16

2.5K 261 44
                                    

16

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

16...🖋️

Ya ALLAH, beri aku kekuatan. Semoga dipermudahkan. Tolong lembutkan hati lelaki ini. Doa Khadeeja di dalam hati.

"Saya nak minta izin keluar bekerja esok." Laju Khadeeja menyuarakan kehendak.

Dahi Mad berkerut. Kerja, heh? Perempuan ini minta izin keluar bekerja? Bagaimana jika dia menolak? Dia berhak, bukan?

"Kau kerja kat mana?"

"Dekat dengan rumah saya duduk dulu!"

"Rumah yang kita kena tangkap tu?" Mad berusaha untuk memahami.

Khadeeja hampir mendelik. Tidak suka mendengar Mad mengungkit kisah jelik itu. Apakan daya hanya perasaannya yang mendelik namun tubuhnya tidak mampu konsisten dengan hati. Dia pasrah mengangguk.

"Kau dah gila?!" Herdik Mad.

Khadeeja terkulat-kulat memandang Mad. Apanya yang gila? Minta izin keluar bekerja pun boleh dilabelkan gila?

"Kau tahu tak berapa jauh tempat ni dengan rumah kau dulu?"

Khadeeja angguk lagi. Pastilah Khadeeja tahu. Bukannya Khadeeja tak pernah ke Ipoh. Mad ingat Khadeeja kampung sangat ke? Tak pernah sampai ke pekan Ipoh sepanjang hayat hidupnya? Mentang-mentang dia hidup serba kekurangan, Mad pandang enteng serba-serbi tentang hidupnya.

"Kau nak pergi kerja naik apa?"

"Bas.”

Mata Mad mengecil. Isteri seorang lelaki yang bernama Mad, yang memandu sebuah kereta Audi model terbaru, mahu ke tempat kerja dengan menaiki bas?

Khadeeja sudah hilang akal? Apa kata dunia nanti? Mana dia nak letak muka tampannya kalau orang tahu tentang hal ini? Dia tidak mahu dituduh tidak menjaga kebajikan isteri sendiri. Malu, malu! Lagi satu yang sebenarnya Khadeeja kerja apa?

"Berapa gaji kau sebulan?"

Eh, mulut ni! Mad hampir mahu menampar mulut sendiri ketika melihat wajah Khadeeja sontak berubah. Seperti terkejut dengan soalan Mad. Sumpah bukan soalan itu yang Mad ingin tanyakan. Lain soalan yang bermain di fikiran, lain pula soalan yang terkeluar dari bibirnya.

Maaf, Khadeeja! Mad ego mahu menarik balik kata-katanya. Masakan Khadeeja semudah itu berkecil hati. Gadis kecil ini bukankah berjiwa besi? Tahan dibanting dan tahan diherdik? Mad cuba sedapkan hati. Tidak mahu menyimpan rasa bersalah itu lama-lama.

Khadeeja belum dapat menjawab soalan Mad. Dia masih terkejut. Kenapa Mad sibuk dengan gajinya? Apakah Mad fikir kerana gajinya kecil, dia boleh dipandang rendah?

"Khadeeja anak haram."
"Khadeeja budak sial."
"Khadeeja budak tak guna."
"Khadeeja tak layak disayangi."

Banyak gelaran yang diberikan. Dan sekarang dia telah menambah satu gelaran lagi.

"Khadeeja sundal sama seperti ibunya!"

Khadeeja menunduk. Dia berasa sedih. Sebelum ini Khadeeja tak pernah terasa jika ada yang memandang rendah padanya kerana Khadeeja telah terbiasa dengan pandangan dan ejekan seperti itu sedari kecil. Namun, kali ini hati Khadeeja membangkang. Enggan menerima pandangan itu daripada Mad.

Bagi Khadeeja tak mengapa jika orang lain pandang rendah padanya tetapi jangan Mad. Lelaki itu suaminya. Bukankah tanggungjawab Mad melindungi, bahkan mempertahankan maruah Khadeeja dari serangan fitnah dunia?

"Balik jadi bisu kau ni!" Sergah Mad.

Mad pendam rapat-rapat perasaan bersalah dalam dadanya. Apalagi ketika melihat wajah Khadeeja tertunduk sugul. Sedar dia sudah terlanjur bertanyakan soalan yang salah. Dia enggan menyatakan maaf. Terasa harga dirinya akan jatuh jika dia menyuarakan kemaafan yang sedang sesat berlari dalam minda.

