23

539 45 20
                                    

Li JianSu tahu apa yang ada dalam fikiran anaknya itu namun dia sengaja buat tak faham. Walau apa pun yang berlaku, dia akan bawa rahsia tersebut sampai ke dalam kubur. Dia tak akan benarkan XiHua menghancurkan impiannya hanya kerana XiHua adalah anaknya.

Walaupun XiHua dikatakan anak kesayangan, tapi anak kesayangannya itu kini tidak lagi membawa tuah kepadanya seperti sebelum ini. Dia bisu dan seorang yang hodoh. Walaupun Li JianSu kecewa dengan apa yang berlaku, dia tahu dia perlu beri muka pada XiHua.

Kalau sesuatu berlaku pun, dia masih punya XiYue, anaknya yang seorang lagi. Walaupun XiYue bukan anak kandung Li JianSu, tetapi dia telah menjaga Putera Ketiga itu sejak bayi lagi. Ibu kandung XiYue adalah salah seorang gundik istana namun telah meninggal dunia selepas melahirkan XiYue.

Maharaja yang kasihan dengan bayi itu telah mengeluarkan titah supaya Li JianSu menjadi bondanya. Sejak itu, XiYue sentiasa dianggap sebagai anak kepada Li JianSu. Tidak ada seorang pun yang berani bercakap tentang perkara sebenar. Mereka takut Maharaja akan mungkar.

XiYue juga kini merupakan Putera Mahkota. Seorang yang bakal menjadi Maharaja satu hari nanti. Li JianSu pula saat itu akan menjadi Maharani Balu yang paling berkuasa. Dia akan menjadi orang paling berkuasa. Jadi dia tak akan benarkan XiHua menghalang impiannya. Walau XiHua dikatakan sebagai anaknya sekalipun.

Li JianSu sudah penat hidup susah. Sekali dia merasa manisnya kesenangan dan nikmatnya kuasa dalam tangan, dia akan mengejar pangkat tersebut. Biar dia hangus terbakar dalam perjuangannya sekali pun, Li JianSu tak akan menyesal. Dia telah pun menyelam dengan terlalu dalam kini.

"Hua Er, jangan ingat kamu boleh cabar Bonda!" Li JianSu memberi amaran.

Namun melihat gaya XiHua yang tidak mahu mengalah, Li JianSu mendengus kasar. Dia berpaling dari melihat wajah anaknya yang bertopeng itu. Sungguh tidak mengasyikkan pandangan mata! Dia benar-benar rasa tersinggung dengan sikap XiHua yang keras kepala.

"Sekali lagi bonda beri amaran. XiHua, jangan cabar bonda. Ru Ruo adalah isteri kamu. Dia akan kekal sebagai isteri kamu dan kamu perlu layan dia dengan baik. Bonda tak peduli sama ada kamu suka atau tidak." sambung Li JianSu lagi selepas anaknya hanya diam.

Mata XiHua dari sebalik topeng wajah itu semakin bertukar gelap anak matanya. Dia memandang permaisuri di hadapannya yang langsung tidak sedar diri. Setelah lama dia berada di istana, XiHua kini cukup faham dengan permainan yang sering dimainkan. Semuanya demi pangkat dan kuasa.

Palsu. Tak ada yang benar dalam istana tersebut. Penipuan semata-mata.

Dia bangun dan melangkah keluar dari kediaman permaisuri. Sedikit pun dia langsung tak toleh. Biarkan. Kalau Li JianSu fikir dia tak boleh cabar, XiHua nak lihat apa yang permaisuri tu akan lakukan selepas ini. XiHua nak lihat sejauh mata dia boleh capai langit.

Kakinya melangkah keluar dari istana. Geraknya sangat pantas dan licik. Pengawal yang menjaga kawasan sekitar istana sedikit pun tak menyedari tentang Putera Kelima yang kini telah menyelinap keluar.

XiHua menukar pakaian biasa. Topeng wajahnya ditukar dengan topeng baru yang dia beli di bandar. Topeng tersebut berwarna putih dan menutup hanya separuh wajahnya. Bibirnya yang merah dan penuh dapat dilihat tersenyum di hadapan cermin. Kain balutan yang membalut wajahnya kini telah dibuang.

Setelah berpuas hati dengan penampilan sendiri, XiHua keluar dari kedai pakaian tersebut. Kini sesiapa pun tak mungkin dapat agak tentang dirinya yang merupakan Putera Kelima. Lagipun semua tahu tentang Putera Kelima yang bisu dan hodoh. XiHua yang sekarang merupakan seorang yang berlainan.

Dia berjalan di sekitar bandar. XiHua tak mahu balik ke Istana Mingzhuo. Biar permaisuri tu tahu, dia juga boleh hidup sendiri dan elok saja tanpa perlindungan sesiapa. Dia juga tak perlukan 'isteri' yang hanya pada atas nama. Mereka berkahwin bukan kerana perasaan cinta. Hanya untuk manfaat bersama.

Tiga Dunia: The Prince and The Dancer (Completed)Where stories live. Discover now