Apa baiknya Khadeeja? Huh, itu sebab Mukhsin tak tahu siapa Khadeeja sebenarnya. Cuba kalau Mukhsin tahu, pasti Mukhsin tidak akan mengatakan Khadeeja baik.

"Eh, kau tahu tak? Kawan yang kau anggap adik tu, yang kau puja-puji setiap masa tu, memang jalang! Buktinya dia bawa balik jantan masa kita tak ada kat rumah. Nasib baik aku balik pagi tu. Kalau tak, memang sampai ke sudah tak tahu perangai dia macam tu," ujar Sakinah semakin kuat.

Sakit hatinya disebut sundal. Dia bukan perempuan jalang seperti Khadeeja. Dia perempuan baik-baik. Dia pandai menjaga dirinya. Tidak seperti Khadeeja yang bersikap murahan. Bila agaknya Nabila hendak sedar keburukan Khadeeja?

Nabila mendengus. "Sebelum kau buat tuduhan tak berasas tu, ada kau tanya Khadeeja siapa lelaki tu? Kau minta tak penjelasan dia? Tak kan? Kau nak tunjuk pada satu dunia kaulah yang paling baik. Kau terus hubungi Julia. Sampai mak bapak Julia datang serang Khadeeja. Kau pula seronoklah jadi batu api. Makin Khadeeja sakit, makin membara-bara cerita putar belit kau!”

Berapi-api kemarahan Nabila. Dia tidak berpuas hati dengan cerita penangkapan Khadeeja. Dia tidak percaya Khadeeja sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia tidak akan percaya sebelum mendapat penjelasan Khadeeja. Pasti ada sebab mengapa peristiwa mengaibkan itu berlaku.

"Heh, hairanlah aku dengan kau. Bila aku cakap, semua jadi fitnah. Khadeeja aje yang betul. Nak minta penjelasan apa lagi kalau dia kena tangkap masa tengah berpeluk sakan dengan jantan. Jantan tu tak pakai baju tahu! Entah berapa kali mereka buat maksiat dalam bilik Khadeeja malam tu, mana kita tahu?"

Sudah lama dia menunggu peluang ini. Dia memang benci Khadeeja sangat-sangat. Dia takkan lepaskan peluang untuk menceritakan keburukan Khadeeja pada semua orang. Biar mereka kenal siapa Khadeeja yang sebenar.

Beberapa hari selepas Khadeeja ditangkap baru dia berpeluang bercerita kepada Mukhsin. Sakit hatinya apabila Mukhsin tidak percaya pada ceritanya. Dia pula yang dituduh cuba menyebarkan fitnah.

Eh, yang menjadi tunang Mukhsin sekarang siapa? Kenapa Mukhsin lebih percayakan Khadeeja daripada Sakinah? Semakin benci Sakinah pada Khadeeja dibuatnya.

"Mulut kau ni memang jahat kan?" Nabila mati akal. Dia kehabisan idea hendak menyerang balas Sakinah. Nabila sedar tidak semua yang dikatakan Sakinah fitnah. Khadeeja memang ditangkap berkhalwat dalam keadaan yang sangat mencurigakan.

Sewaktu ditangkap basah, Khadeeja sedang terlena dalam pelukan seorang lelaki. Keadaan lelaki itu yang tidak berbaju semakin menguatkan kecurigaan. Lebih haru lagi Khadeeja terlihat selesa dan tidak nampak seperti dipaksa.

Alahai, Khadeeja! Hati Nabila semakin walang. Dia masih gagal menghubungi Khadeeja. Sudah tiga hari Khadeeja bercuti. Tidak tahu bila Khadeeja akan masuk bekerja semula. Buatnya Khadeeja tak masuk-masuk sampai ke sudah, buntu Nabila hendak mencari Khadeeja di mana.

Di mana Khadeeja sekarang? Apakah Khadeeja baik-baik saja selepas tragedi yang telah berlaku?

"Malaslah aku nak layan kau!"

"Kau dah habis akal kan? Mengaku ajelah Khadeeja tu memang perempuan tak baik." Belum habis rupanya Sakinah mengata Khadeeja.

Nabilah mengetap gigi menahan geram!

🦋.🦋.🦋.🦋.🦋

"MAK!" Julia memanggil ibunya.

Melur lantas memandang anaknya yang berkicau seribu. Muka anak keduanya itu sedang mencuka. Entah apa dan siapa yang jadi penyebabnya, tidak diketahui Melur.

"Kenapa mak kahwinkan Khadeeja?" Julia sudah tidak tahan menangguhkan soalan yang sedari kelmarin bermain di fikiran.

"Biarlah dia. Aku jelak tengok dia dekat kampung ni. Buat sakit hati aje. Dah tak sanggup aku menanggung malu. Elok dia dah berhambus ni, kurang sikit mata aku sakit," jawab Melur.

"Tapi kan mak, lelaki yang jadi suami Khadeeja tu kaya kan? Rugilah mak kahwinkan Khadeeja dengan lelaki tu. Nanti senang lenanglah hidup Khadeeja lepas ni," luah Julia terbayangkan wajah suami Khadeeja yang tampan dan tegap.

