Hanya beberapa cubit ayam yang dimakan. Seleranya hilang. Loya apabila terimbas kembali semua hal yang telah terjadi.

Mulutnya dilap. Kemudian dia menghisap air Pepsi yang baru luak sedikit.

Kenapa dia datang ke sini? Hanya mengingatkannya pada luka lama yang belum sembuh. Seharusnya dia tidak perlu kembali. Amira telah pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

"Khadeeja, awak nak pergi mana ni?"

Aliya menoleh kepada dua orang pekerja restoran yang baru lalu di tepi mejanya.

"Nak pergi 7E."

Suara itu. Aliya mengamati gadis bertubuh kecil itu. Terlalu kurus.

"Khadeeja!"

Kedua gadis itu berpaling. Aliya tergamam. Mendadak tangannya terketar-ketar. Tidak tahu bila dia bangun. Tahu-tahu saja saja dia sudah berdiri berhampiran kedua gadis itu.

"Ya?"

"Belikan gula-gula Eclipse. Kejap lagi saya bayar." Khadeeja mengangguk pada seorang gadis yang membuat pesanan.

Aliya tidak mendengar. Tangannya terangkat. Menyentuh lembut bahu si gadis yang dikatakan kurus tadi.

"Amira?"

Gadis itu menoleh. Tersenyum lembut padanya.

"Amira?" Sekali lagi Aliya bertanya. Pandangannya jatuh pada mata bening yang menatap wajahnya. Dia lebih terpanar.

Tak mungkin! Perutnya memulas. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Bukan. Saya Khadeeja." Gadis itu menyebut namanya.

"Oh, maaf. Auntie salah orang."

Tangannya ditarik. Menahan gelodak di dalam perut. Kali ini dia benar-benar mahu muntah. Tergesa- gesa dia meninggalkan Khadeeja dan sahabat gadis itu. Mencari tempat untuk memuntahkan semua isi perutnya.

Dia marah. Sakit hati. Kenyataan apa lagi yang Lokman sembunyikan darinya?

🦋.🦋.🦋.🦋.🦋

"AWAK kenal ke orang tu?" Soal Nabila di sebelahnya. Mereka sedang berjalan menuju Seven Eleven.

Khadeeja angkat bahu. Menolak pintu masuk, terus menuju ke mesin Slurpee.

"Wah, minum Slurpee! Dah lama kita kerja sama, ni first time saya tengok awak buang-buang duit beli Slurpee," ujar Nabila teruja.

Khadeeja tidak mengendahkan Nabila. Apa salahnya dia beli Slurpee? Bukannya mahal sangat. Sekali sekala, berdosa ke?

"Suami kaya awak bagi awak banyak duit eh?"

Khadeeja memutar bola mata, "Awak ingat saya pisau cukur?"

Nabila tergelak. "Dah tu? Tiba-tiba nak minum Slurpee. Eh." Nabila menarik tangan Khadeeja. "Awak pregnant? Mengidam ke?"

Khadeeja mendelik sebal. Apa Nabila merepek ni? Orang mengandung saja ke yang boleh minum Slurpee? Malas dia hendak melayan. Eclipse pesanan Zatul diambil. Dia ke kaunter untuk membuat bayaran.

"Khadeeja, jawablah!" Nabila terus mendesak.

"Hesy, tak adalah. Saja nak minum. Tak boleh ke?"

Sebaik saja Khadeeja dan Nabila keluar dari Seven Eleven, telefon zaman batu Khadeeja berbunyi. Slurpee dihulurkan kepada Nabila.

Mata Khadeeja membulat. Alamak, Mad! Ragu-ragu Khadeeja menjawab.

"Kau pergi mana, hah? Kenapa aku call rumah kau tak jawab? Kenapa nombor kau tak ada WhatsApp?!" Bertubi-tubi soalan Mad.

Naluri Khadeeja menciut. Matilah dia. Dia nak jawab apa ni? Aduh, kenapalah Mad menghubunginya pada waktu dia sedang bekerja?

"Kau kat mana ni? Kenapa aku dengar bunyi motor?" Belum sempat Khadeeja menjawab, Mad tanya soalan lain. Khadeeja meletakkan jari di bibir, menyuruh Nabila diam.

"Saya... saya kat luar. Nak beli barang. Erm... kejap aje. Kejap lagi saya baliklah," bohong Khadeeja. Tolonglah Mad jangan tangkap kebohongannya.

"Kau keluar tak minta izin aku? Wah, bagus! Dah pandai menderhaka," perli Mad.

Rahang Khadeeja terasa jatuh. Jantung seakan melompat keluar. Kalaulah Mad tahu Khadeeja bukan setakat tak minta izin keluar, juga melanggar arahan Mad. Apa agaknya yang akan Mad lakukan?

Khadeeja tak tahu nak kata apa lagi. Kalau dia menjawab, sah-sahlah makin banyak dia akan berbohong.

"Lain kali kalau kau nak apa-apa cakap dekat aku. Jangan keluar sorang-sorang. Kau tu dahlah kecik, kalau kau kena culik macam mana?" Soal Mad berapi- api.

Dahi Khadeeja berkerut. "Saya dah besar."

"Amboi, kau ni! Aku bagi betis, kau nak paha. Dah pandai menjawab!" Herdik Mad di hujung talian.

Khadeeja mencebik. Jawab salah, tak jawab pun salah.

"Khadeeja."

"Ya."

"Pergi balik sekarang. Jangan keluar lagi tanpa pengetahuan aku. Save nombor aku ni. Ada apa-apa call aku. Jangan keluar sorang-sorang," pesan Mad. Suaranya melembut. Lebih lembut daripada ketika dia berpesan kepada Qaseh.

Khadeeja telan air liur. Macam mana dia nak balik? Waktu kerja dia belum habis. Dia semakin diasak rasa bersalah. Makin bertambah dosa dia pada Mad.

"Kau dengar tak ni?"

"Ya, saya dengar." Khadeeja gigit bibirnya.

"Bagus. Elok-elok jalan. Jangan cakap dengan orang kau tak kenal. Terus balik rumah. Jangan lupa kunci pintu."

Khadeeja memandang layar telefon yang sudah gelap. Fikirannya serabut. Setiap hari dia keluar menanggung dosa. Kali ini menipu Mad pula. Berkat ke gaji yang dia dapat jika sudah begini?

"Kenapa?" Nabila hulurkan Slurpee Khadeeja yang tinggal separuh.

"Awak minumlah. Saya tak nak."

"Eh, kenapa? Kan awak tak minum lagi?"

Khadeeja menggeleng. Memaksakan senyum terukir di bibir.

"Dah kenyang. Lupa saya mana suka benda-benda macam tu." Sebenarnya seleranya sudah mati. Rugi duitnya beli minuman berwarna hijau itu. Tak mengapalah, rezeki Nabila.

"Pula. Tadi beria."

Khadeeja tidak membalas. Melangkah longlai meninggalkan Nabila. Ah, hati! Semalam kau tekad, hari ini kau meragu. Mudah benar kau berubah.

KUUKIR HANYA NAMAMUWhere stories live. Discover now