Bab 22 : Hancur Hati

25.5K 1.2K 107
                                    

Pagi itu Hana masuk ke pejabat dengan begitu bersemangat sekali. Hari ini genap lapan bulan dia bergelar seorang pelatih. Sudah bermacam-macam rintangan dan cabaran dilaluinya sepanjang bergelar pelatih ini. Pernah dia dimarahi sungguh-sungguh oleh hakim ketika di mahkamah kerana kesilapan yang dilakukannya, tetapi Hana mengambil itu sebagai pengajaran dan dia belajar dari kesilapan sendiri. Dimarahi Affendy, master-nya itu juga sudah terlalu biasa tetapi dia dimarahi kerana salah sendiri juga. Affendy memang jenis tidak beri muka. Kalau Hana buat salah, memang dia akan kena.

Kelmarin dia sudah selesai menghadiri kursus terakhirnya sebagai pelatih. Peperiksaan yang perlu diambil juga sudah diselesaikan. Kini dia hanya perlu menghabiskan sisa-sisa harinya sebagai pelatih di firma ini. Selepas tamat latihan, Hana nekad mahu membawa diri mencari kerja di firma lain. Dia harus pergi sebelum lebih banyak hati yang terluka.

"Hana! Yuhuuu!"

Faezah yang baru sahaja lalu di hadapan kubikel Hana melambaikan tangannya untuk menarik perhatian Hana yang sedang ralit melihat skrin komputer. Hana berhenti menaip sesuatu dan menumpukan perhatian pada Faezah yang seawal pagi lagi sudah menempek di kubikelnya. Mentang-mentanglah master dia tak masuk kerja lagi.

"Apaan siihhhh...." ujar Hana dengan Bahasa Indonesia yang dibuat-buat. Jika dengan Faezah dia suka mengusik cara begitu kerana pernah satu hari dia pernah ternampak Faezah melayan sinetron Indonesia ketika waktu rehat. Paling tak boleh menahan, sampai menangis-nangis!

"Eeee tak habis-habis tau!" ujar Faezah geram. Hana ketawa perlahan sambil memandang komputernya kembali. Kalau Faezah datang sekadar mahu bergosip, dia tidak mahu melayan. "Dengarlah sini, aku nak cakap something!"

"Laa, cakap jelah. Dengar pakai telinga bukan pakai mata!" Hana berkata selamba sambil menaip semula.

"Kau tahu kan kita ni dah nak habis chambering dah?" tanya Faezah sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Hana.

"Tahulah."

"Dah fikir dah kita nak buat makan-makan dekat mana?"

Pertanyaan Faezah yang itu berjaya membuatnya berhenti memandang komputer. Sungguh dia terlupa akan hal itu. Sudah menjadi tradisi untuk pelatih membuat majlis makan-makan selepas tamat latihan dalam kamar untuk semua orang di pejabat itu, bukan untuk master sahaja. Dia ada dengar juga daripada senior-seniornya yang majlis makan-makan itu perlu dibuat dan dibiayai sepenuhnya oleh pelatih-pelatih, melainkan master sendiri yang menawarkan diri untuk membelanja majlis itu.

"Kita order makan-makan dekat pejabat jelah!" ucap Hana senang. Apa yang susah, order makanan dari katering je kan senang?

"Eee, apa kelas!" ujar Faezah sambil membuat muka jelik. "Come on la... takkan chambie Tuan Syed nak belanja makan kat pejabat je? Malulah beb!"

Hana menjulingkan matanya. "Biarlah, aku yang kena bayar nanti, bukannya bos! Firma ni ada lebih kurang 15 orang pekerja macam tu... kita order-lah makanan untuk 25 orang. Habis cerita!"

"Tak naklah aku! Malulah beb buat makan-makan kat pejabat je. Macam sengkek tahu tak!"

"Memang sengkek pun kan!" jawab Hana selamba. Betullah tu... elaun sebagai pelatih berapalah sangat yang mereka dapat. Memanglah membuat latihan dalam kamar di firma Affendy dan Hairi mendapat elaun lebih sedikit daripada tempat lain, tetapi elaun sebagai pelatih memang standard begitu sahaja. Tidak sampai RM1500 pun sebulan yang mereka dapat. Di tempat lain, RM1000 pun belum tentu boleh dapat!

"Kita buat kat hotellah, Hana!"

Mata Hana membulat. Hotel? "Gilalah kau!"

"Kau ingat aku main-main ke? Aku dah survey satu hotel terkenal ni. Harga makan malam satu kepala RM108 je beb! Kalau cukup 15 pax, hotel tu boleh sediakan satu dewan kecil untuk kita je. Tak payah berkongsi dewan buffet dengan orang lain!" terang Faezah bersungguh-sungguh seperti tidak ada apa-apa, sedangkan Hana sudah separuh mati mendengar harga itu.

Cinta Jangan Pergi ☑Where stories live. Discover now