Bab 8

84.6K 676 80
                                    


"Kau jangan nak takut sangat, aku tak usik kau pun malam ni. Aku penat ni."

Wajah Zaliya yang tadinya tegang kini sedikit lega setelah Yusuf menghilangan diri ke dalam bilik air bilik tamu di tingkat bawah. Dia bukan apa, hanya terkejut ketika Yusuf yang dari tadi menghadap laptopnya tiba-tiba berdiri dan menanggalkan baju. Sangkanya mahu berbuat yang bukan-bukan.

Wajah tegang Yusuf diperhatikan sekilas lalu dia berlalu dari situ. Sesudah Yusuf membersihkan dirinya, lelaki itu hanya terbaring di sofa sambil memejamkan matanya.

Yusuf mengeluh berat. Hari ini moodnya tersangat buruk, beberapa kali dia hampir menumbuk dinding kerana kekecewaan. Malahan ketika dia sudah pulang pun, ingatannya mengenai kejadian siang tadi masih tidak dilupakannya. Dia tidak menyangka dia akan terserempak dengan seseorang yang sangat dikenalinya.

Julia.

Bekas kekasihnya ketika di universiti. Kekasihnya yang berasal dari Malaysia ketika mereka sama-sama belajar di Adelaide University. Ketika cinta sedang bertandang dalam hati, bulan dan bintang terasa seolah-olah miliknya. Namun siapa sangka rupanya hujan di tengah hari. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba Julia menghilangan diri, ketika dia sedang mabuk cinta. Berita yang didapati dari rakan-rakan mereka, Julia sudah kembali ke Malaysia. Ketika itu hatinya remuk redam. Itu kali pertama dia jatuh cinta, dan kali pertama juga dia dikecewakan.

Apabila keluarganya merancang berpindah ke Malaysia, dialah manusia yang paling teruja, kerana niatnya mahu mencari Julia. Meskipun mereka sekeluarga sudah bermastautin di Australia sejak dia kecil, langsung tiada perasaan teragak-agak buatnya untuk kembali menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Ketika itu yang dimahukannya adalah jawapan, dan kalau boleh supaya Julia kembali ke sisinya. Namun jangkaannya meleset apabila setibanya di Malaysia, dia mendapati Julia telah berkahwin sesudah kembali ke Malaysia. Berita perkahwinan gilang-gemilang anak lelaki tunggal kepada seorang ahli politik telah terpampang di muka setiap akhbar. Hancur hatinya apabila melihat Julia yang merupakan kekasihnya kini menjadi isteri kepada pemuda tersebut. Dia juga mendapat tahu rupanya Julia sudahpun mengikat tali pertunangan dengan jejaka itu sejak sebelum gadis itu berangkat ke Australia lagi.  Itu bermakna dia hanya dianggap sebagai persinggahan di kala Julia kesunyian. Kecewa dan sedih menjadi peneman hidupnya saban hari. Hancurnya hatinya ketika itu, hanya Tuhan yang tahu. Sejak itu baginya wanita hanya seperti baju, untuk dia tukar silih berganti.

Meskipun dia dibesarkan di Australia, namun keluarganya sangat menitikberatkan nilai ketimuran. Tetapi sesudah mereka sekeluarga kembali ke Malaysia dan dia sendiri telah mendapat tamparan hebat berita pengkhianatan Julia, dia telah menjadi liar dan playboy, terutamanya terhadap mana-mana gadis yang tergila-gilakannya. Baginya semua wanita tidak boleh dipercayai, termasuklah Zaliya. Terutamanya Zaliya. Ingatannya kini kembali kepada Zaliya.

"Aku takkan lepaskan kau, Zaliya!" Yusuf mengetap bibirnya kuat.

Dalam kemarahan, sedar tidak sedar Yusuf akhirnya terlelap meskipun belum sempat dia menyiapkan kerjanya yang terbengkalai.

*****

Terjaga dari tidur, Zaliya terkebil-kebil. Dia terbatuk-batuk, rasa sedikit tidak selesa kerana tekaknya terasa kering.

Zaliya haus, air mineral di dalam peti sejuk kecil di dalam bilik itu sudah habis, nasib baik Yusuf ada di bawah, kalau tak boleh mati kehausan. Dia tidak tahu apa aktiviti Yusuf di bawah. Yang dia tahu, Yusuf selalu bawa bersama laptop dan kameranya ke mana-mana. Melihatkan suasana sekelilingnya, dia yakin sekarang sudah waktu tengah malam. Tak mengapa, dia akan mengetuk pintu kuat-kuat, kot-kot Yusuf dengar dan naik ke atas untuk membuka pintu.

Sesampai sahaja di pintu, Zaliya terkejut mendapati pintu biliknya tidak berkunci. Biar betul ni? Perlahan-lahan pintu dibuka lalu dia menapak menuruni tangga. Dia bersyukur kerana lampu tangga itu terang benderang tidak ditutup, tetapi lampu ruang tamu pula yang gelap. Ketika dia menuju ke dapur untuk minum air, Yusuf tetap tiada di ruang tamu mahupun di dapur. Namun yang anehnya, kereta Yusuf masih diparkir di garaj depan ketika dia menjenguk ke depan.

Dendam BerahiWhere stories live. Discover now