Tak padan langsung lelaki itu dengan Khadeeja yang buruk. Mesti lelaki itu juga berasa terpaksa kerana harus menikah dengan Khadeeja.

Kalau dia yang berada di tempat Khadeeja kan best? Pasti seronok dapat kahwin dengan anak orang kaya. Nanti boleh jadi mem besar. Ada pemandu, dia duduk di belakang jadi tukang arah. Oh, seronoknya!

"Habis tu takkan nak kahwinkan dengan kau pula?"

"Lah, apa salahnya? Ju sanggup aje kalau dapat lelaki kaya macam tu. Syok tahu, boleh jadi mem besar," jawab Julia tanpa berfikir terlebih dahulu.

"Kau ni bengap ke bodoh? Sia-sia aku sekolahkan kau. Cuba sebelum cakap tu fikir dulu. Yang kena tangkap hari tu kau ke Khadeeja?"

"Khadeejalah!"

"Hah, tahu pun kau! Khadeeja yang kena tangkap, apa gila aku nak nikahkan anak aku dengan jantan yang kena tangkap dengan Khadeeja. Kau ingat aku ni hadap sangat ke harta jantan tak guna tu? Kaya pun tak guna kalau perangai macam setan! Kau ingat mak kau ni spesies jual anak ke?" Bersungguh Melur berbicara.

Julia mencebik. Bila dengar Melur cakap, nampak seolah-olah Melur tidak memandang harta benda.

Hei, jangan tertipu dengan bicara kosong Melur. Memang pembohong besar kalau Melur cakap dia tak kisah tentang harta dan pangkat. Kalau tidak, tak adalah Melur asyik membebel dia berkawan dengan Azhar. Tak sekufu kata Melur. Kata tak kisah, habis tu kenapa mesti ada perkataan tak sekufu? Cakap tak serupa bikin!

"Lagipun kau fikir logiklah. Siapa yang nak suka anak haram macam Khadeeja tu? Silap-silap esok lusa si Khadeeja tu dah jadi janda," ujar Melur sinis.

"Hesy, mak ni. Tak baiklah cakap macam tu! Buruk-buruk dia, dia anak saudara mak juga!" Protes Julia.

Dia memang tidak sukakan Khadeeja. Tetapi dia tidaklah seteruk itu mahu mendoakan Khadeeja cepat bergelar janda. Benci-benci dia pada Khadeeja, kadang-kadang terselit rasa kasihan yang tidak dapat ditunjukkan setiap kali melihat Khadeeja yang selalu disisihkan dan diperlakukan dengan kasar.

Dia pun manusia. Ada hati perut. Tak mungkin hatinya tidak tersentuh apabila melihat orang lain ditindas di depan matanya. Meskipun begitu, disebabkan sedari kecil dia dan adik beradiknya dididik supaya membenci Khadeeja, mereka jadi tersepit antara benci dan kasihan. Nak-nak lagi setiap kali diperlakukan dengan kasar, Khadeeja tidak pernah melawan.

"Anak saudara bapak kau, bukan anak saudara aku! Padanlah muka dia! Siapa suruh gatal sangat. Tak padan dengan anak haram, ada hati nak menggatal dengan jantan kaya. Sekarang terimalah nasibnya. Mak dengan anak sama aje. Suka sangat menyundal!" Getus Melur sarat dengan nada benci.

Sungguh-sungguh dia tidak sukakan kehadiran Khadeeja dalam keluarga mentuanya. Semenjak kecil anak itu membawa sial dalam keluarga. Ibunya mati ketika melahirkannya. Neneknya pula mati kerana hendak selamatkan dia yang hampir jatuh tangga. Ramai yang pendek umur gara-gara Khadeeja.

Tiada orang yang mampu berbahagia dengan kelahiran Khadeeja. Sebelum Khadeeja lahir lagi, dia telah memporak-perandakan hidup semua orang. Setelah lahirnya Khadeeja, keadaan menjadi semakin buruk.

Sampaikan pernah terdetik di hati Melur, kenapa bukan Khadeeja yang mati? Hidup hanya sekadar menyusahkan orang lain.

Khadeeja jadi janda ataupun tidak, Melur tidak mahu ambil peduli. Anak itu hanya beban dalam hidupnya. Sekarang beban itu sudah terlepas dari pundaknya. Lagipun Melur yakin hidup Khadeeja tidak akan pernah bahagia.

Siapa yang akan menyayangi anak haram itu dengan tulus? Memang bodoh kalau orang itu wujud. Esok-esok lusa apabila mereka sedar Khadeeja pembawa sial, pasti tidak akan ada sesiapa yang menyayangi Khadeeja lagi. Ketika itu baru mereka mengerti apa yang selama ini Melur rasakan.

Khadeeja pembawa sial. Pembawa sial tiada tempat di hatinya.

KUUKIR HANYA NAMAMUWhere stories live. Discover now