"Yalah. Siapa lagi?"

"Kau nampak kat mana?"

Mad mula tak sedap hati. Jauh jarak Ipoh dan Batu Gajah kalau hendak diikutkan. Apa Khadeeja buat di sini? Yang paling buat Mad sakit hati Khadeeja tak minta izin untuk keluar rumah. Nak kena Khadeeja ni.

"Kat sinilah," jawab Iskandar sambil terus menyumbat makanan ke dalam mulut.

"Dalam ni?" Iskandar mengangguk.

"Dia tengah beli makan ke?" Iskandar menggeleng.

"Dah tu?" Eh, Mad geram hendak tabuh muka Iskandar. Melantak macam dah berbulan tak makan. Ayam goreng saja kut. Boleh tak bagi tahu jelas-jelas dulu? Jangan sibuk nak melantak saja!

"Kau bagi dia buat part time ke? Aku nampak dia pakai uniform. Apahal dia buat part time? Kau bagi gaji tak cukup ke? Kau bayangkan jauh rumah kau dengan restoran ni. Fuh, gigih betul budak tu!"

Iskandar yang asyik menjamu selera tidak melihat riak wajah Mad berubah. Khadeeja pakai uniform?

"Kau jangan buat cerita!" Bentak Mad berang. Takkanlah Khadeeja tipu dia? Setiap hari dia menghubungi Khadeeja bagi memastikan gadis itu baik-baik saja. Tadi pun dia baru lepas cakap dengan Khadeeja. Khadeeja cakap... sekejap!

Khadeeja cakap dia ada dekat kedai kat bawah! Bunyi motor, walhal kedai tu jauh dari parkir.

"Tipu apa pula? Kalau kau tak percaya pergilah tengok..."

Tak payah suruh, dia memang nak tengok!

Mad meluru ke bawah. Dia tak akan percaya selagi tak tengok sendiri. Dia tidak percaya Khadeeja melanggar arahannya. Bukankah dia sudah melarang Khadeeja bekerja?

Mad sampai tepat ketika Khadeeja hendak masuk ke dalam bilik yang disediakan untuk kakitangan restoran. Khadeeja tidak perasan kehadirannya.

Rahang Mad mengeras. Sah dia kena kelentong. Melihat Khadeeja tertawa bersama seorang budak lelaki yang mungkin sebaya Khadeeja, Mad menjadi semakin panas hati. Rasanya Mad hendak tarik tangan Khadeeja bawa balik sekarang juga. Dasar isteri derhaka!

Tengoklah apa akan jadi bila mereka berjumpa di rumah nanti. Dia akan belikan rantai untuk ikat Khadeeja. Siaplah Khadeeja nanti!

🦋.🦋.🦋.🦋.🦋

KHADEEJA tak senang duduk. Dia tertawa mendengar lawak jenaka Ismail, namun fikirannya tak dapat hadam segala cerita Ismail. Kenapa jantung dia berdegup kencang? Macam tak sedap hati pun ya juga.

"Khadeeja, kenapa ni?"

Ismail melambaikan tangan di hadapan muka Khadeeja. Khadeeja terpinga-pinga.

"Kenapa apa?"

"Awak itulah, kenapa? Saya cakap tadi awak dengar tak?"

Ismail garu kepalanya. Menatap Khadeeja yang selalu tidak berada di alam sedar. Setiap kali berbicara dengan Khadeeja memerlukan kesabaran yang cukup tinggi. Khadeeja selalu tak endah dengan keadaan sekeliling. Membuatkan orang yang bercerita dengan Khadeeja jadi sakit hati. Berkali ditegur tetap tidak berubah. Patutlah Nabila selalu mengadu padanya risaukan Khadeeja. Apa yang dia nak cakap sekejap lagi pun Nabila yang pinta. Semoga Khadijah mahu mendengar nasihatnya.

"Saya dengan Nabila nak tengok wayang hari Sabtu nanti. Awak nak ikut tak?"

"Ada cerita baru ke?"

