Bab 17

45.3K 777 140
                                    

Yusuf mengunci kembali pintu perlahan-lahan sambil menjengketkan kakinya ketika melihat Zaliya tertidur pulas di atas sofa. Sebelah tangannya melapik kepalanya, manakala satu lagi tangannya diletak pada perutnya yang memboyot. Zaliya kelihatan sangat rapuh dan menyedihkan ketika itu. Wajahnya yang sedikit pucat dan cengkung mencairkan sedikit ais yang membeku di dalam hati sang jejaka.

Yusuf tahu sekarang Zaliya menganggap dia lelaki jahat. Dia tidak menyalahkan Zaliya sekiranya itu yang difikirkan Zaliya, malahan dia sendiri turut merasakan apa yang pernah dia lakukan terhadap Zaliya agak melampaui batas.

Lelaki jahat. Lelaki yang bertindak sesuka hati dan mengambil sesuatu yang bukan haknya dengan paksaan. Hasilnya ialah masalah yang dia dan Zaliya hadapi sekarang. Telah tercambah satu benih yang tidak diundang. Benih yang dia bajai kini subur mekar di dalam tubuh Zaliya. Yusuf mengeluh berat lalu meraup wajahnya.

Pandangan Yusuf kini kaku merenung Zaliya. Saat mata bundar itu terbuka lalu menatap ke dalam mata Yusuf, kedua mereka hanya bungkam, masing-masing kaget dengan situasi tersebut.

"Awak er..dah balik?" soal Zaliya perlahan sambil berdehem beberapa kali.

Suaranya sedikit serak, badannya  terasa sangat lesu dan kepalanya mula terasa berdenyut-denyut. Meskipun keinginginanya untuk terus tidur sangat kuat, Zaliya tetap gagahkan dirinya untuk bangun ketika melihat Yusuf kini sudah kembali. Sebagai tetamu, dia tidak mahu dianggap tidak sopan kerana terbaring sahaja ketika tuan rumah ada disebelahnya.

Simpati melihat keadaan Zaliya yang bersusah payah mengangkat tubuhnya, Yusuf memegang bahu Zaliya, "kalau tak larat kau tidur dulu. Nanti dah okay, bangun makan."

Zaliya yang ketika itu sedang duduk menyandar di sofa hanya  menggelengkan sedikit kepalanya. Dia cuba untuk senyum, tanda berterima kasih atas kebaikan yang ditunjukkan oleh Yusuf, tetapi raut wajahnya tidak mampu menipu. Tiada senyuman yang mampu dia hadiahkan buat lelaki itu. Yang dapat dia lakukan hanyalah menahan dirinya dari berterus-terusan mengeluh.

"Takpe..saya nak mandi," ujar Zaliya sambil dia mencari-cari beg pakaiannya yang tadi diletakkan di sebelah sofa.

"Aku dah letak dalam bilik barang-barang kau," ujar Yusuf ketika melihat Zaliya tercari-cari beg pakaian miliknya.

Ketika itu Zaliya sedikit berwaspada, "bilik?!" sambil bingkas memandang Yusuf.

"Sana, tu bilik kau" bersalah melihat tingkah laku Zaliya, Yusuf terus menunjukkan ke arah bilik yang disediakan untuk Zaliya di sebelah kirinya. Dia tahu Zaliya masih takut-takut dengan dia.

"Bilik tu..," ketika itu Zaliya sedikit teragak-agak.  Terus mati kata. Hatinya sedikit cemas, namun dia berlagak tenang.

"Itu bilik kau. Bilik aku kat sebelah sana," seakan memahami apa yang ada dalam fikiran Zaliya, Yusuf mengarahkan jarinya ke arah kanan ruang tamu.

Ketika itu Zaliya mengeluh lega.

Meskipun kini dia hanya menumpang Yusuf untuk tempoh yang dia sendiri tidak tahu berapa lama, sekurang-kurangnya buat sementara ini dia mempunyai ruang peribadinya sendiri. Hatinya tidak henti-henti memanjat kesyukuran kepada Tuhan yang maha Esa yang telah melorongkannya ke jalan keluar dari kebuntuan yang seakan tidak akan berpenghujung sebelum ini. Meskipun jalan keluar itu melibatkan seorang insan yang pernah menghancurkan hidupnya, Zaliya tahu dia tiada pilihan lain. Untuk sementara waktu, Zaliya tekan dalam-dalam pedih luka, rasa benci, rasa dendam dan amarah di dalam hatinya terhadap perbuatan lelaki itu. Yang dia fikirkan kini hanyalah untuk melindungi bayi di dalam kandungannya. Perasaannya kini tidak penting. Yang lebih penting baginya ialah nyawa yang sedang dia kandung.

********

Yusuf sudah mengetuk pintu beberapa kali namun langsung tiada respon dari Zaliya. Tangannya menggenggam tombol pintu bilik itu lalu dipulas sedikit.

Dendam BerahiWhere stories live. Discover now