Bab 11 : A Part of Me

28.1K 1.3K 88
                                    

AFFENDY terjaga dari tidurnya secara tiba-tiba sambil termengah-mengah. Entah apalah yang dimimpikannya sehingga tercungap-cungap sampai begini sekali. Affendy melihat jam di sisi katil. Baru pukul 3.30 pagi.

Serta-merta dia terfikirkan Hana. Dah balik ke dia? Atau masih kat pejabat lagi? Ah... mestilah dah balik. Takkanlah dia buat kerja gila nak tidur di pejabat pulak!

Affendy mengeluh lemah. Baru sekarang dia terasa bersalah kerana terlalu berkasar dengan Hana siang tadi. Memanglah Hana salah kerana tidak fokus dalam kerjanya, tetapi Affendy tetap rasa bersalah kerana terlampau mengikutkan perasaan.

Sudahlah dia kalah di mahkamah, kemudian Anne pula mengganggunya sehingga membuatkan dia runsing. Tiba-tiba bila dia balik ke pejabat, Hana pula buat masalah. Memang mengamuk sakanlah dia melepaskan segala kemarahannya terhadap Hana.

Affendy mencapai telefon bimbitnya lalu mencari nombor security guard di dalam bahagian contact. Kemudian nombor itu didail.

"Hello security...."

"Syed bercakap. Siapa bertugas malam ni?" tanya Affendy terus tanpa berselindung.

"Oh, bos!" ujar lelaki di hujung talian seperti terkejut. "Rahmat dengan Malik, bos. Saya Rahmat."

"Rahmat, aku nak kau check siapa yang terakhir sekali punch card waktu balik." Affendy memberi arahan.

"Okey, bos. Kejap ya...." ujar Rahmat sebelum talian di hujung sana senyap sekejap. "Encik Kumar bos. Pukul 8.30 malam."

Affendy terdiam. Bukan Hana. Tidak mungkin Hana pulang lebih awal daripada Kumar sedangkan kerja yang perlu diselesaikannya bertimbun-timbun.

"Cuba check card Cik Hana, intern baru tu. Dia dah punch card ke belum."

Sekali lagi talian di hujung sana senyap. Mungkin Rahmat sedang mencari kad Hana.

"Belum bos!" ujar Rahmat seperti terkejut. "Dia terlupa punch card kot bos?"

Boleh jadi juga. Tapi hati Affendy rasa tak tenang pula tiba-tiba. Dia terus memutuskan talian dengan Rahmat lalu pantas mendail nombor Hana.

Kali pertama, tidak berjawab.

Kali kedua, pun tidak berjawab.

Kali ketiga apabila talian masih tidak berjawab, Affendy terus bangun dari katil dan melangkah ke almarinya. Seluar tidur ditukar dengan seluar jeans dengan pantas. Baju t-shirt putih yang dipakainya dibiarkan tidak bersalin. Jaket kulit warna hitam dicapai dan disarungkan ke tubuh. Dengan pantas Affendy menyambar kunci kereta dan beg dompetnya lalu terus keluar dari rumah.

Aku harap kau dah balik, Hana. Please.

***

SAMPAI sahaja di pejabat, Affendy terus memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan pintu utama. Keluar sahaja dari kereta, dia terus berlari mendapatkan lif.

"Eh, bos! Buat apa kat sini pagi-pagi  buta?"

Rahmat yang menegurnya di hadapan tadi pun tidak dihiraukan. Sebaik sahaja lif sampai ke atas, Affendy pantas keluar dari situ.

Kod password pada pintu pejabat ditekan dengan cepat. Apabila pintu sudah terbuka, dia masuk dan matanya seperti helang memandang keliling ruang pejabat. Lampu masih terang benderang, tetapi kelibat Hana tidak kelihatan di situ.

"Hana!" panggil Affendy agak kuat. Tiada siapa yang menyahut. Dia melangkah ke bahagian pantry pula. Kosong. "Hana...!" panggilnya lagi sambil melangkah ke arah bilik air. Juga tiada sahutan.

Cinta Jangan Pergi ☑Where stories live. Discover now