Khadeeja pura-pura berfikir. Padahal dalam hati terus memberikan penolakan. Mana mungkin dia keluar bertiga dengan mereka. Nak mati kalau Mad tahu?

Dia kerja pun curi-curi. Tak tahu nasib diri jika diketahui Mad kelak. Semoga dia tidak akan tertangkap sampai bila-bila.

"Tak apalah. Saya nak rehat aje kat rumah," jawab Khadeeja halus.

Segan juga dia asyik menolak apabila kawan-kawan ajak keluar berhibur. Mujur Ismail tidak pernah cop dirinya berlagak. Sombong tidak bertempat, bergaul dengan orang juga tidak mahu.

"Alah, jomlah. Saya belanja. Bertiga syok sikit. Ada orang tolong halaukan syaitan," ujar Ismail seraya ketawa kecil.

Khadeeja mengerti maksud Ismail. Ismail mahu dia jadi peneman dating Ismail dan Nabila. Maklum, dua orang kawannya ini sedang hangat bercinta. Pasti Ismail mahu mengelakkan hasutan syaitan.

"Tak apalah. Awak pergilah dengan Nabila. Saya tak nak kacau daun. Jadi lalat hurung meja tak best juga kan?" Seloroh Khadeeja.

Ismail ketawa mendengar gurauan Khadeeja. Sejak akhir-akhir ini Khadeeja agak berubah. Sudah pandai bergurau dan tersenyum. Meskipun begitu terkadang Khadeeja larut juga dalam dunianya sendiri, macam tadilah. Orang bercerita tapi dia tak dengar.

Nabila dan Ismail gembira sangat dengan perubahan Khadeeja. Walaupun tahap keprihatinan yang Khadeeja tunjukkan masih ada tahap menjengkelkan, sekurang-sekurangnya sudah nampak perubahan positif pada diri Khadeeja.

Mungkin tak alam rumah tangga bisa mengubah seseorang? Seperti perubahan yang sedang dialami Khadeeja. Kalau macam ni dia pun nak kahwin cepat. Negatif jadi positif, siapa yang tak nak?

"Betul ke awak tak nak ikut?" Khadeeja mengangguk mantap.

"Tak menyesal?" Khadeeja angguk lagi.

"Awak tahu tak berdosa keluar rumah tak minta izin suami?" Ismail mengubah topik.

Khadeeja terus pegun. Merenung Ismail dengan muka pucat. Terkejut mendengar teguran Ismail. Ah, ini mesti kerja Nabila! Mulut becok sungguh!

"Lagi berdosa bila awak keluar cari rezeki macam ni. Awak rasa berkat tak rezeki yang awak dapat?" Ismail masih tayang muka selamba. Dia sudah siap memakai apron. Khadeeja pula masih terkial-kial.

"Awak tak takut ke? Pernah tak awak terfikir, macam mana kalau masa awak on the way balik nanti, TUHAN takdirkan umur awak tak panjang?"

Bijak sungguh provokasi yang cuba dilakukan Ismail. Kenapa Nabila memilih lelaki sebijak Ismail? Mana tak bijak Khadeeja, oi! Bukannya orang tu tak sekolah, tak belajar halal dan haram. Sah-sah benda yang kau buat tu salah. Memanglah cari rezeki tu tak salah, tapi keluar tak dapat izin suami tu berdosa! Bila dah berdosa rezeki pun tak berkat.

Ismail pandang Khadeeja. Dia ingin sekali katakan pada Khadeeja, dia dan Nabila sangat sayangkan Khadeeja. Sebagai kawan, mereka akan selalu ada untuk Khadeeja. Dan sebagai kawan, dia tidak mahu melihat Khadeeja dilaknat TUHAN.

"Berdosa tahu ingkar arahan suami yang tak bertentangan dengan suruhan TUHAN. Awak pun tahu kan?"

Khadeeja tidak menjawab. Dia terkedu.

KUUKIR HANYA NAMAMUTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang