Bab 28

26.7K 487 101
                                    

"Yusuf Iskandar, papa nak tanya something."

Yusuf Iskandar? Yusuf mengangkat sedikit kening. Jarang bapanya akan memanggilnya dengan nama penuh seperti itu. Dia mula tidak senang duduk. Renungan mata dan suara yang serius itu sedikit sebanyak membuat Yusuf semakin berteka-teki dengan tujuan sebenar dia dipanggil pulang ke rumah dengan tergesa-gesa.

Dengan suara yang begitu serius dan penuh rahsia ketika ibunya bercakap dengannya melalui panggilan telefon pagi tadi, telahan Yusuf; mungkin salah seorang dari mereka kurang sihat. Melihat kedua-dua ibu dan bapanya di hadapannya kini sihat walafiat sahaja, Yusuf tahu pasti ada masalah lain yang mungkin berkaitan dengannya. Apakah berkaitan Zaliya?

Jantung Yusuf semakin berdebar memikirkan kemungkinan itu.

"Ye papa.." jawab Yusuf perlahan lalu merendahkan sedikit pandangannya, tidak tahan terus ditatap dengan tajam.

"Duduk dulu.." sampuk ibunya apabila melihat Yusuf masih berdiri membantu di sebelah sofa.

Tanpa banyak soal, Yusuf terus duduk di atas sofa yang bertentangan dengan kedua-dua pasangan suami isteri itu.

"Is kenal Delima?" soal bapanya tanpa berselindung.

Yusuf hampir terlompat dari sofa yang sedang didudukinya.

Yusuf tersentak. Bagaimana kedua orang tuanya mengenali Delima? Setahu Yusuf, dia tidak pernah menceritakan perihal Delima kepada orang tuanya. Untuk memperkenalkan, apatah lagi.

"Err.. macam mana papa kenal Delima?"

"Dia datang rumah pagi tadi.."

Yusuf terperanjat dengan maklumat itu. Setahu dia, tidak pernah sesekali dia membawa teman wanitanya ke rumah ini, dan dia tidak pernah memberitahu alamat rumah ini kepada sesiapa. Mungkin dia pernah menyebut bahawa rumah ibu bapanya terletak di Bukit Ampang, itu sahaja.

"Tapi.. Is tak pernah bagitahu sesiapa alamat rumah kita."

"Mama tak tahu macam mana dia tahu, tapi bukan itu soalnya sekarang," sambung ibunya.

Ternyata, perempuan memang menakutkan, getus hati Yusuf.

Dia tidak menyangka bahawa Dahlia, gadis yang berpenampilan elegan dan terhormat seperti itu akan menjadi seobses itu terhadapnya. Tidak ubah seperti gadis-gadis lain yang tergila-gilakannya. Dahi Yusuf berkerut menahan rasa.

"Ada sebab kenapa mama panggil Is balik pagi tadi," kali ini ibunya pula yang bersuara, juga dengan nada yang serius.

"Apa hubungan Is dengan dia?" soal wanita itu kembali.

"Takde apa, ma.."

Renungan tajam Puan Roslina penuh tuduhan membuat Yusuf mengalah. Yusuf mengeluh perlahan, "dulu Is pernah keluar dengan dia, tapi sekarang dah takde apa-apa.." 

"Is.. mama nak tanya something, tapi Is tolong jujur," kali ini nada ibunya sedikit rendah, tetapi masih serius di pendengaran Yusuf.

"Sejauh mana hubungan Is dengan dia dulu?" 

Gerak hati Yusuf mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan soalan itu.

"Apa maksud mama?"

"Papa yakin Is faham maksud mama.." kali ini bapanya pula bersuara. Nada lelaki separuh baya itu rendah dan serius, seolah-olah sedang menahan sabar.

Yusuf telan liur yang terasa pahit.

"Takde apa, papa.. mama... betul!"

"Is jangan tipu papa dengan mama," kali ini suara bapanya sedikit meninggi.

Dendam BerahiWhere stories live. Discover now