hanya memetik jari, YiFan masih rasa malu.

Sesaat kemudian, magik yang digunakan oleh YiFan terbatal dengan sendirinya apabila masa yang digunakan telah tamat. XiHua yang kelihatan seperti seorang Putera itu mula bertukar menjadi orang lain. Rupa mereka tidak banyak berubah. Masih cantik, elok lagi sempurna. Cumanya bentuk tubuh badan mereka mengalami perubahan yang besar.

Baju yang XiHua pakai kembali kepada asalnya. Baju satin putih yang lembut. Rambut panjang berwarna silver terlepas dan beralun lembut. Bibirnya yang merah nampak kontra pada kulit putih miliknya. Anak mata berwarna perak merenung wajah YiFan. "Terima kasih." ujar XiHua. Nada suaranya sangat lembut dan lunak.

Suara yang seringkali menyanyi lagu dalam mimpi Zhong Yi. Gadis di tepi jambatan.

"Antara Kita dan XiHua, tak perlu ucap terima kasih. Mika adalah anak Kita. Kita masih menunggu, saat bila mana Mika panggil Kita ayahanda." YiFan tersenyum sebelum mengusap pipi XiHua.

XiHua hanya tersenyum hambar. Tangannya menyentuh loket rantai yang dipakai olehnya. Rantai yang sekalipun tidak pernah dibuka olehnya. Rantai yang membolehkan dia bertukar rupa dari seorang perempuan kepada seorang lelaki. Hadiah dari bonda tercinta, hanya untuk melindungi si anak.

Semata-mata tidak mahu Dewa Laut Hitam menemukan XiHua, Dewi Bunga telah menggunakan kuasa terakhirnya untuk membentuk satu loket rantai yang membolehkan XiHua menukar jantinanya. Itu adalah menurut apa yang DiHou YiFan beritahu XiHua. Dia yang asalnya dihidupkan semula di dalam tubuh anak Dewi Bunga.

Perlukah dia rasa bertuah? Dia yang asal manusia biasa, mati dilanggar kenderaan. Dia yang diberi peluang untuk dilahirkan semula ke dalam badan Mu XiHua. Tapi semuanya kelihatan terlalu bertuah untuk dirinya.

"Semua ini hanyalah pinjaman. Sampai satu masa, aku akan tuntut bayaran daripada kau."

Saat itu, kata-kata lelaki serba hitam yang telah membawanya ke mari terngiang-ngiang. Lelaki bersayap hitam yang sering kali tidur di atas dahan pokok. Siapa agaknya dia? Sampai kini XiHua masih belum dapat memastikan identiti lelaki tersebut. Namun XiHua pasti dia bukan manusia. Mungkin dia sama seperti DiHou YiFan. Seorang dewa.

.
.
.
.
.
.
.
.

**********************************

**********************************

Ups! Gambar ini tidak mengikuti Pedoman Konten kami. Untuk melanjutkan publikasi, hapuslah gambar ini atau unggah gambar lain.









Tiga Dunia: The Prince and The Dancer (Completed)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang