Suara Khatulistiwa

12 1 0
                                    



Dulu..
Diwajah ini aku bermegah
Didadaku penuh dengan kehijauan.
Ada unggas unggas beburung
Ada hidupan didalam belantara bernyanyi riang dikala alam menyentuh pagi
Mentari pun malu malu
ada tanda hormat untuk mewakilkan diri
Dicelah panorama alam khatulistiwa

Khatulistiwa????
Itu dulu
Semasa aku dilahirkan
Semasa aku masih bayi
Semasa aku di pangkuan ibu sejati

Sekarang mana ada lagi
Sekarang cuma tinggal sedikit
Bukit ditarah
Hutan di gondol
Tasik di nazakkan
dengan segala sampah sarap
hasil lukisan dari tangan tangan durjana
Sungai dulu air membiru dengan segala isi ada
Sekarang dilimpahi dengan selut lumpur dari nanah bukit dan gunung yang sakit
Segala sembilu belukar berceracak menikam perut sehingga tidak mampu lagi untuk di telan anak adam
Mentari yang manja dahulu
Menjeling dengan muka wajah yang menyala
Menyeringai dengan air muka kemarahan
Tiada tanda kasih lagi pada saudara buminya

Suara khatulistiwa 
Tidak lagi aku pernah dengar hilai tawa manjanya seperti dahulu lagi
Merengek minta di belai manja oleh penghuni yang setia menemaninya
Burung kakah kenari lotong murai
gerakan pengasih sang kuang kuang atau dendangan gendang silat dari gelanggang seni si kancil
Langsung tiada lagi kedengaran
Sunyi sepi membisu tiada apa yang berdetik
Lagaknya seperti di serang hendap seribu garuda

Ada ketawa terdengar!!!
Di selang seli dengan suara mesin dan jentera membelah kesunyian
Mengauk segala tinggalan khazanah pusaka kita
Ya... ketawa besar
Ketawa dari suku sakat puak puak perut gendut
Yang menadah untung
Dari medan talam yang di tadah di belakang meja bulat
Mengautlah segala isi untung
Membahagi sesama kroni

Anak kita
Anak anak peribumi
Segalanya ditiggalkan jauh di dada dangau daun mengkuang
Jauh jauh sejauhnya di halau ke penghujung hulu
Itu pun masih di kata simpati
Padahal sebenar maksud mau saja di bunuh habiskan segala keturunan dan warisan

Suara khatulistiwa
Semakin lama semakin sepi
Semakin lama.semakin mati
Andai ada antara kita tidak endah
Membalut luka yang berdarah lara
Akan tiada lah lagi khazanah alam
Untuk tinggalan generasi ke belakang
Mati sebagai sejarah dan kenangan

Suara khatulistiwa aku meratapi kematianmu

Hasil nukilan Pena Alam
Ahad 26/08/2018
Jam 03;15/04;48 ptg
Lokasi pondok puisi
Hakcipta terpelihara.

Pondok Puisi ✔️Where stories live. Discover now