Bab 7 : Jumpa Esok

27.7K 1.3K 36
                                    

SEBAIK sahaja Hana sampai di tingkat bawah pejabat itu, dia ternampak Range Rover milik Affendy meluncur laju meninggalkan kawasan pejabat. Hana terasa seperti ingin menangis sahaja saat itu. Langit masih hujan lebat, dan dia ditinggalkan bersendirian sahaja di situ. Sudahlah dia tidak mempunyai telefon bimbit, jadi bagaimana dia hendak menelefon orang lain jika perlu?

Untuk sampai ke rumahnya, Hana perlu menaiki bas ke stesyen LRT dan turun di perhentian Pasar Seni. Kemudian dia perlu menaiki bas sekali lagi untuk ke rumahnya pula.

Dalam terpaksa, Hana berlari juga ke perhentian bas yang terdekat. Habis basah kuyup bajunya terkena air hujan. Sampai sahaja di perhentian bas itu, Hana terus duduk di atas bangku di bahagian hujung sekali. Di situ hanya ada dia dan sekumpulan lelaki yang sedang duduk di bahagian hujung satu lagi.

Hana pantas mengibas-ngibas baju kemeja putihnya agar tidak melekat pada badan, lebih-lebih lagi apabila sekumpulan lelaki itu sudah mula membuat bunyi-bunyi mengusik. Walaupun dia ada memakai singlet di bahagian dalam kemeja itu, tetapi kemejanya yang sudah basah masih lagi melekat pada tubuhnya. Hana beriak seperti tidak takut dengan usikan-usikan lelaki-lelaki itu, sedangkan dalam hatinya terasa bagaikan hendak tercabut.

Cepatlah bas datang... cepatlah bas datang...!

"Tengah tunggu bas ke, wak...." tanya salah seorang lelaki itu kepada Hana.

Eh, taklah. Tengah tunggu kereta kuda! Tetapi kata-kata itu hanya keluar di hatinya sedangkan mulutnya terkunci.

"Kitorang ada motor, boleh tumpangkan awak balik kalau nak," ujar lelaki itu lelaki tanpa rasa malu. Dia dan kawan-kawannya juga sudah berani mendekati Hana dan berdiri di sekeliling gadis itu.

Hana semakin gementar tetapi dia cuba menenangkan dirinya. "Tak apalah, terima kasih. Saya tengah tunggu suami...." Hana berbohong dengan harapan tiga orang lelaki itu tidak berminat dengan statusnya sebagai 'isteri orang'.

"Ooo... tunggu suami." Lelaki itu berkata sinis. "Entah-entah suami awak lupa awak tak. Ala, biar je dia. Kitorang pun boleh jadi suami awak malam ni."

Hana sudah seram sejuk mendengar ayat lelaki itu. Perlahan-lahan dia bangun dan ingin cuba menjauhi mereka bertiga tetapi dia sudah dikepung.

"Tepi sikitlah, saya nak lalu." Hana berkata tegas.

"Amboi garangnya! Jangan sombong sangat... nanti menyesal." Lelaki itu tersenyum sinis. Dia cuba memegang tangan Hana tetapi Hana pantas menepis.

"Jangan kacau saya, kalau tak saya telefon polis!"

"Telefonlah, telefon! Aku nak tengok sikit kau telefon polis! Sebelum kau sempat telefon polis, aku rogol kau!" tengking salah seorang lelaki lain dengan kuat.

Hana terkejut mendengar ayat lelaki itu yang berbaur ugutan. Dia memejamkan matanya dan berdoa di dalam hati agar Allah memberinya pertolongan saat ini. Air matanya menitis kerana terlalu takut dengan situasi yang dialaminya sekarang ini.

Bagaimana jika dia betul-betul diperlakukan seperti itu? Nauzubillahminzalik! Membaca kisah-kisah seperti itu pun sudah membuatkan Hana takut. Apalagi ingin membayangkan dia diperkosa, dibunuh, dan mayatnya dicampak sahaja entah ke mana!

"Apa benda yang korang tengah buat ni?" Satu suara yang amat dikenali Hana berbunyi membuatkan Hana pantas mencari pemilik suara itu di belakang lelaki-lelaki yang sedang mengepungnya.

Affendy!

"Alah bro, tak payah nak tunjuk herolah! Kalau kau nak pakai jugak, kita boleh gilir-gilir. Amacam? Syok bro dapat barang baik ni!" ujar lelaki itu kemudian ketawa sakan.

Cinta Jangan Pergi ☑Onde histórias criam vida. Descubra agora