29

2.4K 213 48
                                    

29

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

29...🦋

WAJAH muram Aliya direnung. Entah berita apa yang mahu didengar Aliya. Setelah sekian lama baru mencari mereka. Pulang-pulang terus bertanyakan hal yang satu itu.

Pelik! Dahulu Aliya juga yang beria mengatakan Amira menggoda suaminya. Teruk Amira dipukul kerana mulut kakaknya. Ditambah lagi dengan mulut Lokman yang membuat pengakuan. Walaupun Amira menegaskan dia tak buat semua itu, bila dua lawan satu dah tentu dua yang menang. Sementelah Amira masih remaja hingusan pada ketika itu. Tak berdaya hendak mempertahankan diri sendiri.

"A...anak siapa kak ngah?" Putih genggaman tangan Aliya pada sofa yang sedang didudukinya.

Dahi Melur berkerut. "Aku pun tak tahu."

"Tak tahu?" Detak jantung Aliya berdegup semakin tak sekata. “Mira tak cakap?”

“Haram! Degil punya budak!”

Terkejut Aliya apabila tiba-tiba suara Melur meninggi. Degupan jantungnya sudahlah tak sekata, kena sergah pula. Makin laju aliran darah yang mengepam ke jantungnya.

"Dah dia tak nak bagi tahu, kita orang pun buatlah andaian anak haram tu anak si Syed. Jantan mana lagi? Budak tak guna tu aje yang rapat dengan dia.” Kembang kempis hidung Melur bercerita.

Dia terpaksa mengenang kembali memori pahit yang cuba dilupakan. Satu persatu rakaman duka itu diulang tayang. Dia jadi teringat wajah Amira yang cantik jelita. Wajah Khadeeja ada iras-iras Amira, membuatkan dia sakit hati setiap kali terpandangkan wajah itu.

"Sampai ke sudah budak bertuah tak tahu diuntung tu tak nak buka mulut. Kena pukul dengan ayah sampai nak mati pun, dia tetap diam." Melur menyambung cerita.

"Budak Syed tu lari. Tak nak bertanggungjawab. Tapi bila tengok muka si Khadeeja, makin lama makin tak ada langsung iras si Syed. Mula dari situlah kami buat andaian Khadeeja bukan anak Syed. Entah anak siapalah budak tu!"

Muka Melur semerah padma. Cuba mengingat muka Syed yang dipuja-puja Amira. Memang tak ada iras langsung. Lebih banyak iras Amira.

"Masa mula-mula kami tahu dia mengandung, ayah suruh gugurkan. Yalah. Dia baru tujuh belas. Takkan nak sekolah dengan perut bunting? Degil juga. Merayu-rayu pada emak dan ayah dia tak nak gugurkan. Entah apa yang dia sayang sangat dengan anak haram tu. Untuk masa depan dia jugak! Akhirnya ayah berhentikan dia sekolah. Masa tu orang dah mula mengata. Nampak dia keluar masuk rumah dengan perut besar. Sampai ayah kurungkan dia tak bagi keluar."

Di ruang mata Melur terbayangkan wajah Amira yang semakin cengkung. Hanya perut saja yang semakin membesar. Ketika itu Amira sudah tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Hanya diam seperti orang yang sudah tak punya tujuan hidup.

Sampailah satu hari….

"Kak ngah. "

Amira tiba-tiba muncul di sebelah Melur sewaktu dia sedang sibuk mengacau gulai di atas dapur. Sudah dekat waktu makan tengah hari. Masa semakin suntuk. Tak siap karang suami dia balik bising pula.

KUUKIR HANYA NAMAMUWhere stories live. Discover now