Bab 19 : Goodbye, Hana Dahlia.

27.8K 1.3K 122
                                    

Hana menggelengkan kepala melihat keadaan pantri yang agak bersepah ditinggalkan oleh rakan-rakan pejabatnya. Sinki penuh dengan pinggan mangkuk dan sudu garfu yang digunakan untuk makan kek tadi. Kotak kek yang sudah kosong dibiarkan sahaja di atas meja tanpa dikemaskan. Ada juga yang meninggalkan cawan yang digunakan untuk minum tanpa mempunyai kesedaran untuk membasuhnya sendiri.

Masing-masing dah besar, tapi perangai macam budak kecik! Lepas dah makan tu basuhlah sendiri!!!

Hana membebel-bebel di dalam hatinya. Semua orang sudah pulang dan hanya tinggal dia sahaja di situ untuk mengemas. Pandai betul... lepas dah kenyang makan, pakat tinggal je semua! Rasa menyesal pula kerana tidak membeli set makan pakai buang sahaja sebelum ke pejabat. Tak perlulah bersusah payah nak membasuh  pinggan  pula lepas makan. Terus buang je!

Jam di tangan dipandang. Baru pukul 5.30 petang. Sempat lagi jika dia mahu mengemas. Tidak mahu membuang masa lagi, Hana pantas menyinsing lengan blaus merah jambunya. Jam dan gelang tangan  dibuka dan diletakkan di tepi sinki. Rambut panjangnya diikat tinggi agar nanti tidak terkena air basuhan pinggan. Paip dibuka dan air dibiarkan mengalir perlahan membasahi pinggan-pinggan di dalam sinki itu. Dengan penuh hati-hati, Hana mula menyuci pinggan-pinggan kotor di dalam sinki itu agar tidak ada kesan kotor terpalit pada baju barunya.

Apalah nasib birthday girl sendiri yang kena cuci pinggan.... Kalau macam ni gayanya, baik aku tak payah sambut hari jadi!

Tengahari tadi ketika sedang menjamu selera, Anne terpaksa meninggalkan Hana lebih awal daripada apa yang dirancang. Walaupun dia sepatutnya cuti pada hari ini, tiba-tiba sahaja Anne mendapat panggilan kerja yang tidak dapat dielakkan. Jadi Hana menyuruh sahaja Anne pergi tanpa perlu menemaninya. Sebab itulah sekarang dia terpaksa mengemas sendirian sahaja.

Yelah, monster jadian tu nanti menyinga pula bila tengok keadaan pantri yang bersepah macam ni. Silap haribulan, aku kena jadi makcik cleaner pulak!

"Mana yang lain?"

Terus terlepas cawan yang sedang dicucinya ke dalam sinki apabila mendengar suara garau itu di belakangnya. Hana kenal suara itu. Suara Affendy.

Perlahan-lahan Hana berpaling ke belakang. Tepat jangkaannya, Affendy sedang berdiri di muka pintu ruang makan itu sambil memandangnya. Buat seketika, mereka hanya berpandangan sesama sendiri tanpa sebutir bicara.

"Diorang dah... dah balik," jawab Hana perlahan setelah lama berdiam diri.

Affendy melangkah ke arah sinki di sebelah Hana. Butang lengan baju kemejanya dibuka lalu disinsing ke paras siku. Kemudian tanpa banyak soal dia membuka paip air lalu membilas bersih pinggan mangkuk yang telah dicuci oleh Hana.

"Sambunglah basuh... abang tolong awak bilas," ujar Affendy apabila melihat Hana terpaku sahaja melihatnya.

Hana yang baru tersedar cepat-cepat mematikan pandangannya terhadap Affendy. Kerja mencuci diteruskan tanpa sebarang bicara. Selesai sahaja mencuci kesemua pinggan mangkuk, Hana beralih pula ke arah meja makan untuk mengemas kotak kek yang sudah kosong sementara Affendy masih lagi menyelesaikan bilasannya. Kotak Secret Recipe itu dilipat lalu dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam. Kemudian dia mengambil kain buruk dan mengelap meja yang berlekit terkena krim kek.

"Tak ada simpan kek untuk abang?" tanya Affendy tiba-tiba selepas dia selesai membilas bersih kesemua pinggan mangkuk tadi.

Hana berhenti mengelap meja lalu memandang ke arah Affendy dengan wajah yang serba-salah. "Saya tak tahu abang nak makan kek tu... saya tak simpan langsung." Kemudian dia menjeling Affendy dalam diam. "Tadi cakap birthday aku tak penting, tapi kek nak pulak makan...." gumam Hana perlahan sahaja.

Cinta Jangan Pergi ☑Where stories live. Discover now