Bukan Mad pandang rendah pekerjaan Khadeeja. Mad bukan manusia seperti itu. Dia mungkin ego tetapi dia bukan lelaki bongkak yang suka memandang rendah kepada orang yang tak punya apa- apa. Sedari kecil dia dan Qaseh diajar supaya berkawan tidak memandang kasta. Siapa pun orang di sekeliling mereka tak kira di mana pun letak kasta mereka, dia wajib menghormati mereka.

Kata Datuk Akil, "Kita tidak tahu tempat kita di mana esok. Hari ini mungkin kita di atas tetapi siapa tahu esok TUHAN menulis takdir yang sebaliknya. Mungkin orang yang di bawah kita yang akan membantu kita kelak.”

Mad mengakui kebenaran nasihat Datuk Akil. Ilmu di dada membuatkan dia sedar bahawa Datuk Akil benar apa adanya.

Namun, biasalah manusia, tinggi ilmu tidak melambangkan diri tidak akan jahil. Sehingga kini Mad biarkan kejahilan itu bermaharajalela dalam hidupnya. Mengawal sikap dan nafsu yang sentiasa meminta untuk dituntaskan.

Bosan menunggu Khadeeja bersuara, Mad akhirnya buat keputusan sendiri. Pedulilah Khadeeja suka atau tidak, Khadeeja perlu akur dengan keputusannya. Satu perintah mutlak daripada seorang lelaki bergelar suami.

"Aku tak izinkan kau kerja. Berhenti!" Mad bersuara tegas. Jelas dari intonasi suaranya Mad tidak menerima penolakan.

Khadeeja kaget dengan keputusan Mad. Semudah itu ke? Mereka belum sempat berbincang.

"Tapi...."

Dengan cara apa Khadeeja dapat menerangkan situasinya pada Mad? Manusia serba ada seperti Mad tidak akan mengerti keadaan Khadeeja. Dia memerlukan pekerjaan. Dia tidak mahu menjadi biawak hidup yang hanya menyusahkan orang lain meskipun orang lain itu merujuk kepada suaminya sendiri.

"Kau dengar tak apa aku cakap tadi? Aku tak izinkan kau kerja!"

"Tapi...." Khadeeja ingin memprotes.

"Tak ada tapi-tapi. Tak payah banyak protes. Keputusan aku muktamad. Kau jangan nak ingkar. Kau duduk aje rumah goyang kaki. Jaga makan pakai aku. Cukup bulan tahu-tahu duit ada dekat tangan kau."

Khadeeja terdiam. Terlalu mudah Mad memutuskan. Dia buka mulut hendak bersuara untuk memberikan nas-nas bagi menyokong hujahnya, cepat saja dipotong Mad.

"Dah, dah. Apa pun kau nak cakap takkan dapat ubah keputusan aku. So kau simpan sendiri apa pun yang kau baru terfikir nak suarakan tu. Ini arahan aku sebagai suami kau. Kau tahu dosa seorang isteri yang ingkar cakap suaminya? Neraka jawabnya. Lebih-lebih lagi arahan yang tidak bercanggah dengan syariat-NYA."

Mad kagum dengan kata-katanya. Hebat betul impak kehadiran Khadeeja dalam hidupnya. Tak berapa lama Khadeeja menjadi isterinya, gadis itu telah berjaya membangkitkan sesuatu yang telah lama diabaikan.

Mad seorang pecandu kegiatan malam tiba-tiba berubah seperti ustaz bicaranya. Siapa kata Mad tak pandai agama? Ilmu di dadanya cukup lengkap. Dia saja yang tidak pernah mempraktikkan.

Khadeeja pasrah. Tidak dapat menangkis bicara Mad. Lambat-lambat Khadeeja bangun lalu masuk ke dalam bilik.

Musnah sudah harapannya Mad memberi izin untuk bekerja. Bagaimana cara dia hendak meneruskan hidup selepas ini jika tidak bekerja? Dari mana dia akan menjana pendapatan jika sudah begitu?

Bukan dia mahu berburuk sangka pada Mad namun apa yang bakal terjadi sekiranya takdir menentukan perkahwinan mereka kandas di tengah jalan? Tidakkah semuanya akan menjadi rumit nanti?

Dia perlu memulakan semula semuanya dari bawah jika benar apa yang difikirkan menjadi kenyataan. Dalam keadaan tidak bekerja mahu jadi apa nasib Khadeeja nanti?

"Ya ALLAH." Khadeeja pejamkan mata. Merenung nasib diri yang belum tentu baik dan buruknya. Serasa perjalanan hidup yang akan dilalui semakin sukar. Sikap Mad yang tidak boleh berkompromi pasti akan semakin menyukarkan Khadeeja.

KUUKIR HANYA NAMAMUWhere stories live. Discover now